Saturday, October 31, 2009

BAGAIMANA MAHU TERAPKAN NILAI DISIPLIN PENONTON BOLA SEPAK KELANTAN ?






SETELAH sekian lama tidak beraksi sebagai wartawan sukan dan turun padang menyaksikan sebarang perlawanan bola sepak sama ada liga perdana atau liga FA, penulis berasa teruja apabila pasukan The Red Warriors Kelantan, yang dulunya terkenal sebagai skuad kijang hampir menjejakkan kaki di peringkat perlawanan akhir.
Kini sebelah kaki skuad red warriors Kelantan itu layak masuk ke peringkat akhir apabila berjaya menundukkan Perlis 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV malam Selasa lalu.
Kemenangan Kelantan itu ditunggu-tunggu ribuan penonton yang sedia memenuhi tempat duduk berbumbung dan terbuka stadium itu. Lebih mengharapkan kemenangan di pihak Kelantan ialah Presiden Kafa sendiri, Tan Sri Annuar Musa yang menjanjikan bonus lebih lumayan kepada pemainnya jika mampu melangkah ke peringkat akhir nanti dan sekali gus menjuara Liga Malaysia musim ini.
Ini kerana, menurutnya, perlawanan menentang mana-mana pasukan yang layak ke peringkat akhir akan menentukan hidup mati skuad kijang itu untuk melabuhkan tirai liga musim ini dan sekaligus akan membuka ruang untuk menjadikan tahun 2010 sebagai tahun kegemilangan bola sepak Kelantan sebagaimana pelan induk blue prints Kafa.
Keghairahan Kelantan untuk menjuarai liga itu jelas kelihatan apabila Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dalam keadaan uzur dan banyak program sanggup turun padang menyaksikan perlawanan itu. Kehadiran MB itu mungkin juga sebagai menyahut `jemputan’ Annuar yang bercadang membuat jemputan rasmi semua Adun yang ketika itu sedang bersidang di Dewan Undangan Negeri tanpa mengira parti politik menonton perlawanan separuh akhir pertama itu.
Pada malam itu, Nik Aziz dengan berpakaian jubah dan serban juga menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM5,000 (seadanya) kepada pemain Kelantan yang kononnya untuk membeli “minyak angina”.
Sumbangan yang kecil itu mungkin menjadi ejekan pihak tertentu yang sebelum ini berasa tidak puas hati kerana kerajaan negeri dikatakan tidak memberi sebarang sumbangan kepada Kafa, sedangkan Kafa mendapat sumbangan geran tahunan daripada FAM RM300,000 semusim.
Penulis boleh mengagak apakah maksud di sebalik reaksi spontan Annuar mencebik bibir apabila seorang rakan media bertanya benarkah Nik Aziz akan menyampaikan sumbangan wang kepada pemain malam itu.
Annuar ketika berucap meraikan pemain The Red Warriosnya di sebuah restoran eksklusif di Kota Bharu menyatakan Kafa terpaksa membayar denda RM400,000 semusim kerana kesalahan penonton melanggar disiplin semasa perlawanan liga Perdana itu yang melontar mercun, bunga api dan botol air ke tengah padang. Menurutnya, bayaran itu lebih banyak daripada geran yang diterima daripada FAM dan kutipan hasil jualan tiket. Ini semua terjadi adalah disebabkan kerenah penonton yang tidak berdisiplin yang tidak diterapkan dengan nilai-nilai kesopanan dan budi pekerti yang tinggi. Ini juga disebabkan penonton tidak disemai dengan nilai kerohanian dan keperibadian yang tinggi. Kita tidak tahu sampai bila tabiat penonton bola sepak Kelantan ini boleh berubah sejak turun temurun lagi.
Mungkin kerana itu, ramai di kalangan peminat bola sepak menganggapkan kalau mahu lihat penonton dan pemain bola sepak Kelantan bergaduh, lihatlah ketika pasukan itu kalah dalam perlawanan. Sikap tidak professional ini harus dihindarkan daripada terus bersemadi dalam jiwa peminat dan penonton Kelantan jika mahu mutu bola sepak Kelantan terus unggul dan mencapai tahap kegemilangan sebagaimana ketika zaman kebangkitan pemain idola Kelantan era 60-an dahulu, Dali Omar, yang mengharumkan nama arena bola sepak Kelantan ke seluruh negara.
Sikap tidak sopan segelintir penonton itu pernah ditegur oleh Nik Aziz selepas insiden rusuhan sewaktu perlawanan Piala FA di mana Kelantan bertemu dengan Negeri Sembilan di mana kenderaan polis di bakar dan seorang remaja cedera di mata kerana terkena serpihan peluru gas pemedih mata.
Penulis teringat kata-kata Menteri Besar itu ketika berucap di majlis sulaturahim Adilfitri dengan Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan (Perakan) tahun lalu, di mana undang-undang dan peraturan sahaja tidak boleh mendidik manusia, tanpa dibentuk dan dididik dengan roh keimanan yang sejati agar menjadi muslim yang beriman atau muslim prefesional.
Dalam kenyataan terbaru dua hari lalu, Nik Aziz juga menegur penoton yang bersikap keterlaluan ketika menyokong pasukan Kelantan dengan lontaran mercun dan bunga api ke tengah padang sewaktu perlawanan berlangsung. Beliau juga tidak puas hati kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengebarkan bendera parti di ‘score board’ tanpa mengambil kira sensitiviti penonton yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan fahaman politik.
Dalam hubungan ini soal politik hendaklah diketepikan supaya semangat kesukanan terpelihara dan jadikan slogan maju sukan untuk negara menjadi realiti tanpa dipengaruhi sentimen politik.
Justeru, langkah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa wajar dipuji kerana beliau sanggup menjemput semua Adun menonton perlawanan pada malam perlawanan separuh akhir pertama menentang Perlis itu tanpa mengira daripada mana-mana parti politik, walaupun ada suara-suara sumbang menyindirnya sebelum ini bahawa beliau (Annuar) lebih layak menerajui Kafa dan melayan anak-anak muda dalam sukan bola sepak daripada memimpin Umno atau menjadi wakil rakyat kerana Berjaya menunjukkan kecemerlangan yang menyerlah hingga pasukan Kelantan mampu meraih ke peringkat akhir, setelah kegersangan selama 40 tahun, selepas kali terakhir layak ke peringkat akhir piala itu menentang Perak pada 1970.