Sunday, August 31, 2008

Anehnya Permatang Pauh

BANYAK keanehan berlaku sepanjang kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu. Keanehan yang membawa kepada kekalahan dengan majoriti besar calon Barisan Nasional (BN) dan sekaligus menghantar Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kemuncaknya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
Aneh, kerana Anwar yang dibebani dengan dakwaan salah laku moral dan jenayah tetap dipilih oleh penduduk Permatang Pauh - kawasan yang 'ditinggalkannya' sejak 10 tahun lalu sungguhpun ia hanya merupakan kubu terakhir Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Dalam sejarah politik Malaysia, tiada pemimpin sekebal Anwar - tetap disanjung dan dipuja - walaupun apa yang didakwa dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu menjadi pantang larang berpolitik dan dosa besar bagi umat Islam.
Sumpah laknat oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dan dakwaan liwat di mahkamah serta menggunakan wang haram hasil perjudian, salah laku semasa berada dalam kerajaan serta kontroversi seks gagal menggoncang ketaksuban pengundi Permatang Pauh terhadap kredibiliti beliau.
Penduduk Permatang Pauh tetap mengaguminya sebagai seorang pejuang rakyat dan lebih daripada itu, seperti yang dicanang sebagai bakal Perdana Menteri. Dalam setiap ceramahnya, khalayak Permatang Pauh pulang dengan rasa puas dan lega bahawa Anwar akan menyelesaikan masalah mereka.
Mungkin ini berkat kesabaran Anwar kerana demokrasi memang memerlukan kesabaran. Kesabaran untuk mendengar dan didengar. Demokrasi memerlukan telinga yang lebar untuk respons kepada semua suara termasuk suara senyap. Demokrasi juga memerlukan dada yang lapang untuk menerima suara kecaman dan herdikan.
Ini juga kelebihan Anwar. Kemampuannya meyakinkan khalayak mengenai personalitinya menyebabkan mereka tidak ambil peduli dengan urutan peristiwa berdasarkan fakta yang berlaku sebelum dan semasa kempen pilihan raya.
Aneh, kerana sumpah laknat Saiful yang tidak disambut, gagal mendorong dan membentuk keyakinan umum bahawa beliau berada pada kedudukan di pihak yang bersalah. Kemenangannya dengan majoriti lebih besar berbanding yang diperoleh oleh 'penjaga kawasannya', Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail setakat ini boleh memberi gambaran bahawa masyarakat lebih mempercayai Anwar.
Keengganan Anwar untuk membalas sumpah dengan kilah tidak mahu mempermainkan hukum Islam dan berpegang kepada nasihat ulama negara luar lebih meyakinkan penduduk Permatang Pauh. Inilah yang tersurat kerana setakat ini, hanya Allah, Anwar dan Saiful yang mengetahui kebenarannya.
Tetapi sumpah adalah perbuatan yang bukan boleh dibuat main-main dan bakal meninggalkan kesan serius. Kesannya boleh dilihat dalam jangka waktu pendek atau panjang - sekurang-kurangnya setahun.
Aneh, dalam kempen di Permatang Pauh tidak ada pula dakwaan Anwar diancam bunuh. Sedangkan beliau sangat terdedah dengan persekitaran yang terbuka di pasar, pentas, restoran dan dalam kenderaan. Dalam sehari - siang dan malam - sekurang-kurangnya lima ceramah yang dihadiri oleh Anwar di tempat terbuka tetapi tidak terdengar langsung ada ancaman terhadap nyawanya.
