Saturday, May 23, 2009

Detik selepas subuh: KEMELUT POLITIK PERAK SEMAKIN MEMENINGKAN RAKYAT



SEBAIK selesai berzikir dan melangkah kaki untuk bersalaman dengan jemaah lain, penulis terdengar suara-suara sumbang dari seorang jemaah yang peka dengan perkembangan politik semasa mengeluh sambil berkata: "Hai pening-pening, kalau macam ni baik tak ada pilihan raya, tak ada mahkamah. Buat sendirilah apa yang kamu suka, semua jadi..." Tanpa menjawab telahan itu, hati penulis tedetik bahawa itu adalah keluhan orang yang kecewa terhadap seseuatu yang diharapkan tidak kesampaian. Jemaah berkenaan mungkin kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam menentukan Menteri Besar Perak yang sah mengikut tafsiran undang-undang oleh penal hakim mahkamah terbabit petang semalam. Beliau mungkin penyokong Pas dan sekaligus berdiri teguh di belakang Menteri Besar Perak yang masih diiktiraf oleh Pas, iaitu Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin. Rasa tidak puas hati ini begini sebenarnya bukan sedikit diluahkan oleh rakyat negara ini, yang bukan sahaja orang di kalangan ahli politik pembangkang, tetapi semua rakyat jelata dari segenap peringkat. Mungkin pada anggapan orang awampun mereka berasa bosan dan muak dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan di negeri Perak ekoran pertikaian mengenai undang-undang tubuh kerajaan negeri itu dengan undang-undang sivil Kerajaan Persekutuan. Malah ada yang jelik dan tidak mahu lagi mendengar isu Menteri Besar Perak itu. Malah, ketika penulis solat Asar dengan berimamkan Tok Guru Nik Aziz di Masjid Pulau Melaka,kelmarin, seorang jemaah lantas menyebut: "Tak payahlah bawa kes politik apapun ke Mahkamah, bagi ke Najib sajalah, dia nak buat apapun buatlah apa yang dia suka". Ini merupakan nada kecewa rakyat yang tidak tahu apa caranya untuk bertindak memenangi hatinya dan hati penyokong parti Pakatan Rakyat, terutama Pas dalam menghadapi kemelut politik masa kini, khasnya di Perak. Suara-suara begini sering didengar, termasuk dari pemandu teksi, kereta sapu, penarik beca hingga ke peringkat atasan apabila bersembang dengan penumpangnnya sebelum menurunkan penumpang di sesuatu destinasi. Bayangkan apabila undang-undang mula dipersoalkan oleh setiap golongan, dari setinggi-tinggi hingga di peringkat kanak-kanak sekolah rendah, yang masih jahil mengenai politik, apakah akan jadi dengan kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan negara. Setidak-tidaknya, kalau dulu, anak-anak diajar menghormati orang tua, orang lebih berilmu, atau paling tidak takut kepada polis dan selalu mengusik anak-anak atau bayi dengan kata-kata "Jangan nangis nanti polis tangkap, pakai baju, pakai seluar, malu, nanti polis tangkap". Maka kanak-kanak atau bayi itu akan mengikut kata-kata ibunya atau takut kepada pihak berkuasa. Tetapi apabila semangat takutkan undang-undang semakin luntur dan sudah tidak diendahkan, arahan-arahan pihak berkuasa sudah diabaikan, di manakah lagi letaknya kedaulatan undang-undang yang menjadi salah satu rukun dalam Rukun Negara yang lima itu?

No comments: