Thursday, April 30, 2009

Siapa makan cili: KEHILANGAN YANG MEMILUKAN



KETIADAAN alat multimedia yang dinamakan note book. laptop atau komputer riba amat menyulitkan penulis untuk mengemaskinikan laman blog yang sudah lama tidak mendapat sentuhan penulis. Ini berikutan komputer riba penulis dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab selepas memecah kereta produa Kelisa Limited Edition yang diletakkan di tepi bangunan Koperasi Kesatuan Guru Melayu Kelantan (KGMK) di Jalan Belakang Kota Darulnaim Kota Bharu. kira-kira jam 10.30 pagi 27 April lalu. Ketika kejadian penulis sedang berurusan berkaitan hal penulisan dengan sahabat di atas bangunan berhampiran. Selepas selesai urusan yang dianggap ringkas itu penulis menyedari laptop yang diletakkan di dalam beg di kusyen belakang hilang dan cermin tingkap kereta itu dipecahkan. Seketul batu jokong kongkrik dijumpai di atas kusyen itu bersama serpihan kaca tingkap kereta. Pada mulannya penulis tidak berasa apa-apa kecuali terkedu seketika. Setelah memikirkan beberapa dokumen penting yang disimpan dalam beg komputer itu barulah penulis berasa amat kesal dan sedih. Ketika itulah penulis mati akal, cuba menghubungi melalui telefon bimbit sahabat yang baru lepas bercakap denganya di atas bangunan tadi tidak angkat walaupun beberapa kali dicuba. Sehinggalah seorang staf pejabat rakan penulis menghubunginya barulah dia muncul dengan termengah-mengah dan menunjukkan air muka simpati. Seperti kehilangan pedoman, penulis terus membuat laporan polis setelah dinasihatkan berbuat demikian oleh mereka yang mengurumni kereta penulis yang dipecahkan cermin tingkap tadi. Beberapa orang yang turut mengurumi kereta penulis itu memberitahu ada seorang staf pejabat KGMK itu terdengar dentuman kuat seperti pecahan kaca dan cuba melihatnya ke arah kereta itu, namun ketika itu kelihatan seorang lelaki menunggang motosikal melarikan diri dari situ. Menurut seorang taukeh kedai menjual makanan di sebalah, staf KGMK itu jenuh mencari tuanpunya kereta iaitu penulis tetapi tidak dijumpainya, sehinggalah penulis datang untuk mengambil kereta dan terjkejut melihat keadaan itu. Penulis terfikir, jiak adalah orang bertanggungjawab menangkap penjenayah itu, nescaya laptop dan dokumen penulis yang disimpan di dalam beg itu terselamat atau penjenayah terbabit boleh dibawa ke pihak berwajib. Apa yang amat mendukacitakan penulis ialah dokumen yang disimpan di dalam beg komputer riba itu turut dilarikan, termasuk sijil permit penerbitan akhbar yang penulis akan usahakan Tetapi apa boleh buat, penulis hanya mampu pasrah dan menyerahkan kepada rakdir, kerana bagi penulis tadbir tidak boleh mengatasi tadbir. Walau macam manapun kita sayang, ia boleh hilang jika bukan rezeki kita. Untuk senang menjawab apabila rakan-rakan tanya (mengenai kecurian laptop itu) ialah memang dah tak ada rezeki dan penulis tetap berpegang kepada sepotong ayat al-Quran "La tataharaqu illa biiznillah" yang bermaksud tidak akan berlaku gerak geri seseorang itu melalinkan dengan kehendak dan keizinan Allah jua.
Seorang sahabat lama sambil menepuk bahu menyuntik semangat kepada penulis sambil berkata: "La Tahzan Innallah ha Maana" yang bermaksud jangan kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita....

Sunday, April 12, 2009

Sembang sebelum Subuh: MAMPUKAH MUTU SUKAN BOLASEPAK KELANTAN BERTARAF DUNIA?