Keadaan ini jauh berbeza sewaktu beliau mendakwa diancam bunuh semasa tersebar khabar polis akan menangkapnya untuk siasatan terhadap laporan liwat oleh Saiful. Ini hingga menimbulkan persepsi negara ini tidak lagi selamat. Ia juga telah mengundang campur tangan kuasa besar Amerika Syarikat (AS), iaitu satu perbuatan yang tidak disukai oleh rakyat negara ini.
PersepsiWalaupun ini menguatkan persepsi bahawa Anwar sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya dan sentiasa bersekutu dengan Barat, tetapi sekali lagi penduduk Permatang Pauh tidak ambil peduli. Anwar sentiasa mempunyai alasan. Anwar sentiasa lebih pintar berkilah untuk memutihkan segala persepsi buruk terhadap tindakannya.
Aneh, cita-cita melangit Anwar untuk menjadi Perdana Menteri pada 16 September ini - enam hari sebelum kesnya disebut semula di mahkamah - disambut dengan rasa keghairahan yang luar biasa di Permatang Pauh. Di kalangan penduduk percaya mereka bukan sahaja mengundi untuk kerusi di Parlimen tetapi juga jawatan tertinggi pemerintahan negara.
Pas pula yang dilihat bersikap 'demi kepentingan politik', tidak pula mahu menghalang hasrat Anwar sedangkan ia terang-terangan meminggirkan kepimpinan parti berteraskan Islam itu. Lebih daripada itu, impian Anwar tersebut jelas bakal mengorbankan asas perjuangan parti sekutu dalam pakatan pembangkang tersebut.
Rangsangan harapan baru secara berterusan oleh Anwar kepada para pengundi di Permatang Pauh supaya menghantarnya ke Putrajaya juga telah menepis perakuan Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bahawa mereka tidak akan melompat menyertai gagasan 16 September.
Walhal, di pentas ceramah pilihan raya yang berasingan para pemimpin Sabah dan Sarawak turut hadir untuk menyatakan taat setia mereka kepada Barisan Nasional (BN). Mereka menolak sama sekali pelawaan Anwar.
Angka 30 Ahli Parlimen yang dianggap mustahil dapat diperoleh oleh Anwar untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri tidak lagi diambil kira. Perbuatan merampas kuasa menerusi pintu belakang yang bakal meruntuhkan amalan demokrasi sihat negara ini - perjuangan utama pakatan pembangkang - tidak lagi menjadi perhitungan.
Ikrar Anwar untuk mengubah keadaan negara termasuk pemulihan ekonomi dalam masa tiga bulan menjadi Perdana Menteri mendapat sorakan dalam setiap ceramahnya. Mereka lupa kini parti yang diterajui Anwar itu memerintah negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Menilai secara adil, di sebuah negeri pun dalam tempoh 100 hari, tidak banyak yang dilakukan oleh mereka.
Anehnya, sebutlah apa sahaja - angan- angan kosong, putar belit, pembohong, penderhaka dan penjenayah - Anwar telah membuktikan dirinya mampu meraih sokongan mahupun simpati rakyat.
Tetapi Anwar juga menyedari di Permatang Pauh beliau tidak menang semuanya. Begitu juga BN, parti itu tidak kalah segala-galanya. Malah di Permatang Pauh, dalam konteks politik nasional, ia telah menyerlahkan keperibadian sebenar seorang bernama Anwar. Di Permatang Pauh, isu moral Anwar tidak relevan, tetapi apakah itu yang akan berlaku di kawasan lain?
Mengikut pemerhati politik, kemenangan Anwar dengan majoriti besar banyak dibantu oleh kelemahan BN khususnya UMNO sebagai sebuah organisasi. Organisasi politik yang dianggap paling mantap kerana rangkaiannya berada di segenap pelosok ini, tidak bergerak sepenuhnya. Bocor di sana sini.
