Monday, October 27, 2008

DEBAT PEMUDA: APAKAH KEWAJARANYA?





SESUATU yang mengejutkan apabila calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan diadakan debat antara calon-calon yang bertanding jawatan itu.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah nasionalnya kenyataan Khairy yang mengajak calon yang mencabarnya dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda berdebat.
Yang jelas Khairy hanya member satu alasan utama mengapa perdebatan itu perlu diadakan iaitu untuk calon-calon menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing.
Bagaimanapun, pesaing terdekat Khairy, Mukhriz Mahathir awal-awal lagi menolak pelawaan calon Ketua Pemuda itu dengan alasan ia masalah dalaman parti dan tidak perlu didebatkan secara terbuka.
Namun, seorang lagi calon, iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo meyahut pelawaan Khairy itu.
Penulis tidak jelas sama ada persetujuan perdebatan oleh dua calon itu berpegang kepada prinsip atau alas an yang sama atau sengaja menyatakan pendirian untuk menjelaskan suatu pendirian atau prinsip bersama .
Daripada kenyataan awal Khairy menyatakan bahawa perdebatan terbuka itu bukanlah untuk mencari perbalahan atau percakaran sesama sendiri tetapi bagi menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing calon yang bertanding jawatan itu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mustapa Mohamed, dilaporkan tidak bersetuju perdebatan di kalangan pemimpin Umno kerana buat masa ini belum sampai masanya untuk pemimpin parti itu berbuat demikian untuk memilih pemimpin.
Beliau bimbang sekiranya debat secara terbuka diadakan menyebabkan para perwakilan hanya memilih calon yang petah bercakap tetapi tidak mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik kepada ahli dan rakyat.
Bagi penulis, kalau benarlah atas dasar itu, seperti yang disarankan Khairy , mengapa tidak ada pihak yang mencadangkan supaya perdebatan turut diadakan di antara calon-calon yang bertanding bagi jawatan tertinggi parti, termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden?
Pihak yang mencadangkan itu perlu mencari alasan yang lebih kukuh berhubung kewajaran debat itu diadakan…..
TAMAT

Berita Terdahulu: Debat Terbuka Bukan Untuk Bercakaran, Kata Khairy





KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menegaskan debat terbuka yang dicadangkannya bagi calon-calon yang bertanding merebut jawatan ketua pergerakan itu bukan bermaksud untuk bercakaran tetapi bagi menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing.Katanya debat tersebut akan dijalankan dengan tanggungjawab dan tertib.Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada seorang lagi calon bagi jawatan itu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kerana telah menyahut cabaran beliau untuk berdebat secara terbuka."Debat akan dijalankan secara gentleman, saya cuma minta diberitahu tempat, masa dan tarikh, saya akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka MIC sempena sambutan Hari Deepavali di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut keengganan seorang lagi calon, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir untuk terlibat di dalam debat terbuka tersebut.Ketika ditanya mengenai harapan beliau untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Mac depan, Khairy yakin peluang untuknya memenangi jawatan itu adalah cerah."Peluangnya adalah okay dan kita lihat apakah keputusannya nanti, saya akan berkempen dengan sebaik mungkin," katanya.Semalam, Dr Mohamad Khir menyahut cabaran Khairy yang mengajak calon-calon Ketua Pemuda supaya berdebat bagi menjelaskan pendirian dan pelan masing-masing.Bagaimanapun Mukhriz tidak bersetuju dengan cadangan itu menyatakan soal pemilihan parti merupakan hal ehwal dalaman Umno dan tidak wajar dilakukan secara terbuka.

Saturday, October 25, 2008

Antara Pencaya dengan tidak: KENAPA KU LI TIDAK BOLEH JADI PM?


