Sunday, August 16, 2009

Sembang sebelum subuh: MISI EKSPEDISI ROYALTI MINYAK JADI KONTROVERSI?



PENULIS terkedu seketika apabila seorang rakan media dengan penuh emosi dan lantang menghemburkan kata-kata ini berulang kali: “Kalau dia (merujuk kepada pemimpin politik nombor tiga dalam parti pembangkang) orang biasa dan bukan kenamaan dah tentu aku lempang mukanya. Patut ke ekspedisi royalti yang kami ikuti boleh ditukar nama kepada ekspedisi memancing!?. Gila punya orang….”
Walaupun penulis bukan peserta ekspedisi ke tengah laut bersama apa yang dikatakan rombongan rakyat Kelantan ke pelantar minyak Cekrawala untuk menyaksikan lokasi di mana isu perrtikaian hak antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Pusat, tetapi penulis faham bahawa suara sumbang rakan media itu terpancur keluar apabila merasakan ekspedisi itu ternyata memperlekehkan fungsi wartawan yang mengikuti ekpedisi itu kerana tidak dilayan dengan sewajarnya pihak penganjur sewaktu mengikuti rombongan itu.
Sudahlah tidak disediakan kelengkapan peralatan keselamatan yang cukup, seperti jeket keselamatan, ubat mabuk laut dan sebagainya, para wartawan ditempatkan di kelas yang paling rendah dengan menaiki bot nelayan, sedangkan kumpulan Exco dan ketua jabatan dan pemimpin politik yang lain menaiki bot laju yang dikatakan mendapat ihsan dari Jabatan Maritim yang berpangkalan di Tok Bali.
Menurut rakan media itu, sudahlah begitu, mereka juga ditipu bahawa tempoh pelayaran ke tengah laut ke lokasi pelantar minyak Cekrawala itu dikatakan hanya memakan masa lapan jam peregi balik, sedangkan hakikat sebenarnya terpaksa sampai ke pangkalan keesokan harinya.
Isu itu menjadi heboh apabila akhbar Kosmo menyiarkan laporan ekspedisi itu disifatkan sebagai ekspedisi menempah maut apabila sekumpulan wartawan yang mengikuti rombongan yang dijemput oleh kerajaan negeri ini mabuk laut kerana dilambung gelombang samudera sepanjang pelayaran itu.
Hati penulis awal-awal lagi terdetik apakah motif sebenar dan relevannya menjemput para wartawan tempatan mengikuti rombongan ekspedisi royalti itu kalau tidak kerana pimpinan kerajaan negeri ingin mencari publisiti daripada wartawan akhbar arus perdana kononnya ekspedisi itu sebagai sokongan moral kepada usaha kerajaan negeri dalam membuat tuntutan runggakan royalti minyak yang dianggarkan berjumlah lebih RM1 bilion daripada Kerajaan Pusat sejak 2004-2008.
Bagi penulis yang sudah lama berkecimpung dalam bidang kewartawan, rombongan ekspedisi itu tidak lebih daripada tektik kerajaan negeri mencari publisiti kerana ingin mendapatakan sokongan moral apabila ramai wartawan daripada akhbar arus perdana turut menyertainya.
Apa tidaknya, sewaktu sidang akhbar sebelum rombongan berlepas, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Pentadbiran dan Pembangunan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa menyatakan rombongan itu sebagai misi moral dalam usaha kerajaan negeri membuat tuntutan royalti minyak dan petroleum yang menjadi hak kerajaan negeri kerana ia didakwa keluar dari perut bumi atau perairan negeri Kelantan.
Pada sidang akhbar itu Husam turut ditanya, untuk apakah wang tuntutan royalti itu akan digunakan sepenuhnya untuk rakyat Kelantan jika Kerajaan Pusat melangsaikan tuntutan itu dalam tempoh terdekat ini. Husam menjawab ia akan digunakan sepenuhnya untuk kepentingan dan kehendak rakyat. Seorang wartawan veteran menokok soalan, tidakkah ia digunakan untuk kepentingan parti politik (Pas) apabila wang itu diperolehi nanti, lantas dia (Husam) menjawab, memanglah, bila beri kepada rakyatpun memang tujuan politik, buat masjidpun untuk politik, bina jambatan, jalanpun untuk politik, pendek kata, semua perkara tidak boleh elak digunakan untuk politik. Dan dalam hati penulis terdetik tidak salahlah jika orang Umno menuduh Pas memperalatkan agama untuk kepentingan politik. Malah penulis teringat, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pernah mengakui, jika Pas tidak menggunakan agama untuk kepentingan politik, Pas nak guna apa lagi. Malah di zaman Nabi Muhammad SAW dulupun, di zaman kebangkitan Islam menggunakan agama untuk kepentingan politik.
Kini ternyata misi rombongan ekspedisi pelantar minyak yang dianjurkan kerajaan nnegeri itu adalah misi untuk mendapatkan sokongan moral ke barah mempercepatkan usaha Kerajaan Pusat melunaskan bayaran royalti minyak atau petrolium kepada kerajaan negeri.
Sekarang mungkin jelas, bahawa wartawan akhbar arus perdana, termasuk akhbar berbahasa Cina yang turut mengikuti rombongan itu menjadi mangsa diperalatkan oleh pimpinan kerajaan negeri dalam mencari publisiti dan sokongan moral terhadap usaha mereka selama ini berhubung tuntutan itu.
Lebih menjelekkan lagi, kaki-kaki bodek dan "ampusana wa ampusini" turut mempertahankan langkah kerajaan negeri itu sehingga sanggup bertegang leher melalui tulisan blognya dengan wartawan terbabit apabila laporan berita dan gambar mengenai kisah pelayaran yang “mengecewakan” dan berasa “tertipu” itu disiarkan akhbar Kosmo yang kemudiannya disusuli oleh akhbar The Star, walaupun tidak menghantar wakilnya mengikuti rombongan ke pelantar minyak Cekrawala itu.
Tindakan pimpinan kerajaan negeri itu yang tidak memberi layanan sewajarnya kepada wartawan sewaktu mengikuti rombongan itu dikecam hebat oleh Kelab Wartawan Kelantan (Kawan) sehingga mencetuskan kontroversi kononnya ahli kelab itu akan mengambil tindakan memulaukan fungtion yang dihadiri atau dirasmikan oleh Husam.
Dalam isu ini timbul, siapakah yang menanniaya dan dianniayai dan siapakah yang diperalat dan memperalatkan? Wallahu A’lam.