Dalam menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh ini, BN seperti ular sawa kekenyangan. Berpuas hati dengan apa yang telah dinikmati. Pergerakannya tidak lagi pantas dan mengejutkan, tetapi lembam dan lebih gemar menunggu tindakan lawan.
Malah kadang kala, jentera 'raksasa' BN ini terlihat takut dan cepat mengalah berbanding pihak lawan yang terkesan tangkas, agresif dan sering pula bertindak ganas dan bijak memprovokasi. Ini sehinggakan pilihan raya kecil itu disifatkan paling ganas dalam sejarah dengan mencatatkan 71 laporan polis berkaitan kesalahan kekerasan, mengancam keselamatan, menghalang kempen, menjatuhkan poster pihak lawan dan menggunakan bahasa kesat.
Anwar memang berpotensi menang di Permatang Pauh tetapi bukan dengan majoriti sebesar 15,671 undi. Begitu juga BN berpotensi untuk menang dengan jangkaan majoriti kecil sekurang-kurangnya 200 undi. Ini perkiraan kedua-dua pihak, sehinggalah beberapa jam sebelum pengumuman keputusan pilihan raya diumumkan pada malam 26 Ogos lalu.
Memang ini kubu kuat Anwar. Benar ini wilayah Anwar semenjak beliau masih bersama UMNO lagi. Permatang Pauh telah menjadi tempatnya bermain sejak 1982, yang sebelum itu menjadi kubu kuat Pas.
Di sini, beliau pernah menumbangkan tokoh muda Pas, Mohamad Sabu (1986) dan Mahfuz Omar (1990). Pada 1995 pula, beliau dengan mudah mengalahkan calon Melayu daripada DAP dengan majoriti 23,515 undi.
Sebab itu, beliau memilih Permatang Pauh dan bukannya Bandar Tun Razak mahupun Kulim Bandar Baharu.
Walaupun Anwar kaya dalam berkilah tetapi satu hal yang sudah terang lagi bersuluh ialah kegagalan atau mungkin tidak kesanggupan UMNO untuk membaca tanda-tanda zaman. UMNO dilihat tidak lagi silap membaca kehendak perubahan yang menggelora dalam masyarakat.
Zaman menuntut perubahan tetapi mereka masih asyik dengan kepentingan sendiri, sibuk melobi rezeki dan ghairah berkira- kira soal kuasa. Adalah malang jika mereka terus mahu berada seperti di padang pasir. Mendengar gema suara sendiri tapi menyangka suara orang lain. Mereka tidak mampu lagi membezakan antara kehendak sendiri dan aspirasi rakyat.
Soal pemilihanDan, satu hal yang tidak dapat disembunyikan di Permatang Pauh ialah soal pemilihan bahagian pada Oktober depan dan cawangan yang sedang berlangsung. Pemilihan yang disifatkan oleh beberapa Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO 'seperti dunia akan kiamat esok' dan 'politik wang begitu bermaharajalela' menyebabkan rakyat bertambah mual.
Aneh, dalam suasana menghadapi pilihan raya kecil ini, rakyat khususnya orang Melayu dipertontonkan dengan tingkah laku kemaruk kuasa dan maki hamun sesama pemimpin UMNO. Mereka seperti tidak belajar mesej tsunami politik yang cuba disampaikan oleh rakyat semasa pilihan raya umum, lima bulan sebelum itu.
Anwar begitu masak dengan kelemahan UMNO ini. 'Mood' pemilihan peringkat parti mengatasi kesungguhan jentera di peringkat rangkaian parti yang paling ditagih peranannya iaitu cawangan. Walaupun daripada segi angka keahlian UMNO dan BN, Datuk Arif Shah Omar Shah sepatutnya tidak menghadapi masalah besar di Permatang Pauh.
