Wednesday, February 18, 2009

Sembang seawal pagi: DUNIA POLITIK DI MALAYSIA SEKARANG MAKIN KOTOR?




“Apa nak jadi dengan dunia politik di Malaysia sekarang?”, keluh seorang ahli jemaah masjid berhampiran rumah penulis selepas solat subuh pagi tadi.
Keluhan itu merujuk kepada berita yang berkaitan laporan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjang, Elizabeth Wong yang terpaksa meletakkan jawatan sebagai Exco dan Adun berikutan gambar bogelnya diedarkan di internet dan MMS
Memanglah penulis merasakan adalah tidak adil seseorang penjawat awam terpaksa meletakkan jawatan semata-mata kerana tidak tahan dengan kerenah dan fitnah yang beliau sendiri tidak redha.
Siapakah yang sanggup meredakan jika segala kesilapan yang dilakukan sebelum ini, ketika belum menjadi selebriti, tiba-tiba didedahkan umum apabila beliau berada di puncak populariti. Ini suatu malapetaka yang amat buruk dan suatu kutukan yang amat besar harus dikenakan ke atas mereka yang bertanggungjawan melakukan penyebaran itu atas niat curang untuk mengaibkan atas kepentingan tertentu, termasuk berkait isu politik yang sedang memuncak melanda negara sekarang.
Mungkin kerana itulah, Wanita MCA, walaupun tidak sealiran politik dengan Wong, bangkit menyuarakan kutukan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dalam penyebaran gambar itu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula walaupun tidak mahu campur tangan dalam isu itu berkata: “Kalau mahu dipersoalkan (isu itu) kenapa di Malaysia selalu timbul masalah moral. Kita tidak boleh salahkan orang itu sahaja.
“Macam doktor kata di Kelantan ini banyak orang sakit darah tinggi, buah pinggang. Kita tak boleh nak salahkan orang itu saja, sebaliknya kena juga salahkan kepada cara hidangan makanan, cara suasana setempat, cara itu dan cara ini,” jelas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas itu.
Kenyataan sinis beliau itu jika ditilek mempunyai pengertian yang mendalam, yang boleh dilihat jawapannya itu dari sudut politik dan agama.
Kenyataan tokoh politik bertaraf ulama itu lebih kurang sama dengan jawapan apabila penulis memintanya komen mengenai tindakan Sultan Perak tidak membubarkan DUN negeri itu apabila Pakatan Rakyat gagal mengekalkan majoriti dalam kerusi DUN itu setelah tiga Adunnya keluar parti itu.
Beliau tidak menyalahkan tindakan Sultan kerana bertindak demikian, kerana beliau tahu Sultan mempunyai kuasa dan haknya. Apa yang dipersoalkan punca bermulannya kisah kenapa menyebabkan terpaksa Sultan bertindak demikian.
Katanya, kenapa beberapa Adun yang “hilang” beberapa hari, tiba-tiba muncul bersama orang politik Barisan Nasional, termasuk Datuk Seri Najib sebelum kerajaan Pakatan yang dibentuk 8 Mac tahun lalu digulingkan BN dalam masa yang singkat.
Beliau mengesyaki ini ada perancangan jahat oleh pihak tertentu, lantas menuduh Umno atau BN yang mendalangi itu semua.
Justeru itu, beliau menyifatkan Umno tidak boleh diharap, katanya “Usahkan nak jaga Islam, nak jaga demokrasipun tidak boleh (diharap).
Berbalik isu pengedaran gambar bogel Adun Bukit Lanjang itu, kita turut mempersoalkan kenapa isu itu timbul di saat kekalutan politik di Perak selepas BN berjaya menggulingkan kerajaan Pakatan, dan kali ini ia turut berlaku di negeri yang diperintah Pakatan di Selangor. Apakah ini nasib malang yang ditentukan oleh kadha' dan Qadr Allah atau perancangan pihak tertentu untuk menggulingkan kuasa yang ada demi untuk berkuasa tanpa memperakukan kerajaan yang dipilih rakyat tetapi atas kuasa teknikal undang-undang untuk menghalalkan cara?

No comments: