Thursday, May 28, 2009

PILIHAN RAYA KECIL: RAKYAT MANEK URAI AKAN DAPAT NIKMAT


MENJELANG pengumuman yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil, Barisan Nasional (BN) dan Umno nampaknya mendahului Pas dalam memberi projek kepada rakyat kawasan itu.
Ini terbukti apabila Ketua Penerangan Umno yang baru, Datuk Ahmad Maslan menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk miskin di Kampung Lela Jasa, Sungai Rek, yang terletak dalam kawasan DUN itu.
Pada majlis itu, Ahmad awal-awal lagi menyatakan keyakinannya BN atau Umno boleh memenangi kawasan itu walaupun umum mengetahui kawasan berkenaan adalah kubu kuat Pas.
Mungkin ada yang tertanya-tanya adakah dengan bantuan itu beliau terus yakin BN atau Umno boleh menang kawasan itu. Pemimpin parti politik sepertinya tidak harus meletakkan kepercayaan dengan pemberian sedikit habuan bahawa rakyat kawasan itu boleh berubah hati untuk memilih BN pada pilihan raya kecil kali ini, tanpa mengambil kira faktor lain yang lebih bsar menunggu di hadapan mereka.
Memang pemimpin politik boleh melepaskan kata-kata begitu sebagai bahan berita untuk dimuatkan dalam media untuk menyedapkan hati, tetapi hakikat sebenar patut dikaji bagi mengelakkan mereka tertipu dengan keadaan. Ini kerana rakyat atau pengundi sekarang tidak mudah menerima kempen melalui kebendaan atau projek seperti itu.
Mereka harus curiga bahawa pesanan dan amanat pemimpin tertinggi mereka, seperti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih terpahat kemas pada pegangan mereka, melalui gurindamnya iaitu “beri kain pakai, beri gula kacar, beri lembu jual, sampai hari mengundi undi bulan”.
Walaupun luahan kata-kata itu berupa pantun, tetapi itu adalah hakikat yang patut diterima dan menjadi asas kecurigaan parti politik untuk menerima bulat-bulat atau yakin terhadap kemenangan memihak kepada BN pada pilihan raya kecil itu.
Mereka perlu banyak belajar, tetapi mungkin kerana \Ketua Penerangan Umno itu baru memagang jawatan berkenaan dan kurang menyelami hati budi pengundi di Kelantan, beliau terus mengeluarkan kenyataan yang optimis kepada kejayaan di pihak parti pemerintah. Tetapi kita harus ingat, BN adalah parti pemerintah di peringkat Pusat, tetapi di Kelantan, mereka adalah pembangkang. Mereka harus peka dengan keadaan ini.
Tugas untuk mempertahankan lebih mudah daripada menentang atau merebut sesuatu daripada milik lawan, walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menginatkan ahli Pas di Bachok bahawa mereka jangan terus berasa selesa kerana menjadi pemerintah atau kerajaan di Kelantan kerana kadang-kadang tugas mempertahankan kerajaan lebih susah daripada menentang kerajaan.
Kenyataan awal Ahmad di Manik Urai itu memperlihatkan bahawa beliau yakin, pilihan raya kecil itu memihak kepada BN walaupun kawasan itu menjadi kubu kuat Pas. Kenyataan itu ditambah oleh faktor di mana BN pernah memenangi kawasan itu pada pilihan raya umum 1978 dan 2004. Sebenarnya faktor itu tidak boleh dijadikan asas yang kukuh kerana suasana politik ketika itu berbeza dengan suasana politik ketika ini, di mana ia bergantung kepada mood pengundi. Penerimaan rakyat terhadap parti pemerintah berbeza, kerana dipengaruhi suasana politik semasa, terutama isu MB Perak yang tidak berkesudahan.
Penulis tidak bercadang untuk mempersoalkan apakah isu yang boleh mempengaruhi pengundi pada pilihan raya kecil itu. Pokoknya jika pemimpin Umno mengabaikan corah kempennya dan mengutamakan projek dan kebendaan, pengundi tidak akan memihak kepadanya kerana rakyat sekarang sudah matang dan masak dengan kerenah politik ketika ini di mana mereka tidak mudah disogokkan dengan politik kebendaan dan projek. Kerana sesetengah rakyat berpendapat, kebendaan dan projek tidak penting, jika mereka tidak memilih BN atau Umnopun, projek tetap berjalan. Sekolah, masjid dan jalan tetap akan dilaksanakan kerana ia kemudahan asas yang wajib dilaksanakan pemerintah walaupun rakyat memilih parti politik mana sekalipun.
Contohnya, bagi mereka Kerajaan Kelantan di bawah tadbiran Pas lebih 18 tahun, boleh membayar gaji kakitangannya dan tidak mati kebuluran rakyatnya kerana tidak dibayar gaji disebabkan kerajaan Pas yang dianggap miskin. Malah, menurut mereka, hidup rakyat mewah seperti mana negeri di bawah BN, yang kaya tetap kaya, malah rakyat yang berada di bawah negeri BN pun ada yang miskin lebih daripada mereka yang berada di bawah kerajaan Pas.
Yang gemuk dan perut buncit menjelang pilihan raya ialah hulubalang-hulubalang dan jong-jong cerek yang mengambil kesempatan di sebalik projek yang ditaburkan parti menjelang pilihan raya. Inilah yang menyebakan peruntukan yang diberikan kepada rakyat tidak sampai ke golongan sasaran. Lalulah pemimpin-pemimpin BN disumpah seranah akibat projek dan peeruntukan tidak sampai ke tangan rakyat walaupun pelbagai pengumumuman dibuat.
Pemimpin BN dan Umno harus mengambil iktibar pengalaman-pengalaman begini, supaya tidak jadi apa yang dikatakan pisang berbuah dua kali, apabila setiap kali tibanya pilihan raya kecil atau umum.
Apa yangh penting biar rakyat kawasan berkenaan yang mendapat nikmat dan limpahan rahmat di sebalik pilihan raya yang diadakan, bukannya kuncu-kuncu yang sengaja mengambil kesempatan mengaut keuntungan.
Sebaik penulis mengemaskini laman blog ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya mengumumkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil DUN Manek Urai itu akan diadakan pada 6 Julai depan dan jika ada pertandingan pilihan raya akan diadakan pada 14 Julai. Ini bermakna, tempoh parti politik berkempen 10 hari.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Adun kawasan itu, Ismail Yaakob, pada Jumaat lalu akibat penyakit jantung. Allahyarham juga ialah Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Krai. Beliau merupakan satu-satu Adun Kelantan yang paling lama menjadi wakil rakyat iaitu selama lima penggal dan tidak pernah tewas, kecuali kali pertama tidak dipilih bertanding pada pilihan raya umum 2004.
Apa yang mengembirakan Pas barangkali, pilihan raya itu diadakan selepas muktamar agungnya di Shah Alam yanbg akan berlangsung awal bulan depan (Jun) dan mereka tentunnya boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap pilihan raya itu.