Rombongan jentera parti dari negeri lain juga tidak banyak membantu. Tumpuan dan kekuatan tidak sepenuhnya digunakan untuk menghadapi peperangan di medan utama melawan Anwar dan pakatan pembangkang. Di lobi-lobi hotel, perbualan banyak berkisar siapa akan menentang siapa di peringkat bahagian. Malah ada dakwaan, jentera parti di peringkat cawangan tidak menunjukkan kesungguhan untuk berpadu tenaga sebagai satu pasukan sehingga jentera bantuan dari negeri lain pun mati arah.
Lebih menggerunkan, ada dakwaan pemimpin cawangan melayan godaan pihak-pihak tertentu untuk mensabotaj parti pada saat-saat akhir kempen. Mereka dikatakan menerima ganjaran besar.
Mungkin sahaja, post-mortem yang bakal dilakukan oleh BN dan UMNO kelak bakal menemukan punca kekalahan yang sama seperti pilihan raya umum lalu iaitu antaranya ialah sabotaj. Sebab itu, tuntutan perubahan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi walaupun terpaksa membayar harga yang mahal.
Ingatlah, UMNO bukan sahaja naungan untuk ahli-ahlinya tetapi juga orang Melayu. Dan, sejak berdekad-dekad dari era kemerdekaan, kepercayaan juga terus diberikan kepada UMNO untuk menaungi negara ini.
Dalam mengharungi kesan kekalahan di Permatang Pauh walaupun ia bukan gambaran sebenar pengundi di tempat lain, UMNO harus terus digerakkan dengan penuh keyakinan sebagai sebuah organisasi politik yang unggul dan relevan dengan matlamat perjuangan untuk bangsa, agama dan negara.
Penegasan para pemimpin UMNO untuk melaksanakan usaha mempercepatkan program pemulihan yang sedang digerakkan sekarang dan mengambil langkah-langkah menjenamakan semula BN dengan pendekatan baru dan boleh diterima rakyat, adalah reaksi positif untuk memenuhi tuntutan perubahan.
"Ini jelas bahawa kita perlu buat satu perubahan cepat, corak, daya dan perubahan organisasi kita dan cara kita," kata Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiap pengalaman adalah guru. Pilihan raya umum 8 Mac dan pilihan raya kecil 26 Ogos lalu, semestinya menjadi cermin untuk BN dan UMNO melihat diri mereka. Jangan pula jika wajah buruk, cermin dipecahkan.
Anwar yang dibebani dengan pelbagai kontroversi bukanlah halangan untuk UMNO dapat terus diterima oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia. Beliau sekarang sudah di Parlimen. Di premis itulah, mengikut ramalan banyak pihak, puncak perjalanan Anwar. Jika nasibnya baik, beliau berpeluang bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana tuduhan mahkamah yang dihadapinya sekarang memungkinkan beliau hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya, lantas menguburkan impiannya ke Putrajaya.
Memetik kata-kata Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir bahawa hanya 20 peratus apa yang diucapkan oleh Anwar adalah fakta, selebihnya merupakan retorik semata-mata. Sebenarnya jika Anwar mendakwa boleh 'membeli' Ahli Parlimen BN, parti pemerintah itu juga lebih berkemampuan berbuat demikian.
Apa pun, keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang memihak kepada Anwar dan pakatan pembangkang perlu dihormati kerana ia merupakan pilihan rakyat. Tetapi jika pintu belakang demokrasi digunakan untuk meraih kuasa, perbuatan itu wajar ditentang kerana ia bukan kehendak dan suara hati rakyat.