SEORANG penyokong setia sebuah parti politik membisikkan ke telinga saya ketika menghadiri majlis kenduri bahawa Tengku Razaleigh tidak mungkin dapat memenuhi cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti kerana didakwa terkena sumpahan badi bekas calon Pas yang menentangnya, Hassan Othman yang dikenali sebagai “Pakcu Hassan” atau “Tok Wali Hassan” dalam pilihan raya umum kawasan Parlimen Gua Musang pada 1982.
Antara percaya dengan tidak saya mengimbas kembali sejarah politik ketika itu, di mana Tengku Razaleigh memenangi pilihan raya kecil itu dengan menyaksikan satu lawan satu , di mana Tengku Razaleigh memperoleh majoriti lebih 5,000 undi mengalahkan Pakcu Hassan.
Yang menimbulkan tanda tanya sesetengah pemerhati politik proses pengiraan undi pilihan raya kecil itu terpaksa ditangguhkan keesokan harinnya berikutan peti undi di kawasan pedalaman tidak dapat dibawa ke pusat pegiraan undi di Bandar Gua Musang kerana helekopter yang digunakan dikatakan tidak dapat mendarat disebabkan cuaca gelap.
“Tengoklah, siapa umur panjang…., anak raja itu tidak mungkin boleh jadi Perdana Menteri suatu hari nanti,” itulah antara kata-kata Pakcu Hassan yang kini sudahpun meninggal dunia sebagai merujuk kepada Tengku Razaleigh yang menyifatkan “bermain kotor” dalam pilihan raya itu.
Kebanyakan penyokong Pas ketika itu tidak menerima kekalahan calon parti pembangkang itu.
Menurut penyokong fanatik itu lagi, Tengku Razaleigh pernah mengalami sejarah pahit dalam politik, ketika mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk bertanding jawatan Presiden parti pada 1987 sehingga Umno diharamkan dan sekali lagi gagal bertanding menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana tidak memenuhi syarat kouta pencalonan.
“Pada kali ini, Ahli Parlimen Gua Musang itu sekali lagi akan mengalami kekecewaan sekirannya gagal mendapat pencalonan yang cukup untuk mencabar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk calon Presiden,” katanya.
Sehingga coretan ini ditulis, Najib sudah memperoleh 66 pencalonan daripada 58 syarat melayakan beliau bertanding jawatan itu, berbanding Tengku Razaleigh masih belum perolehi sebarang pencalonan.

Friday, October 24, 2008

LANGKAH BIJAK SHAHIDAN KASSIM


Perkembangan terbaru beberapa pemimpin Umno yang menarik diri daripada bertanding jawatan tertinggi dalam parti memperlihatkan amalan sihat yang ditunjukkan oleh sesetengah daripada mereka yang disifatkan sebagai "gentleman". Ini juga menunjukkan kematangan berpolitik di kalangan pemimpin Umno bagi mengelakkan mereka terus kecewa dalam perjuangan kerana kalah dalam satu-satu pertandingan merebut jawatan tertinggi dalam parti. Lagipun kita pernah diajar kata-kata semangat bahawa berundur selangkah ke belakang bukan bererti kita mengaku kalah, tetapi sebagai persediaan untuk kita memacu ke depan dengan lebih laju. Demikianlah sikap bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang mengumumkan keputusan menarik diri daripada bertanding Naib Presiden Umno. Walau apapun alasan yang diberi, namun hakikatnya Shahidan terpaksa akur dengan kenyataan bahawa beliau akan menghadapi laluan sulit untuk mendapat pencalonan yang cukup sebagai syarat kuota yang ditetapkan oleh perlembagaan parti untuk bertanding jawatan itu. "Walaupun saya percaya banyak bahagian yang akan terus memberi pencalonan kepada saya, namun saya akan member tumpuan bagi kerusi MT," katanya memetik laporan Bernama, semalam. Mungkin Shahidan tidak mahu menanggung risiko kekalahan atau gagal mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan Naib Presiden yang menyebabkan beliau menarik diri dan bersedia menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi MT dalam perhimpunan agung Mac nanti. Sehingga laporan ini ditulis, Shahidan hanya memperoleh enam pencalonan daripada 20 kuota yang melayakkan beliau bertanding jawatan itu, sama banyak dengan pencalonan yang diperolehi Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim untuk jawatan sama. Keputusan beliau patut dihormati oleh ahli Umno sebagai tanda setianya kepada parti bagi mengelakkan situasi lebih buruk berlaku jika beliau terus kekal dengan keputusannya untuk terus bertanding jawatan itu walaupun gagal memperolehi pencalonan yang mencukupi. Sikap yang sama diambil oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini, yang menarik balik keputusan untuk bertanding Naib Presiden parti apabila berhadapan dengan situasi yang hampir sama. Setakat ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah masih belum berbuat demikian walaupun semua sedia maklum setakat ini beliau belum mendapat sebarang pencalonan daripada mana-mana bahagian yang telahpun bermesyuarat. Ramai pemerhati politik yang ternanti-nanti untuk melihat nasib malang yang bakal diterima bekas Menteri Kewangan itu yang berhasrat untuk bertanding jawatan nombor satu dalam parti, iaitu menentang Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak. Daripada tinjauan rambang terkini yang dibuat oleh Mstar Online menerusi undian sama ada Tengku Razaleigh mampu memperolehi pencalonan mencukupi untuk melayakkan dirinya bertanding jawatan itu tidak memihak kepadanya. Beliau mungkin masih mengharapkan tuah memihak kepadanya. Penulis khuatir situasi ini jelas memperlihatkan Tengku Razaleigh akan berhadapan dengan kegagalan dan akan mengulangi sejarah hitam pemilihan musim lalu, di mana beliau gagal mendapat pencalonan mencukupi untuk mencabar Presiden parti ketika itu, iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau bukan saja kecewa tiga kali berturut-turut dan diumpamakan oleh orang Melayu pisang tidak mungkin berbuah dua kali, malah kali ini mungkin kali ketiga bagi Tengku Razaleigh.

