Friday, November 28, 2008

SAH PAS BERGANTUNG PADA NIK AZIZ?

PAS Kelantan di ambang kemelut baru apabila pemimpin nombor satunya, Datuk Nik Abdul aziz Nik Mat, dikatakan sedia berundur jika anggota Dewan Undangan Negeri daripada Pas mengarahkan berbuat demikian.
“Kalau mereka suruh hari ini, hari ini juga saya boleh berhenti,” katanya ketika diajukan soalan. Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan berhenti selagi parti menghendakinya.
Kenyataan itu terhembur keluar dari mulutnya apabila akhbar mingguan menyiarkan tajuk muka depan bahawa ada kalangan tertentu dalam parti itu mahu beliau berundur kerana masalah kesihatan yang dialaminya.
Sama ada laporan akhbar itu benar-benar terbit daripada kenyataan ahli Pas sendiri atau sengaja diada-adakan provokasi untuk menjatuhkan pemimpin itu, penulis tidak jelas, kecuali nama ahli terbabit (yang mahu beliau berundur) disiarkan dalam laporan berita yang dianggap eksklusif itu.
Menurut laporan terbaru Bernama kesan pengunduran Menteri Besar itu yang menerajui Kelantan sejak 1990, juga akan mempengaruhi sentiment penyokong tradisi Pas di Kelantan dan menggugat kedudukan parti itu.
Sebenarnya isu supaya Nik Aziz berundur daripada politik dan kerajaan ini bukanlah baru, malah ia sudah berulang kali disebut oleh pemimpin-pemimpin Umno, pantang orang tua itu masuk hospital, sama ada untuk berehat atas nasihat doktor atau mendapat rawatan kerana menghidap cirit birit. Cuma mutakhir ini, pemimpin Umno tidak mengeluarkan kenyataan apabila Nik Aziz dimasukkan ke hospital atas nasihat doktor.
Ini mungkin disebabkan pemimpin Umno sendiri sedang menghadapi masalah dalaman parti berikutan kemelut yang melanda mereka kesan pilihan raya umum ke-12 sehingga menimbulkan krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Lanjutan daripada krisis itu pula menyebabkan Pak Lah merangka pelan peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Mac depan.
Persoalannya, kenapa isu pengunduran itu baru sekarang digeletek ke pinggang Nik Aziz, ketika mana keadaan di ambang perlihan kuasa dan dua negara sahabat Asean, Thailand dan India sedang dalam ledakan pergolakan yang hebat.
Apakah ia sengaja ditimbulkan untuk mengalih pandangan dan perhatian umum terhadap politik dalaman Umno atau sengaja ingin mewujudkan kemelut baru dalam Pas sendiri yang dilihat semakin kukuh dengan bantuan parti-parti dalam Pakatan Rakyat?
Ketika menemubual Nik Aziz dalam wawancara eksklusif dengannya sebelum ini, beliau pernah menyatakan kepada penulis bahawa beliau tidak mungkin boleh menongkat langit atau menerajui kerajaan negeri selama-lamanya, tanpa diserahkan kepada penggantinnya.
Ketika disoal siapa bakal penggantinnya, Nik Aziz tidak pernah menyatakan atau membayangkan sesiapa yang bakal menggantikannya, Cuma memberi contoh ketika zaman kepimpinan Datuk Asri (Presiden Pas) ramai yang tertanya-tanya siapa yang bakal mengambil alih tempatnya jika Asri tidak lagi memimpin parti itu, sama ada melepaskan jawatan kerana uzur. Ramai yang tidak nampak.
Tetapi, menurutnya, apabila keadaan menjadi kenyataan, Asri sudah tiada lagi dalam kepimpinan Pas, parti itu tetap subur malah semakin segar, terutama di Kelantan sehingga beberapa kali rebah bangun dalam pilihan raya di bawah kepimpinannya.
Soal nama calon yang disebut-sebut sebagai penggantinnya, seperti Ahli Exco Kanan, Datuk Husam Musa, Nik Mohd Amar Abdullah dan Timbalannya, Datuk Ahmad Yakub, hanya sebagai sepekulasi semata-mata.
Nama-nama itu disebut-sebut sebagai test market dan strategi pihak musuh politiknya untuk melihat siapa yang melenting di kalangan mereka jika nama mereka dikaitkan dengan jawatan nombor satu dalam kerajaan Kelantan itu.
Tetapi seperti yang kita maklum, orang Pas tidak mudah melenting walaupun tidak dapat dinafikan dalam hati ada menyimpan rasa tersembunyi, tetapi mereka tidak cepat mengeluarkan kenyataan media yang boleh mengeruhkan keadaan.
Malah, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakub sendiri ketika ditemubual penulis dalam wawancara eksklusif dahulu, awal-awal lagi menyebut beliau tidak mengidam untuk menjawat jawatan Menteri Besar menggantikan Nik Aziz. Katanya, itu bukan menjadi agenda pentingnya, cuma apa yang penting beliau ingin berkhidmat kepada parti yang menjadi wadah perjuangan pemimpin-pemimpin sepertinya dalam Pas.
“Saya tidak pernah mimpi nak jadi MB,” kata Ahmad secara terus terang ketika diajukan soalan itu.
Setakat ini penulis belum sempat untuk menemuramah Husam dan Nik Amar untuk mendapat komen berhubung nama mereka disebut-sebut sebagai pemimpin pelapis yang akan mengganti tempat Nik Aziz jika beliau bersara daripada jawatan itu.
Nik Aziz ketika diasak pertanyaan bakal penggantinnya bagaimanapun mengakui bahawa pemimpin-pemimpin muda sekarang mempunyai karisma yang tinggi sebagai pemimpin. Menurutnya, kebanyakan pemimpin muda sekarang ini mempunyai ilmu dan menjadi pemimpin yang berkaliber jika digarapkan dalam wadah perjuangan mengikut tuntutan Islam. “Tidak ada sebab mereka tidak boleh jadi pemimpin”.
Bagi penulis, Nik Aziz bukan calang-calang pemimpin politik. Walaupun dia bercakap di atas politik Pas, tetapi ramai kalangan pendengar yang mengikuti ceramahnya tidak menganggapkan hujah yang dikeluarkan itu sebagai orang politik tetapi sebagai ulama dan Tok Guru. Dia jarang menghentam secara terus terang pemimpin parti lawan, walaupun pemimpin berkenaan pernah mencacinya dalam majlis-majlis ceramah. Namun sindiran tajam membuatkan pendengar mudah memahami dan mengakurkan kenyataannya. Itulah kelebihan yang ada pada pemimpin yang digelar ulama itu.
Mungkin disebabkan factor itulah, ramai yang beranggapan kekuatan Pas terletak pada kepimpinan Nik Aziz, yang memang terkenal sebagai pemimpin yang bersifat suka merendah diri dan tidak berprotokol walaupun berada di puncak kehormatan sebagai ketua kerajaan dan parti. Pernah beliau sendiri mengangkat dulang untuk menghidangkan air minuman berserta jagung rebus ketika penulis berkunjung ke rumahnya bersama seorang rakan setugas ketika berkhidmat sebagai wartawan sebuah akhbar arus perdana.
Seorang penyokong Pas dari Sarawak, sengaja datang ke Kota Bharu bersama keluarga kerana ingin mengenali rumah Menteri Besar Kelantan yang difahamkan seperti rumah orang kampung biasa dan sengaja tidak tinggal di kediaman rasminya di JKR 10.
“Tak dapat naik rumah dan jumpa dengannya pun saya sudah berpuas hati melihat keadaan rumah Tok Guru ini,” kata pelawat dari Sarawak itu kepada saya walaupun tidak sempat menemui Nik Aziz selepas menunaikan solat Asar berjemaah yang diimamkannya.
Pada masa sama juga kebetulan penulis turut berkunjung ke rumahnya sambil membawa mockup akhbar yang akan diterbitkan untuk ditunjukkan kepadanya selain untuk mendapat restu niat saya meneruskan perjuangan dalam dunia persuratkhabaran ini. Saya sendiri menghormati beliau sebagai Tok Guru dan bukan sebagai pemimpin politik, sebab itu banyak bahan ceramah politik yang saya ikuti, saya jadikan pegangan dan amalan saya.



2 comments:

pirah lah said...

kemungkinan Pas Kelantan belum menemui pengganti yang terbaik. HUsam pula dilihat condong kepada ekstrem dan terlalu mengejar kedudukan dalam parti, pandai bercakap tapi ada agenda disebaliknya.
..yang lain wallahuaalam!

Anonymous said...

Pengunjung ikhlas:
Kita tidak boleh tengok pada cakap-cakapnya saja bagi menentukan daya kepimpinan seseorang itu. Biar cakap serupa bikin. Itu baru sah pemimpin yang baik. Wallahu Alam.