KALI ini penulis tidak ingin membincangkan soal scenario politik negara ekoran ketiga-tiga parti, iaitu Pas, PKR dan BN masing-masing memperoleh satu kerusi dalam pilihan raya kecil serentak iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, malah lebih berminat membincangkan insiden rusuhan bosalepak di negeri dikenali Serambi Makkah ini.
Malah dengan keputusan itu ada orang yang menggelarkan BN dapat satu batang, Pakatan dapat dua bukit.
Berbalik persoalan pokok menyentuh bolasepak Kelantan, penulis teruja dengan kenyataan Menteri Besar yang menyifatkan kekecohan yang berlaku dalam perlawanan separuh akhir Piala Super di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV sebagai memalukan.
Walaupun pemimpin politik bertaraf ulama itu tidak menyaksikan perlawanan itu, tetapi memang hakikatnya beliau prihatin dengan insiden yang dianggap di luar batasan dan lari dari nilai-nilai murni masyarakat Kelantan.
Mahu tidak mahu beliau terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam sebuah rumah tangga.
Sebagai tanda kesungguhan para pemimpin dalam memberi perhatian kepada rakyat, kedua-dua pemimpin politik Kelantan, iaitu Nik Aziz dan Annuar Musa, pada masa sama sanggup bersemuka dan masuk ke dalam wad Hospital Sultanah Zainab II, menziarah seorang mangsa yang buta sebelah mata akibat terkena serpihan letupan gas pemedih mata yang dikatakan dari tindakan pasukan FRU menyuraikan rusuhan di luar stadium malam itu. Di sini nampaklah kepada kita bahawa politik dengan semangat kesukanan boleh dipisahkan. Nik Aziz pun pernah sebut bahawa politik dengan agama tidak boleh dipisahkan. Orang yang memisahkan itu mereka adalah berpegang kepada amalan itu adalah fahaman sekular yang diwarisi penjajah.
Di sini penulis suka menasihatkan kepada mana-mana penyokong fanatik parti politik jangan terlalu taksub kepada parti hingga melupakan nilai-nilai murni dalam keluarga dan masyarakat.
Ini kerana, ia selain berpegang kepada hukum Allah, kita juga berpegang kepada hukum alam bersandarkan al –Quran dan sunnah iaitu mengadakan hubungan baik sesama manusia selain dengan Allah kerana kita tidak boleh lari daripada kenyataan “Hablul Minallah Wa Hablulminannas”.
Berbalik soal insiden di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV malam itu, penulis teringat beberapa peminat lama memberi komen bahawa mutu bolasepak Kelantan menuju ke episod lama di mana kalau kalah dalam perlawanan akan main kasar. “Bukan nak cari dan nak sepak bola tapi nak sepak keting dan terjah lawan. Bola tak tahu ke mana, gol tak tahu ke mana huuuu…”
Melihat kepada perkembangan bola sepak Kelantan sejak mutahir ini, seorang peminat bola sepak veteran Kelantan mengemukakan persoalan kepada penulis: "Mampukah mutu bola sepak Kelantan menuju ke matlamat bertaraf dunia?"


Saturday, April 4, 2009

SUKAN TOMOI TIDAK WAJAR DI KELANTAN?