Wednesday, May 27, 2009

Sembang sesudah subuh: SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU DALAM KERUGIAN, KECUALI…



Setelah hampir setahun tidak berjemaah di Masjid Al-Mawaddah, Seksyen 7 Shah Alam, terasa hiba hati kerana terputus hubungan buat sementara waktu dengan kenalan-kenalan baru ahli jemaah di masjid itu.
Sambil meninggalkan masalah keduniaan, terutama dengan isu-isu politik semasa, penulis cuba bermuhasabah pada diri supaya lebih taqarrub dengan Allah SWT.
Alhamdulillah, pagi ini penulis sempat berbuat demikian pada waktu Subuh tadi walaupun masih berasa penat setelah memandu seorang diri hampir lapan jam dari KB ke KL, maklumlah apabila usia sudah menjangkau kategori usia `subsidi’.
Hati penulis terdetik betapa ruginnya orang-orang yang tidak menggunakan peluang bonus pahala bereganda yang dianugerahkan oleh Allah SWT terhadap mereka yang menunaikan solat secara berjemaah berbanding solat secara sendirian, kerana selain menambahkan khusyuk dan tawaddu’ kepada Allah, ia dapat mengeratkan hubungan antara sesama umat Islam.
Apa lagi rumah anak yang penulis tumpang dan
menjadi istana hinggap ini berhadapan dengan pintu
masjid yang kini sedang diubah suai selepas baru dinaikkan taraf menjadi masjid mukim Seksyen 7 Shah Alam. Sebelum ini, penghuni di kawasan ini dan berhampiran menunaikan solat Jumaat di Masjid UiTM.
Penulis pernah sebut kepada anak-anak dan kenalan, salah satu dorongan dan tarikan penulis untuk berkunjung ke sini, kerana faktor masjid berhadapan dengan rumah ini.
Penulis terfikir betapa ruginnya penghuni Islam yang tinggal dalam kawasan ini yang tidak mengambil kesempatan begini, kalaupun tidak untuk kelima-lima waktu sehari semalaman kerana kesibukan dengan tugas dan dicemburui waktu, mereka dapat berbuat demikian pada waktu subuh.
Menurut seorang penceramah di program Pengukuhan Jati Diri Ladang Rakyat di Kota Bharu, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi, baru-baru ini, bahawa mereka yang solat berjemaah dapat 27 kali ganda pahala berbanding solat seorang.
Menurutnya, solat berejemaah juga dapat daripada lalai mengerjakan ibadah itu supaya kita khusyuk, tidak solat semacam ayam mematuk beras di lesung.
Penulis juga bukan tidak pernah lihat ramai kakitangan awam dan swasta yang turun kerja sebelum solat subuh, terutama yang tinggal di ibu kota Kuala Lumpur (sewaktu penulis pernah `dibuang daerah’ ke Kuala Lumpur sebelum pencen) kerana mengejar pengangkutan awam. Begitu juga dengan murid-murid sekolah.
Betapa ruginnya orang yang beriman sanggup meninggalkan solat semata-mata kerana mengejar rezeki, sedangkan mereka tahu rezeki itu adalah anugerah Allah. Mereka ini seolah-olah tidak bersyukur bahawa rezeki yang mereka dapat hasil titik peluh mereka sendiri itu adalah kurniaan Allah. Di manakah keberkatan rezeki seseorang itu jika kita tidak mensyukuri nikmat Allah. Orang yang tidak mensyukuri akan ditambah rezekinya, manakala orang yang kufur akan menanggung azam yang pedih. Dan mengikut Ustaz Nur Azariza itu lagi salah satu cara mereka mensyukuri nikmat Allah ialah membuat atau melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang, amal makruf, nahyi munkar.
Bersesuaian dengan itulah dipeturunkan ayat Wal Asr (ila akhir) yang bermaksud: Demi masa, seseungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka itu berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Saturday, May 23, 2009