SULTAN MURKA?


MESKIPUN penulis tidak hadir dan tidak mengikuti secara live titah ucapan Sultan Kelantan ketika merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (belanjawan) Kelantan Isnin lalu, namun apabila terbaca tajuk berita di akhbar Berita Harian selepas solat Subuh keesokan harinya melalui portal Berita Harian Online, hati penulis berdetik dan membayangkan sesuatu kesan akan menimpa terhadap akhbar itu.
Rupa-rupannya jangkaan penulis tidak meleset apabila Speaker Dewan Undangan Negeri itu, Nasuruddin Daud mengarahkan akhbar berkenaan menarik balik tajuk di muka depan akhbar itu yang menyebut “Sultan murka Kerajaan Pas gagal tadbir Kelantan”, kerana menurutnnya tajuk itu boleh memberi gambaran negatif terhadap kerajaan negeri.
Tajuk akhbar itu berbeza dengan beberapa akhbar lain, termasuk Sinar Harian yang dipetik sebagai menyebut “Sultan tegur projek tergendala”.
Isu ini bukanlah baru, malah pernah berlaku beberapa kali terhadap akhbar lain. Malah pernah wartawan dihalau daripada membuat liputan berita di majlis-majlis rasmi seperti itu.
Tindakan Speaker itu berikutan desakan beberapa anggota penyokong kerajaan ketika membahaskan titah ucapan Sultan meminta Dewan mengambil tindakan, termasuk meminta pihak akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka di atas penyiaran berita itu.
Apabila akhbar berkenaan gagal menyiarkan ralat atau memohon maaf secara terbuka, pihak Dewan mengambil tindakan menghalang wartawan daripada akhbar berkenaan membuat liputan sepanjang persidangan itu.
Beliau membuat keputusan itu berdasarkan kepada Perkara 14, Peraturan-Peraturan Tetap Dewan.
Perkara itu menyebut 'Dengan tertakluk kepada syarat di dalam Perkara 13, maka bolehlah Speaker memberi kebenaran kepada mana-mana wakil akhbar hadir pada persidangan Dun dengan syarat jika akhbar itu menyiarkan berita perjalanan dewan yang pada padangan Speaker tiada patut, bolehlah kebenaran ia ditarik balik.'