Kali pertama menyaksikan pertandingan tomoi Siam atau disebut muay Thai, peringkat antarabangsa anjuran kerajaan Kelantan di Stadium Sultan Mohammad Ke IV Kota Bharu, baru-baru ini, penulis terruja dan terpanggil untuk mempersoalkan tentang kewajaran sukan ganas itu diadakan di negeri yang digelar serambi Makkah ini.
Tanpa memperhitungkan kepentingan dari segi politik dan industri pelancongan, penulis berpandangan sukan itu tidak wajar diadakan, kerana selain ia sejenis sukan ganas dan lasak dan dilihat sebagai melagakan sesama manusia, apatah lagi jika iannya dipertandingkan bagi merebut Piala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang digelar sebagai ulama atau tok guru.
Penulis tidak tahu sejauh mana pandangan Nik Aziz dalam perkara ini dan sama ada pernah menyaksikan pertandingan ini atau tidak, kerana jika beliau tonton mungkin beliau tidak tergamak melihat manusia melakukan keganasan terhadap sesama manusia yang dilihat sebagai lembu berlaga walaupun ia dianggap sejenis sukan . Mengikut pengetahuan penulis Islam melarang kita melagakan haiwan sesama haiwan yang tidak mempunyai fikiran walaupun ada otak, apatah lagi sesama manusia.
Difahamkan pertandingan ini diadakan bagi menambahkan lagi suatu produk dalam industri pelancongan di negeri ini. Tetapi sebagai negeri yang berslogankan membangun bersama Islam, wajarkah kejohanan sukan ganas dan lasak seperti itu dibenarkan? Dari segi Islam, lahirnya jelas dilihat peserta yang terlibat tidak menepati syariat Islam di mana berpakaian tidak menutup aurat, dengan berpakaian seluar pendek menampakkan pusat dan ia turut ditontoni oleh wanita.
Dalam hati penulis terdetik ingin bertanyakan Nik Aziz jika beliau hadir merasmi dan menyampaikan hadiah kepada juara kejohanan pada malam itu sama ada ia sesuai atau tidak diadakan, terutama apabila menggunakan namanya sebagai merebut Piala Kejohanannya. Malah, jika penulis turut berada dalam sidang akhbar yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan akan mengemukakan persoalan itu.
“Elok benar kita tanya MB malam ini untuk mendapat penjelasan?” bisik seorang rakan wartawan ke telinga penulis ketika menyaksikan pertandingan itu.
Difahamkan pertandingan tomoi Siam ini pernah diharamkan di Kelantan pada 1993 lalu apabila kerajaan negeri mendapati ianya tidak sesuai diadakan kerana ia dilihat sejenis sukan ganas dan mencemaskan penonton. Malah ada antara peserta pertandingan yang meninggal dunia akibat cedera parah dalam pertandingan itu kerana dibelasah regunya.
Bagaimanapun pertandingan itu dibenarkan semula selepas pihak berkenaan bersetuju mengubah suai kaedah pertandingan dengan kawalan pemantauan dibuat oleh Persatuan Boxing dan Jawatankuasa Belia, Sukan dan Wanita Negeri yang dipengerusikan oleh Exco Abdul Fatah Mahmood.
Abdul Fatah pula semacam tidak bersetuju apabila diajukan pertanyaan sama ada kerajaan sedar pertandingan itu dikatakan ganas dan berbahaya kepada peserta pertandingan dan tidak begitu sesuai diadakan di negeri ini, terutama apabila ia menjadi kejohanan merebut Piala Menteri Besar Kelantan.
“Kalau nak kira ganas semua jenis sukan ganas dan mencemaskan, Malah, pertandingan fotsal sendiripun ganas dan permainan hoki sendiripun ganas dan ada yang mati terkena kayu hoki ketika pertandingan,” jawab YB Abdul Fatah kepada penulis semacam emosi apabila diminta pandangannya.
Selepas menjejakinya beberapa hari, Isnin kelmarin barulah penulis berjaya mendapatkan komen Nik Aziz berhubung perkara itu lantas beliau menjawab “Ambo sendiri tak hadir pada majlis penyampaian piala kejohanan itu kebetulan ada musakah lain.
Menurutnnya, beliau bersetuju untuk mengkaji semula pertandingan itu jika ramai yang mendakwa iannya tidak sesuai dan dilihat sejenis sukan ganas dan mencemas serta berbahaya kepada peserta.
Bagaimnanpun, katanya, kajian itu boleh dibuat jika ada sungutan `hitam putih’ daripada mana-mana pihak yang beranggapan demikian dan usaha untuk mengubah suai patut dibuat jika perlu bagi memastikan pertandingan itu dapat terus diteruskan di negeri ini supaya ia menjadi salah satu produk tarikan baru pelancongan ke Kelantan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM).
Nik Aziz hanya diwakili Timbalannya, Datuk Ahmad Yakub untuk menyampaikan Piala Kejohanannya pada malam itu. Hadir sama YB Abdul Fatah sendiri, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, YB Datuk Takiyuddin Hassan dan beberapa Adun Pas.