Detik selepas subuh: KEMELUT POLITIK PERAK SEMAKIN MEMENINGKAN RAKYAT



SEBAIK selesai berzikir dan melangkah kaki untuk bersalaman dengan jemaah lain, penulis terdengar suara-suara sumbang dari seorang jemaah yang peka dengan perkembangan politik semasa mengeluh sambil berkata: "Hai pening-pening, kalau macam ni baik tak ada pilihan raya, tak ada mahkamah. Buat sendirilah apa yang kamu suka, semua jadi..." Tanpa menjawab telahan itu, hati penulis tedetik bahawa itu adalah keluhan orang yang kecewa terhadap seseuatu yang diharapkan tidak kesampaian. Jemaah berkenaan mungkin kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam menentukan Menteri Besar Perak yang sah mengikut tafsiran undang-undang oleh penal hakim mahkamah terbabit petang semalam. Beliau mungkin penyokong Pas dan sekaligus berdiri teguh di belakang Menteri Besar Perak yang masih diiktiraf oleh Pas, iaitu Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin. Rasa tidak puas hati ini begini sebenarnya bukan sedikit diluahkan oleh rakyat negara ini, yang bukan sahaja orang di kalangan ahli politik pembangkang, tetapi semua rakyat jelata dari segenap peringkat. Mungkin pada anggapan orang awampun mereka berasa bosan dan muak dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan di negeri Perak ekoran pertikaian mengenai undang-undang tubuh kerajaan negeri itu dengan undang-undang sivil Kerajaan Persekutuan. Malah ada yang jelik dan tidak mahu lagi mendengar isu Menteri Besar Perak itu. Malah, ketika penulis solat Asar dengan berimamkan Tok Guru Nik Aziz di Masjid Pulau Melaka,kelmarin, seorang jemaah lantas menyebut: "Tak payahlah bawa kes politik apapun ke Mahkamah, bagi ke Najib sajalah, dia nak buat apapun buatlah apa yang dia suka". Ini merupakan nada kecewa rakyat yang tidak tahu apa caranya untuk bertindak memenangi hatinya dan hati penyokong parti Pakatan Rakyat, terutama Pas dalam menghadapi kemelut politik masa kini, khasnya di Perak. Suara-suara begini sering didengar, termasuk dari pemandu teksi, kereta sapu, penarik beca hingga ke peringkat atasan apabila bersembang dengan penumpangnnya sebelum menurunkan penumpang di sesuatu destinasi. Bayangkan apabila undang-undang mula dipersoalkan oleh setiap golongan, dari setinggi-tinggi hingga di peringkat kanak-kanak sekolah rendah, yang masih jahil mengenai politik, apakah akan jadi dengan kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan negara. Setidak-tidaknya, kalau dulu, anak-anak diajar menghormati orang tua, orang lebih berilmu, atau paling tidak takut kepada polis dan selalu mengusik anak-anak atau bayi dengan kata-kata "Jangan nangis nanti polis tangkap, pakai baju, pakai seluar, malu, nanti polis tangkap". Maka kanak-kanak atau bayi itu akan mengikut kata-kata ibunya atau takut kepada pihak berkuasa. Tetapi apabila semangat takutkan undang-undang semakin luntur dan sudah tidak diendahkan, arahan-arahan pihak berkuasa sudah diabaikan, di manakah lagi letaknya kedaulatan undang-undang yang menjadi salah satu rukun dalam Rukun Negara yang lima itu?