KEMPEN MELAMPAU BN PUNCA KEKALAHAN

Oleh HNH


EPESOD teka teki mampukah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjejajakkan kakinnya di Parlimen terjawab apabila beliau mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen selepas memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh, baru-baru ini.

Tiada siapapun dapat mempersoalkan episod percaturan politik itu kerana ia termaktub dalam perlembagaan dan peraturan negara yang mengamalkan dasar demokrasi.

Tiada gunannya ada pihak yang mempersoalkan isu itu, terutama atas dasar sentimen politik yang berkobar-kobar kesan daripada kempen pilihan kecil selama 10 hari bermula 16 Ogos lalu.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh dokosongkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk memberi laluan kepada suaminya (Anwar) bertanding selepas habis tempoh edah bagi membolehkan beliau berbuat demikian.

Anwar melepaskan kerusi itu yang dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) setelah dipecat daripada kerajaan dan parti dan direngkok dalam tahanan apabila disabitkan keslahan atas tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Beliau dibebaskan daripada tuduhan liwat yang pertama dengan adik angkatnya, yang mencalit tinta hitam yang akan tidak akan padam dalam sejarah politik tanah air di era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.


Anwar sekali lagi diseret dalam kes liwat kedua apabila beliau didakwa melakukan kesalahan itu dengan pembantu peribadinnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang sekali gus melakarkan sejarah hitam kedua di era pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Kelima.

Bagaimanapun, isu berkenaan gagal mempengaruhi kepercayaan rakyat kawasan Parelimen Permatang Pauh apabila beliau memenangi pilihan raya kecil kawasan itu dengan mendapat menjoriti lebih besar iaitu 15,671 berbanding isterinnya, Dr Wan Azizah yang memanangi kawasan itu pada PRU ke-12 (13, 888).
Pada pilihan raya itu, Wan Azizah mengalahkan pencabarnya. Datuk Firdus Hassan daripada BN yang memperoleh 16,950. Jumlah pengundi ketika itu ialah 30,388 dan peratusan keluar mengundi adalah 81.87 peratus.

Pada pilihan raya kecil baru-baru ini, Anwar memperolehi majoriti 15,761 mengalahkan dua pencabarnya, Datuk Arif Shah daripada BN yang mendapat 15,524 undi dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat, yang hanya memperolehi 92 undi. Peratusan keluar mengundi ialah 80.01 peratus. Beliau hilang wang pertaruhan.

Benarlah seperti yang diperkatakan kebanyakan pemerhati politik bahawa pilihan raya kali ini adalah yang paling sengit dan memenentukan hidup mati PKR serta memberi tamparan paling besar kepada Pak Lah yang berhadapan dengan pelbagai isu dan krisis kepercayaan selepas mencatat kejayaan cemerlang dalam PRU-11 sebaik mengambil alih teraju kepemimpinan daripada Tun Mahathir pada 2004.

Dalam perbualan penulis dengan seorang pesara guru agama yang sebelum ini aktivis Umno menyifatkan salah satu faktor kekalahan BN pada pilihan raya kecil itu adalah berpunca daripada rakyat jelak dengan kempen-kempen dan proganda politik yang begitu sekali dimainkan oleh jentera BN, termasuk media arus perdana yang memperlihatkan rakyat seolah-olah diperbodohkan.

Katanya, rakyat ketika ini, terutama di zaman sains teknologi dan dunia tanpa sempadan kini tidak seperti dahulu, malah mereka lebih ke depan daripada jentera kempen parti kerajaan dalam menerima maklumat sebenar mengenai sesuatu isu, termasuk isu kes liwat dan inflasi kesan kenaikan harga bahan api dan barangan keperluan lain.

Beliau juga berpendapat peranan media masa ketika ini jauh menyimpang daripada matlamat asal perjuangannya berbanding dahulu di mana akhbar mampu menjadi suara rakyat dan penyalur maklumat kerajaan kepada rakyat. Media massa, terutama media arus perdana ketika ini lebih tertumpu ke arah mengikut telunjuk pemimpin politik yang berkepentingan untuk mengekalkan kedudukan individu tertentu dalam kerajaan dan parti.

Komen ringkas bekas aktivis politik dan pesara guru itu selari dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan kemenangan calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil itu membuktikan rakyat sudah jelak dengan kempen politik melampau BN.
Katanyanya, rakyat menolak calon BN walaupun pelbagai serangan dihalakan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, terutama tuduhan liwat kali kedua.

“Zaman Umno dan BN menggunakan politik melampau sudah berlalu kerana rakyat hari ini tidak sama berbanding zaman sebelum merdeka,” katanya.