Pada pandangan umum tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, jika diteliti secara rasionalnya tajuk yang disiarkan akhbar itu menggambarkan sesuatu yang tidak kena antara kerajaan negeri pimpinan Pas dengan Sultan menyebabkan baginda melahirkan kemurkaan dalam titah ucapannya.
Walaupun kandungan berita itu tidak menggambarkan kemurkaan, namun sebagai pengamal media dan seorang yang agak lama berkecimpung dalam bidang kewartawan, penulis kira tajuk laporan berita itu agak keras dan boleh menyinggung kedua-dua pihak, sama ada kerajaan negeri dan institusi raja itu sendiri. Saya tidak tahulah apa tujuan sebenar tajuk itu diberikan oleh pihak sidang pengarangnya. Tajuk itu, lebih manis dan selamat jika disebut Sultan menegur atau Sultan dukacita, seperti yang disiarkan sesetengah akhbar lain.
Mungkin kerana itulah ada sesetengah anggota dewan mempersoalkan sama ada nada ucapan atau memek muka Sultan ketika menyampaikan titah ucapannya hari itu menunjukkan kemurkaan atau sebagainya.
Bagi wartawan yang membuat liputan itu lebih tahu keadaan dan situasi sebenar ketika itu berbanding dengan mereka yang bertanggungjawab iaitu meja pengarang di Kuala Lumpur.
Berdasarkan pengalaman bertugas dengan akhbar arus perdana dahulupun, penulis pernah mempersoalkan isu tajuk seperti itu tetapi masih belum terjawab hingga kini.
Mungkin ada yang tersirat di sebalik apa yang tersurat pada tajuk akhbar itu. Hanya pihak berkenaan yang tahu.Lebih dari itu penulis tidak tahu sama ada wujud agenda tersembunyi di sebalik tajuk itu.
Apapun seperti yang pernah disebut sebelum ini penulis faham benar dan dapat membaca sepak terajang wartawan, terutama di jabatan pengarang arah tuju sesuatu laporan yang hendak disiarkan bergantung kepada niat mereka. Jika mahu berita itu menjadi negatif, maka negatiflah jadinya. Jika mahu positif, maka positiflah jadinya. Pokok pangkalnnya terletak atas nawatu pengarangnnya sendiri, sebab itu pepatah Arab pernah menyebut bahawa mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang.
Mungkin disebabkan itulah ada sesetengah individu yang tidak faham sengaja mengunci mulut apabila berhadapan dengan wartawan, walaupun wartawan itu keluarga sendiri.
Dalam hubungan ini wartawan tidak boleh dipersalahkan, kerana wartawan hanya menulis apa yang terkandung dalam ucapan dan ucapan rasmi seperti titah ucapan Sultan itu biasanya berpandu kepada teks yang disediakan, manakala tajuk untuk menarik perhatian pembaca bergantung kepada bahagian Pengarang yang mengendalikannya di ibu pejabat Kuala Lumpur.
Inilah yang menyebabkan sesetengah pihak yang menuduh wartawan cuba memutarbelitkan sesuatu berita kerana apa yang mereka laporkan berdasarkan fakta yang diterima dan yang menjadi manjadi mangsa maki hamun adalah wartawan di peringkat bawah. Mungkin kerana itulah sesetangan penyokong parti pembangkang kurang mesra dengan akhbar arus perdana yang dinaungi oleh kerajaan pusat, menyebabkan mereka lebih berminat membaca laporan yang disiarkan akhbar alternatif atau agensi berita luar negara yang tidak berkepentingan. Ini sekali gus menimbulkan krisis keyakinan di kalangan pembaca akhbar di negara ini.
Malah di kalangan pemimpin parti pemerintah sendiripun isu krisis keyakinan ini wujud, terutama jika ada pihak yang berkepentingan, khasnya di musim pemilihan parti.
Bagi kebanyakan pemimpin politik kini sedar peranan yang dimainkan media, terutama media arus perdana yang menyokong dan mendokong parti pemerintah dan tidak menyalahkan wartawan di peringkat bawahan yang melaporkan berita itu, kerana mereka berkhidmat demi tugas untuk meyara hidup diri keluarga secara halal menerusi karearnya di bidang kewartawan.
Malah, sesetengah wartawan sedar bahawa tugas mereka bukan saja akan dipersoalkan oleh masyarakat umum, tetapi dipersoalkan dan menjawab di hahadaan Allah s.w.t di akhirat kelak.
Adalah malang perkara ini berlaku kerana ia boleh menimbulkan kekeruhan di antara media dengan pihak kerajaan negeri.
Benarlah seperti kenyataan wartawan Berita Harian yang dihalang daripada membuat liputan persidangan Dewan, Khairul Anuar Abdul Samad, bahawa tindakan itu boleh merugikan kerajaan negeri kerana tugas media ialah untuk melaporkan perkara-perkara yang berlaku kepada masyarakat umum dalam persidangan Dewan itu dan banyak laporan positif yang disiarkan sebelum ini untuk kepentingan kerajaan disiarkan akhbar berkenaan.
Kita akui, tetapi kita kena sedar dan akur, seperti kata pepatah, panas setahun hanya boleh dihapuskan dengan hujan sehari.
TAMAT