Friday, May 22, 2009

WAJARKAH BN BERTANDING DUN MANIK URAI?




JAWAPAN pantas Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustapha Ali dalam laman Web mStar Online pagi ini, menyebabkan penulis teruja untuk membincangkan isu mengenai kewajaran BN Atau Umno tidak meletakkan calonnya sebagaimana dilakukan pada pilihan raya kecil di DUN Penanti pada 31 Mei ini.
Pilihan raya kecil DUN Manik Urai itu mungkin akan diadakan berikutan kematin Adunnya, Ismail Yaakob, 60 awal pagi tadi (22 Mei 2009) akibat komplikasi penyakit jentung.
Mustapha dalam interview ringkas dengan mStar Online berharap BN tidak meletakkan calonnya dan mengambil langkah serupa seperti mana di Penanti, kerana menurutnya jika bertandingpun Umno atau BN akan kalah.
Kenyataan berbaur takkabur itu menampakkan Pas begitu yakin dengan kedudukannya di kawasan yang menjadi kubu kuat Pas itu mampu dipertahankan. Dan berdasarkan trek rekodnnya kawasan itu tidak pernah ditawan oleh Umno atau BN sejak selepas pilihan raya pertama 1959 di zaman Datuk Mohd Asri menjadi Presiden Pas. Pas pernah kalah sekali pada PRU ke 11 atau 2004.
Malah, Ismail atau lebih dikebali "Paksu Wie" memenangi kawsan itu sejak lima penggal bertutut-turut. Cuma pada pilihan raya 2004 beliau tidak bertanding dan memberi laluan kepada calon Pas lain iaitu Zamzuri Mat Lazim.Namun Ismail dipilih semula bertanding di DUN berkenaan pada pilihan raya umum tahun lalu dan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohamed Zulkifli Omar.
Beliau merupakan Timbalan
Yang Dipertua PAS bahagian Kuala Krai, setelah mengalahkan penyandangnnya bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri, Zulkifli Yaakub.
Manik Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai, yang turut merangkumi DUN Dabung, Guchil dan Mengkembang.
Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Ahmad Maslan yang kenyataan awal dengan laman web Mstar itu menyatakan bahawa BN wajar melatakkan calonnya pada pilihan raya kecil DUN Manik Uraiu itu.
"Secara peribadi atas jawatan Ketua Penerangan Umno, saya akan mencadangkan kepada pemimpin Umno agar BN bertanding pada pilihan raya kecil di Manik Urai kerana ia diadakan atas faktor kematian wakil rakyat dan bukannya faktor rekaan seperti di DUN Penanti," kata Ahmad.
Persoalannya, apakah kerana faktor kekosongan kerusi akibat kematian calon atau perletakan jawatan secara sengaja mewajarkan BN bertanding atau tidak pada satu-satu pilihan raya itu tidak dapat dipastikan dengan jelas.
Yang nyata, kawasan itu mesti ada pertandingan. Soal berapa calon yang akan berentap bergantung kepada kemahuan individu atau parti tertentu. Umno atau BN mustahil akan memberi kemenangan percuma walaupun mereka tahu kawasan itu tetap dimenangi oleh Pas memandangkan ia kubu kuat parti berkenaan.
Apakah pada pilihan raya kecil DUN Manik Urai ini Umno akan mendengar nasihat bekas PM Tun Dr Mahathir supaya bertanding dalam pilihan raya itu seperti yang disarankan pada pilihan raya kecil DUN Penanti, Pulau Pinang. Dr Mahathir patut komen juga dengan isu ini dan media patut mencarinya untuk mendapatkan pandangannya, kalau-kalau boleh dijadikan panduan BN jika pemimpin Umno baru hari ini kehilangan pedoman.
Jika masyarakat umum mengetahui sejarah pengaruh Pas di DUN Manik Urai itu, nescaya ramai yang menganggap penyertaan UMno atau BN pada pilihan raya itu buat habis koboreh buat cemar ko kroteh je, kerana Umno tidak pernah memenangi kawasan itu sejak pilihan raya umum pertama 1959 lagi.
Seorang rakan lama membisik ke telinga penulis, kalau Umno tidak meletakkan calonnya di DUN Penanti atas alasan takut kalah, maka kerana ia yakin menang di DUN Manik Urai menyebabkan ia akan meletakkan calon bertanding dalam pilihan raya kecil itu? Tambahnya, kalau tidak yakin menang lebih baik Umno tidak payah meletakkan calonnya pada pilihan raya DUN Manik Urai kelak, kerana ia hanya akan membazirkan wang parti dan calon serta wang kerajaan yang mungkin banyak ditaburkan untuk melaksanakan projek bagi memancing undi.