Sunday, August 2, 2009

PERTEMUAN MISTERI ANTARA NIK AZIZ,NAJIB





PENULIS agak teruja ingin tahu apakah intipati di sebalik pertemuan tidak dirancang antara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Penulis hanya menyedari wujudnya insiden pertemuan itu apabila seorang rakan wartawan menunjukkan gambar melalui kamera telefonnya di mana Nik Aziz dan Najib sedang mengaminkan doa di pintu masuk VIP lapangan terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pagi semalam.
Peristiwa itu berlaku sebaik Najib turun dari pewat khasnya dari KL mendarat di lapangan terbang itu sebelum merasmikan mesyuarat agung perwakilan Umno Bahagian Kota Bharu di Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP) dan menghadiri majlis jamuan rakyat di padang Kompelks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab.
Padang guna sama itu mencatatkan sejarah di mana Perdana Menteri Keenam itu tidak berucap di majlis itu, walaupun dinanti-nantikan oleh kebanyakan jemputan terutama para wartawan tempatan.
Kali terakhir, padang guna sama itu mengadakan majlis seumpama itu ketika bekas Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mengadakan lawatan ke Kelantan sempena pelancaran Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ACER) yang turut dihadiri Nik Aziz.
Persoalan penulis, siapakah yang mengaturkan pertemuan mistri antara Nik Aziz dan Najib itu, kerana kedua-dua pemimpin berkanaan masing-masing seolah-oleh tidak tahu pertemuan itu dirancang.
Ketika bercakap kepada pemberita di lapangan terbang itu sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada petang semalam, Nik Aziz mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana menjemputnnya mengadakan perjumpaan secara “mendadak” di lapangan terbang itu sehingga terpaksa membatalkan program yang diatur sebelum itu kerana pertemuan itu memperlihatkan ke arah positif hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Pusat.
Bagaimanapun, Najib dalam kenyataan kepada wartawan selepas merasmikan persidangan Umno itu memberitahu wartawan bahawa beliau tidak menduga Nik Aziz menemuinya di lapangan terbang itu.
Jadi siapakah sebenarnya dalang yang mengketemukan kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu sehingga mencetuskan tanda tanya di kalangan pemerhati politik, Sehingga ini persoalan itu belum terjawab kerana masing-masing (Nik Aziz dan Najib) membuat kenyataan berbeza.
Bagi penulis, pertemuan itu amat bermakna dan siapakah yang beruntung dan mendapat natijah daripada pertemuan itu tidak dipersoalkan. Ini kerana bagi penulis kedua-duannya pihak akan mendapat faedah, terutama di mana ketika isu kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat hangat diperkatakan.
Isu itu menjadi kontroversiti apabila Nik Aziz menafikan kenyataannya beliau mahu bekerjasama dengan kerajaan Pusat atas dasar parti Pas-Umno, Sebaliknya beliau menjelaskan kerjasama yang dimaksudkan berasaskan kepada konsep federalisme antara Kerajaan Negeri dengan Pusat.
Isu itu menyebabkan Nik Aziz dengan lantang dan keras menghemtam Umno dengan kata-kata kesat “pergi jahanam Umno” sehinggalah menimbulkan reaksi tidak puas hati dan menyinggung perasaan ahli dan pemimpin Umno.
Ini menyebabkan Najib dalam ucapannya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan itu menyebut bahawa beliau menyatakan kepada Nik Aziz supaya menjaga perasaan hati orang Umno jika kerajaan negeri berhasrat untuk berbaik-baik dan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat. Suara hati Najib itu disifatkan sebagai syarat kepada pemimpin tertinggi Pas itu jika mahu bekerjasama dengan Kerajaan Pusat. Dengan lain perkataan, pemimpin-pemimpin Pas pula jangan terlalu poliking dalam mentadbir negeri ini terutama dalam menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, sehingga menyebabkan ada pihak berependapat sikap pemimpin Pas itu seperti hukum agama yang menghalalkan umat Islam memakan telur penyu, tetapi haram pula memakan ibunya.
Begitu juga ada sesetengah pemimpin Umno menyatakan tindakan Pas yang mahukan pembangunan tetapi tidak mahu berbaik-baik dengan parti Umno atau BN seperti tindakan seseorang yang hanya mahukan buah, tetapi sanggup menebang pokoknya yang mengeluarkan buah itu. Sikap mereka itu samalah seperti mereka yang hanya sanggup memakan telur penyu tetapi tidak mahu makan ibunya kerana dianggap haram.