Thursday, December 10, 2009

SEJADAH BERDIRI. APAKAH MOTIF DI SEBALIK KEJADIAN ITU?



NAMA Tok Sangkut, sebuah perkampungan terpencil di pinggir bandar Pasir Mas, Kelantan tiba-tiba menjadi terkenal kerana digemparkan oleh berita kononnya 35 helai sejadah di surau Sekolah Kebangsaan kampung itu dikatakan berdiri seperti jemaah sedang mengerjakan solat.
Benar atau tidak kejadian itu tidak dapat disahkan selagi tidak dibuktikan dengan dalilnya. Tetapi bersandarkan kepada kekuasaan Allah, semuanya tidak mustahil boleh berlaku. Apa yang penulis faham, sesiapa yang mengingkari kejadian Tuhan adalah kufur kerana menolak semuanya kejadian Tuhan bererti menolak salah satu rukun iman, iaitu percayai kepada Qada’ dan Qadar Allah.
Alkisah, bermulanya kejadian itu disedari oleh seorang murid yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya, Adnan Abdullah, 37, ketika sesi pembelajaran dijalankan berhampiran surau berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini tidak ada pihak berwajib yang tampil memberi pendapat atau panfdangannya berhubung kejadian itu, Cuma pegawai agama di peringkat daerah yang meragui kebenaran berita itu.
Pada mulannya penulis sendiri meragui kesahihan berita itu, selain selain tidak pergi sendiri ke tempat kejadian, tidak ada bukti yang boleh menyokong kepercayaan penulis terhadap berita itu. Untuk pergi sendiri ke tempat di mana peristiwa itu adalah sesuatu yang dikira di luar kemampuan kerana masa mencemburi penulis.
Pada hari pertama lagi berita itu tersebar penulis terlintas untuk menghubungi pakar-pakar agama, terutama Mufti yang bertanggungjawab berautoriti mengenai hal ehwal agama negeri ini bagi mengesahkan berita itu. Tetapi oleh kerana kesulitan untuk menghubunginya, penulis melupakan sahaja niat itu sehinggalah ditimbus oleh tugas-tugas lain yang lebih penting bagi penulis.
Berita seperti ini pernah dilaporkan berlaku di negara kita.
Dilihat secara kasarnya, berita ini adalah kecil, tetapi jika ditinjau lebih jauh ia merupakan suatu berita yang menyentuh akidah umat Islam, kerana jika tidak diberi penjelasan ia boleh mengharu-birukan pemikiran umat Islam dengan pelbagai andaian dan tafsiran sehingga jika tidak dikawal boleh menjadi isu sehingga melalalaikan umat Islam daripada tanggung jawab yang lebih penting dalam ibadah seharain. Malah, penulis khuatir, apabila perkara ini menjadi buah mulut, mereka yang jahil agama boleh bercakap mengenai agama, dan mereka yang alim diam membisu kerana takut untuk mengeluarkan pendapat dan pandangannya. Kita bimbang ia menjadi dunia akhir zaman, di mana yang jahil agama lebih tahu daripada yang alim, yang bodoh lebih pandai daripada si cerdek yang menyebabkan sesetengah pihak berpendapat dunia sudah terbalik.
Jika dikatakan ia sengaja dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, apakah motif di sebalik perbuatan mereka itu?
Dalam hubungan ini, alim ulama yang ada di negara kita harus berani tampil memberi pendapat dan pandangan mengikut keilmuan yang ada pada mereka tentang kejadian-kejadian itu, kerana ia ada kaitannya dengan akidah. Mereka tidak harus menjadi ulama bisu yang tidak berani memperkatakan sesuatu yang hak dari sudut agama, kerana ia tiada kaitan dengan isu-isu politik atau kepentingan sesuatu pihak, berkatalah yang benar tetap benar yang batil tetap batil. Di sinilah letaknya peranan alim ulama supaya tidak digelar oleh seetengah pihak sebagai “ulama terompah”. Jangan biarkan umat Islam dan masyarakat negara ini menjadi celaru dengan berita-berita seperti itu, yang benar tetap benar yang salah tetap salah, seperti yang menjadi amalan dan prinsip hidup penulis yang berpegang kepada sepotong ayat “Qulilhaq Walauqana Murra” yang bermaksud: “Berkata benarlah (kamu) walaupun ianya pahit”.
Wallahu A’lam