Monday, May 18, 2009

Kemelut Dalaman Pas: AKHIRNNYA MEDIA JUGA DIPERSALAHKAN











Kenyataan terkini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi awang berhubung isu politik wang dalam parti itu untuk memancing undi menjelang muktamar agung parti itu Jun depan, jelas memperlihatkan Pas tetap mempersalahkan media memperbesar-besarkan isu itu.
Memanglah nasib media tidak pernah menang dan disenangi dalam menangani isu politik yang menyentuh masalah dalaman mana-mana parti, terutama media arus perdana yang didakwa sebagai tali barut kerajaan.
Walaupun kenyataan itu cetusan atau terang-terang terbit dari mulut Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamad Daud yang dikenali “Ustaz Mat Iraq” namun Pas tetap mrsalahkan media.
Kenyataan Abdul Hadi itu seolah-olah tidak wujud langsung apa yang dikatakan gejala politik wang sudah menular di kalangan pemimpin Pas. Sedangkan apa yang jelas Mursyidul Am Pas sendiri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak menolak kemungkinan itu.
Sebelum Abdul Hadi, beberapa pemimpin Pas mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam gejala itu jika terbukti bersalah dan tindakan serupa akan diambil ke atas mereka yang mendedahkan isu itu jika gagal membuktikan kebenarannya.
Pada mesyuarat Dewan Harian hari ini (19 Mei) nampaknya Ustaz Mat Iraq tidak diambil tindakan, kononnya tidak timbul isu politik wang dalam Pas sedangkan sebelum ini beliau sendiri yang mendedahkan perkara itu. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah ini satu sendiwara atau ada udang di sebalik batu atau ada apa-apa yang tersirat di sebalik kenyataan Ustaz Mat Iraq itu. Ataupun mampu Pas menutup bangkai gajah dengan sehelai daun kayu walaupun ditambah dengan keminyan bakar. Itulah persoalan yang masih tersimpul di kalangan pemerhati politik yang mempersoalkan kebarangkalian apa yang diperkatakan pemimpin Pas turut terlibat dengan gejala yanbg tidak sihat itu.
Menurut kenyataan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dalam Pas kempen untuk jawatan-jawatan dalam parti tak pernah berlaku seperti mana yang berlaku pada parti politik lain.
“Berdasarkan pengalaman saya berada dalam parti itu lebih 30 tahun lalu, ahli Pas ditanam dengan sifat bertawadduk atau merendah diri dalam kepimpinan,”
Terdapat satu kertas aturan dan peraturan pencalonan pilihan raya yang dibuat oleh Dewan Ulama yang menyebut bahawa mana-mana ahli yang menonjolkan diri dan memperlihatkan usaha nak jadi calon maka ia tidak akan dipilih sebagai calon sama ada di peringkat DUN atau Parlimen.
Menurutnya, peraturan ini dihebuhkan kepada semua ahli, tanpa susut sembunyi. Inilah budaya yang tertanam pada ahli Pas.
“Saya amat terperanjat apa yang digembargemburkan oleh media kononnya wujud permainan politik kotor dalam Pas menjelang muktamar agung parti Jun ini.Saya tidak jangka isu ini dimainkan begitu besar,” katanya.
Ketika penulis agak panjang bercakap dengan Datuk Wan Rahim, beliau menyebut beberapa rahsia dalam Pas yang tidak diketahui umum, Terdapat satu kertas aturan dan peraturan pencalonan pilihan raya yang dibuat oleh Dewan Ulama yang menyebut bahawa mana-mana ahli yang menonjolkan diri dan memperlihatkan usaha nak jadi calon maka ia tidak akan dipilih sebagaio calon sama ada di peringkat DUN atau Parlimen.
Peraturan ini dihebuhkan kepada semua ahli, tanpa susut sembunyi. Inilah budaya yang tertanam pada ahli Pas, termasuklah ahli yang baru berjinak-jinak dengan parti itu.
Hati penulis terdetik, kalaulah amanat Tok Guru itu sudah tertanam dalam jiwa setiap ahli Pas, mengapa Ustaz Mat Iraq boleh mengeluarkan kenyataan begitu kalau ingin melihat parti Pas terus utuh dan diterima umum, sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam sesuai dengan slogannnya Pas untuk semua dan Islam untuk semua.
Penulis khuatir ada pihak cuba merisik latar belakang kepimpinan Pas di peringkat kawasan di mana beliau pernah menjawat jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Kubang Kerian sebelum diambil alih oleh Ahli Exco, Datuk Husam Musa dan pernah dikalahkan oleh Ustaz Abdul Rahman Yunus, Pengarah Urusetia Pnerangan Kerajaan Negeri, pada pemilihan kawasan dua tahun lalu.



Sunday, May 17, 2009

Suatu catatan sesudah Subuh: SUNTIKAN SEMANGAT DARI SEORANG HAMBA ALLAH






SEWAKTU turun dari tangga masjid seorang jiran yang juga ahli jemaah bertanya penulis, sudah lama tidak kelihatan? Ini memberi gambaran penulis sudah lama tidak berjemaah bersama, kerana mengikut amalan biasa, penulis tetap berjemaah walaupun tidak setiap lima waktu sehari semalaman. Sekurang-kurangnya pada waktu subuh penulis akan berjemaah, kerana itulah masa yang terluang.
Ini kerana kebanyakan jiran sedia maklum cara hidup penulis, sentiasa tidak lekat di rumah walaupun sudah masuk kategori `ayam pencen’. Tetapi rakan-rakan yang memahami apa itu erti pencen dan tanggungjawab sebagai seorang penulis yang juga bekas wartawan, mereka tahu bahawa kehidupan sebagai penulis tiada noktahnya. Terus menulis dan tugas itu tiada penghujungnya ibarat kata sesetengah individu yang fanatik yang pernah bertugas sebagai guru yang pernah penulis lihat pada stiker di cermin keretanya, sekali menjadi guru, terus guru. Dulu, kini dan selama-lananya (guru), dan juga pernah penulis tengok stiker berbunyi begini, Umno…Dulu, kini dan selama-lananya. Begitulah juga dengan diri penulis, dulu, kini dan selama-lamannya hidup sebagai penulis. Dan teman hidup penulis, selain isteri ialah alat tulis. Kalau dulu mesin taip, tetapi kini di zaman canggih, zaman sains teknologi dan langit tanpa sempadan ini, berubah kepada komputer, notebook atau laptop. Dan ketiadaan alat itu menyebabkan seseorang itu yang gaya hidup seperti penulis tidak boleh hidup. Lemah longlai, tidak bermaya.
Pernah penulis menyatakan kepada rakan-rakan rapat, bahawa selagi Allah memelihara kesihatan, saya tetap terus menulis kerana inilah satu-satunnya sumbangan khidmat saya kepada masyarakat dan diri sendiri. Nak buat kerja lain, tak tahu kerana tak ada kemahiran dan pengalaman. Pelayaran dalam pelajaran tidak sempat sampai ke pengkalan.
Penulis pernah menyatakan isu ini kepada YAB Tok Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan yang menjadi idola penulis, selepas bercakap mengenai berita. Katanya, jadi wartawan tiada erti pencen dan rehat macam juga pemimpin politik. Berhenti hanya sehingga sampai ke akhir hayat. Penulis mengiyakan hujahnya, walaupupun dalam hati ini sedar berapa lama sangat lagi usia kita dapat hidup apabila umur sudah mencapai tahap usia “subsidi” seperti ini.
Jiran yang bertanya khabar penulis tadi mungkin tidak tahu kenapa penulis sudah tidak kelihatan berjemaah di masjid tetapi dia tidak memahami masalah sebenar yang penulis hadapi, yang sering dikejar tugas-tugas rutin yang dicemburi waktu dan masa. Penulis teringat kepada surah al-Asr yang bebunyi Walasr Innal Insa na Lafikhusr (hingga akhir) yang bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia itu (berada) dalam kerugian, kecuali mereka yang beramal soleh dan (yang) berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
Penulis juga pernah ditegur seorang kenalan yang rapat kerana sudah lama tidak mengemaskinikan laman blog yang meluahkan segala titik bengit hati sama ada berkait rapat dengan peribadi atau ehwal semasa politik tanah air. Sebenarnya selain kesuntukan masa, penulis berasa tidak pulih dari perasaan kecewa kerana kehilangan laptop akibat kecurian pecah masuk kereta oleh penjenayah hampir sebulan lalu. Penulis tidak mahu mengambil masa dan menggunakan kemudahan pejabat untuk kepentingan diri dengan menulis di laman blog itu. Ini kerana menjadi amalan biasa penulis tidak suka mencampur-adukkan antara urusan pejabat dengan peribadi, walaupun ia kecil tetapi ia memberi makna besar dari segi amanah dan tanggungjawab sebagai seorang mukmin. Sebab, apa yang penulis tahu dibumi Allah ini, ramai orang Islam, tetapi tidak ramai yang benar-benar mukmin.
Bercakap hal mukmin, penulis teringat seorang rakan karib menceritakan seorang bertaraf ustaz sanggup mencuri air melalui paip kerajaan untuk menyiapkan rumahnya sebesar masjid. Ustaz itu bukan tidak tahu hukum mencuri hak orang lain walaupun itu merupakan hak kerajaan. Dengan siapa kita hendak minta ampun atas kesalahan kita sebelum kita menhhembuskan nafas. Apakah kita sanggup mati dan tidur duduk dalam keadaan rumah yang disiapkan melalui bahan-bahan pembuatan hasil curi tadi? Inilah yang penulis sebut tadi bahawa ramai orang Islam, tetapi tidak ramai yang benar-benar beriman. Atau dengan lain perkataan muslim, tetapi tidak mukmin.
Tetapi bersyukurlah atas keikhlas dan doa kepada Allah, penulis dapat menerusksan usaha mengisi masa lapang di laman blog ini dan menjalankan tugas-tugas seperti biasa, apabila seorang hamba Allah menghadiahkan sebuah komputer riba kepada penulis kerana mungkin simpati kepada penulis tidak dapat bergerak seperti biasa kerana kehilangan perlatan itu. Allahamdulillah dengan doa penulis, Allah menggantikan komputer riba yang hilang dicuri penjenayah itu dengan komputer baru ini yang modelnya lebih canggih dan mahal dari yang hilang dulu. Hamba Allah itu berjaya menyuntik semangat baru kepada penulis untuk meneruskan perjuangan. Mungkin ini bertepatan dengan kata-kata sesetengah pihak bahawa mungkin ada sesuatu hikmah di sebalik ujian pahit yang Allah berikan itu.
Tidak ada kata secantik bahasa yang dapat penulis ungkapkan kepada hamba Allah itu yang baik hati itu yang sanggup menghadiahkan komputer riba itu kepada penulis. Hanya Allah yang membalasnya. Ini mungkin bertepatan dengan ayat yang selalu penulis baca dan amalkan iaitu “La Tataharaqu, Illa biiznillah” yang bermaksud, “tiada gerak geri seseorang itu tanpa keizinan dan kehendak Allah” dan kata-kata itu boleh dikaitkan dengan kata-kata semangat seorang rakan karib penulis selepas mengetahui penulis menghadapi musibah kekecewaan kehilangan laptop itu yang berkata sambil menepuk bahu penulis “ La Tahzan Innallaha Maana” yang bermaksud: “Jangan (kamu) berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita” Wallahu A’lam.