Hasrat Anwar capai sasaran 16 September sukar - Ku Li

KOTA BAHARU: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, berkata hasrat Pakatan Rakyat (PR) untuk membentuk kerajaan pada 16 September ini sukar menjadi kenyataan.
Menurut beliau, persefahaman dalam parti yang berada di bawah pakatan itu PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat masih belum jitu.
"Saya tak yakin itu akan berlaku... kita lihat tak ada kesungguhan dalam pakatan itu, kalau satu pihak (pun) tak boleh beri persetujuan (dalam beberapa perkara)... (saya tidak nampak) bagaimana cadangan itu akan menjadi kenyataan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Forum Sambutan Merdeka: Pelaksanaan Undangundang Fasal 152 dan Fasal 153" dengan tema Memperkasakan Perlembagaan Negara anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di sini hari ini.
Tengku Razaleigh yang merupakan penaung MTRK, sebelum itu menyampaikan ucaptama bertajuk Mempertahankan Asas dan Teras Kedaulatan dan Ketahanan Rakyat dan Negara Pelbagai Kaum.
Mengulas bajet 2009 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, Tengku Razaleigh berkata, ia menampakkan usaha kerajaan dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dan golongan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan ekonomi negara ekoran kemelesetan ekonomi dunia perlu diberi perhatian. BERNAMA

Friday, August 29, 2008

PM bidas Anwar: Kita tidak mau layan 'ugutan oportunis'

Perdana menteri menamatkan ucapan pembentangan Bajet 2009 dengan penegasan "tidak akan membenarkan" wujud perubahan kerajaan persekutuan seperti diuar-uarkan sedang diusahakan oleh ketua pembangkang.

"Saya tidak akan membenarkan gangguan ini diteruskan.

"Saya tidak akan membenarkan mandat rakyat dirampas daripada parti BN yang telah menang majoriti pilihanraya umum secara sah dan mengikut lunas demokrasi," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di hujung ucapan 90 minit di Dewan Rakyat petang ini.

Tambahnya, kerajaan pimpinannya "tidak akan membazirkan masa lagi dengan ugutan-uguran golongan oportunis untuk merampas mandat rakyat melalui cara-cara yang tidak demokratik."

Kenyataannya itu mendapat tepukan gemuruh daripada ahli-ahli parlimen penyokong kerajaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disahkan secara rasmi sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat semalam, sejak beberapa bulan lepas meletakkan sasarannya sehingga 16 September ini untuk membentuk kerajaan baru.

Anwar, kini ahli parlimen baru Permatang Pauh, menyatakan kemenangannya Selasa lepas akan mempercepatkan lagi usahanya mendapatkan lebih 30 wakil-wakil rakyat BN dalam perjalanannya menuju Putrajaya.

Abdullah, yang juga menteri kewangan, berkata desas-desas yang disebarkan oleh tokoh PKR itu boleh "memberi kesan negatif kepada pelabur asing, sentimen ekonomi dan juga pasaran modal."

"Usaha pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan ini, dengan merampas kuasa secara tidak sah tanpa mandat majoriti rakyat, perlu ditolak.

"Kita tidak boleh membenarkan ketidakpastian yang timbul untuk berterusan," katanya dalam bajet 'Kerajaan Prihatin' yang bernilai RM207.9 bilion dengan tiga strategi.

Sebelum itu Abdullah menyifatkan politik yang dibawa pembangkang sebagai penuh retorik dan keterlaluan.

"Rakyat tidak akan dimakmurkan dan negara tidak dapat dibangunkan hanya dengan retorik politik. Budaya berpolitik yang keterlaluan merugikan kita, malah menjejaskan kemakmuran negara," katanya.

Beliau turut membidas janji-janji pembangunan Pakatan Rakyat, termasuk sewaktu kempen pilihanraya umum Mac lalu, "yang boleh memusnahkan kedudukan kewangan kerajaan dan mewariskan negara yang muflis pada generasi muda."

Wednesday, August 27, 2008

SALAM UKHWAH...


Salam buat semua...
Harapan saya agar blog ini mampu memberi sedikit sebanyak coretan rasa.
Segala komen saudara, yang membina amat dialu-alukan di sini.

Salam bloggers!