Saturday, May 16, 2009

Siapa Makan Cili: POLITIK WANG DALAM PAS: ANTARA REALITI DAN ANDAIAN?





SEORANG kenalan baru bertanya penulis siapa yang cover (membuat liputan) Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Kelantan di Machang yang dirasmikan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamad Daud atau lebih dikenali Mohamad Daud Iraqi?
Pada mulannya penulis tidak dapat menangkap apa yang tersirat di sebalik pertanyaannya, rupa-rupannya ada muslihat besar dari segi politik di sebalik pertanyaannya iaitu untuk mendapat penjelasan sama ada kenyataan Ketua Dewan Ulama itu yang menyentuh isu politik wang dalam Pas benar-benar keluar dari mulut beliau atau sengaja diputarbelitkan terutama oleh wartawan akhbar arus perdana.
Penulis tidak terkejut dengan pentanyaan atau isu itu, kerana sebelum kenalan baru itu menelefon, seorang kuat politik menelefon lebih dahulu meminta disiarkan kenyataan membantah kenyataan Mohamad dan meminta beliau diambil tindakan tegas jika kenyataannya (Ketua Dewan Ulama itu) tidak benar dan sekaligus meminta pucuk pimpinan parti Pas mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan apa yang dinamakan wujud politik wang dan beli undi dalam Pas menjelang muktamar agung parti itu Jun depan.
Sambil menyifatkan kenyataan Ketua Dewan Ulama itu sebagai melampau, kenalan politik itu begitu emosional berhujah. Dalam hati penulis, jika benar kenyataan itu sebagai suatu realiti dalam Pas, maka dianggap penyakit yang biasa disebut-sebut melanda pemimpin politik Umno kini menular kepada Pas pula. Jadi dengan lain perkataan, kedua-dua parti politik itu sama sahaja. Bagi penyokong atau ahli Pas pula menganggapkan kenyataan itu (jika benar) sebagai “membuka pekung di badan sendiri”.
Hati penulis terdetik, jika benarlah apa yang
dinayatakan oleh pemimpin ulama itu suatu kenyataan, Pas tidak mustahil menuju zaman kehancuran kerana sebelum ini pemimpin Pas dianggap bersih dari segala gejala tidak sihat. Ataupun jika ada sesuatu perselisihan faham antara pemimpin berhubung dengan politik atau parti, mereka sedia berkompromi dan bertolak ansur.
Ironinnya berdasarkan pengalaman penulis, pemimpin parti itu tidak mudah mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan parti dan jika adapun masalah dalaman mereka mampu menyelasaikan sesama mereka sama ada dalam majlis-majlis usrah, tarbiyah dan syura sesama ahli. Kini nasib malang bagi Pas, selepas dilanda kemelut kepimpinan apabila ada pihak yang mempersoalkan tentang kepimpinan ulama dan professional wujud pula isu politik wang dalam parti.
Isu ini tidak ada reda, terutama di saat parti lawan, terutama Umno sedang menatang dengan cermat isu-isu mereka selepas perubahan pucuk pimpinan selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Seorang pemerhati politik membisik ke telinga penulis, mengapa Mohamad Iraq sanggup mengeluarkan kenyataan begitu jika beliau sayangkan partinya.
Katanya, walaupun ia benar berlaku sepatutunya ia tidak dihebohkan melalui akhbar, ia patut diselesaikan sesama sendiri. Ini bukan pula bererti untuk melindungi bangkai gajah dengan hanya ditutup oleh sehelai daun kerana kelak ia akan berbau juga.
Ada seorang kenalan lain berpendapat, mungkin Ketua Dewan Ulama itu berasa kecewa dengan kepimpinan muda yang ada dalam Pas sekarang yang tidak memperlihatkan kepimpinan Pas yang tulen yang berpegang kepada perjuangan kerana Allah yang lebih kepada kebendaan. Mungkin inilah yang diperjuangkan oleh beliau yang mahu Pas dipimpin oleh golongan ulama, terutama di peringkat orang nombor satu dan dua, iaitu Presiden dan Timbalannya.
Atau kenyataan Mohamad itu ada hubung kaitnya dengan hasratnya ingin melepaskan jawatan sebagai Ketua Dewan Ulama Pusat kerana dikatakan atas faktor kesihatan menyebabkan beliau sanggup melontarkan bom atom yang boleh membunuh ramai penduduk sama ada yang bersalah atau tidak bersalah.
Atau kalau benarlah beliau ingin melepaskan jawatan itu, dari segi rasional itu bukanlah cara tindakannya sebagai ulama professional seperti yang dikehendaki oleh Pas apa yang penulis faham dari kenyataan oleh Mursyidul AM Pas sendiri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bagaimanapun daripada reaksi susulannya, Mohamad seolah-olah dilihat menarik balik kenyataannya dengan menyebut perkara itu seolah-olah suatu andaian, apabila wujud pertandingan jawatan penting dalam parti.
Apakah beliau lupa bahawa pertandingan dalam parti adalah mengikut kehendak perlembagaan bukan saja parti politik lain, seperti Umno, tetapi juga dalam Pas?
Mungkin kerana itu ada pihak mendakwa Mohamad tidak konsisten dengan kenyataannya, dilihat sebagai berdolak dalih apabila timbul tekanan daripada ahli yang tidak senang dengan kenyataannya itu dan apabila pucuk pimpinan parti mengambil perhatian serius di atas kenyataan itu, termasuk Setiausaaha Agung Pas sendiri, Datuk Kamaruddin Jaafar.
Kamaruddin melahirkan pertasaan was-wasnya berhubung sejauh sejauh mana kebanaran dakwaan tersebut dan mahukan Mohamed mengemumakan bukti-bukti kukuh yang berkaitan untuk diteliti dan disiasat.
"Sekarang kita pun susah nak cakap mengenai sejauh mana kebenaran dakwaan itu.
"Mula-mula dulu Datuk Mohamed Daud kata memang ada perbuatan rasuah dalam parti, tapi dalam akhbar hari ini beliau kata tidak menuduh mana-mana pihak dan minta jika ada (perbuatan) rasuah minta dihentikan.
"Jadi nampaknya beliau sendiri seolah-olah tidak pasti tentang rasuah politik seperti yang didakwanya itu," kata KJ.
Penulis teringat suatu pertanyaan dikemukakan kepada kenalan politik sama ada beliau dapat membuktikan pendedahan Datuk Mohamad Daud itu, lantas dia menjawab “kami ada rekod semua, sama ada semasa ucapan atau temubual dengan wartawan…”
Kenyataan terbaru Mohamad Iraq yang menjelaskan kenyataannya berhubung politik wang dalam Pas itu menyebabkan ada pemimpin Pas menasihatkannya supaya jangan celupar dalam mengeluarkan kenyataan dan jangan jadi “ular air”.
Katanya, sebagai pemimpin yang disegani dan dihormati, beliau cermat dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak mengeluarkan kenyataan berdasarkan apa orang lain kata atau “they say” kerana mahkamah tidak boleh terima berdasarkan keterangan begitu.