Thursday, May 28, 2009

PILIHAN RAYA KECIL: RAKYAT MANEK URAI AKAN DAPAT NIKMAT


MENJELANG pengumuman yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil, Barisan Nasional (BN) dan Umno nampaknya mendahului Pas dalam memberi projek kepada rakyat kawasan itu.
Ini terbukti apabila Ketua Penerangan Umno yang baru, Datuk Ahmad Maslan menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk miskin di Kampung Lela Jasa, Sungai Rek, yang terletak dalam kawasan DUN itu.
Pada majlis itu, Ahmad awal-awal lagi menyatakan keyakinannya BN atau Umno boleh memenangi kawasan itu walaupun umum mengetahui kawasan berkenaan adalah kubu kuat Pas.
Mungkin ada yang tertanya-tanya adakah dengan bantuan itu beliau terus yakin BN atau Umno boleh menang kawasan itu. Pemimpin parti politik sepertinya tidak harus meletakkan kepercayaan dengan pemberian sedikit habuan bahawa rakyat kawasan itu boleh berubah hati untuk memilih BN pada pilihan raya kecil kali ini, tanpa mengambil kira faktor lain yang lebih bsar menunggu di hadapan mereka.
Memang pemimpin politik boleh melepaskan kata-kata begitu sebagai bahan berita untuk dimuatkan dalam media untuk menyedapkan hati, tetapi hakikat sebenar patut dikaji bagi mengelakkan mereka tertipu dengan keadaan. Ini kerana rakyat atau pengundi sekarang tidak mudah menerima kempen melalui kebendaan atau projek seperti itu.
Mereka harus curiga bahawa pesanan dan amanat pemimpin tertinggi mereka, seperti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih terpahat kemas pada pegangan mereka, melalui gurindamnya iaitu “beri kain pakai, beri gula kacar, beri lembu jual, sampai hari mengundi undi bulan”.
Walaupun luahan kata-kata itu berupa pantun, tetapi itu adalah hakikat yang patut diterima dan menjadi asas kecurigaan parti politik untuk menerima bulat-bulat atau yakin terhadap kemenangan memihak kepada BN pada pilihan raya kecil itu.
Mereka perlu banyak belajar, tetapi mungkin kerana \Ketua Penerangan Umno itu baru memagang jawatan berkenaan dan kurang menyelami hati budi pengundi di Kelantan, beliau terus mengeluarkan kenyataan yang optimis kepada kejayaan di pihak parti pemerintah. Tetapi kita harus ingat, BN adalah parti pemerintah di peringkat Pusat, tetapi di Kelantan, mereka adalah pembangkang. Mereka harus peka dengan keadaan ini.
Tugas untuk mempertahankan lebih mudah daripada menentang atau merebut sesuatu daripada milik lawan, walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menginatkan ahli Pas di Bachok bahawa mereka jangan terus berasa selesa kerana menjadi pemerintah atau kerajaan di Kelantan kerana kadang-kadang tugas mempertahankan kerajaan lebih susah daripada menentang kerajaan.
Kenyataan awal Ahmad di Manik Urai itu memperlihatkan bahawa beliau yakin, pilihan raya kecil itu memihak kepada BN walaupun kawasan itu menjadi kubu kuat Pas. Kenyataan itu ditambah oleh faktor di mana BN pernah memenangi kawasan itu pada pilihan raya umum 1978 dan 2004. Sebenarnya faktor itu tidak boleh dijadikan asas yang kukuh kerana suasana politik ketika itu berbeza dengan suasana politik ketika ini, di mana ia bergantung kepada mood pengundi. Penerimaan rakyat terhadap parti pemerintah berbeza, kerana dipengaruhi suasana politik semasa, terutama isu MB Perak yang tidak berkesudahan.
Penulis tidak bercadang untuk mempersoalkan apakah isu yang boleh mempengaruhi pengundi pada pilihan raya kecil itu. Pokoknya jika pemimpin Umno mengabaikan corah kempennya dan mengutamakan projek dan kebendaan, pengundi tidak akan memihak kepadanya kerana rakyat sekarang sudah matang dan masak dengan kerenah politik ketika ini di mana mereka tidak mudah disogokkan dengan politik kebendaan dan projek. Kerana sesetengah rakyat berpendapat, kebendaan dan projek tidak penting, jika mereka tidak memilih BN atau Umnopun, projek tetap berjalan. Sekolah, masjid dan jalan tetap akan dilaksanakan kerana ia kemudahan asas yang wajib dilaksanakan pemerintah walaupun rakyat memilih parti politik mana sekalipun.
Contohnya, bagi mereka Kerajaan Kelantan di bawah tadbiran Pas lebih 18 tahun, boleh membayar gaji kakitangannya dan tidak mati kebuluran rakyatnya kerana tidak dibayar gaji disebabkan kerajaan Pas yang dianggap miskin. Malah, menurut mereka, hidup rakyat mewah seperti mana negeri di bawah BN, yang kaya tetap kaya, malah rakyat yang berada di bawah negeri BN pun ada yang miskin lebih daripada mereka yang berada di bawah kerajaan Pas.
Yang gemuk dan perut buncit menjelang pilihan raya ialah hulubalang-hulubalang dan jong-jong cerek yang mengambil kesempatan di sebalik projek yang ditaburkan parti menjelang pilihan raya. Inilah yang menyebakan peruntukan yang diberikan kepada rakyat tidak sampai ke golongan sasaran. Lalulah pemimpin-pemimpin BN disumpah seranah akibat projek dan peeruntukan tidak sampai ke tangan rakyat walaupun pelbagai pengumumuman dibuat.
Pemimpin BN dan Umno harus mengambil iktibar pengalaman-pengalaman begini, supaya tidak jadi apa yang dikatakan pisang berbuah dua kali, apabila setiap kali tibanya pilihan raya kecil atau umum.
Apa yangh penting biar rakyat kawasan berkenaan yang mendapat nikmat dan limpahan rahmat di sebalik pilihan raya yang diadakan, bukannya kuncu-kuncu yang sengaja mengambil kesempatan mengaut keuntungan.
Sebaik penulis mengemaskini laman blog ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya mengumumkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil DUN Manek Urai itu akan diadakan pada 6 Julai depan dan jika ada pertandingan pilihan raya akan diadakan pada 14 Julai. Ini bermakna, tempoh parti politik berkempen 10 hari.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Adun kawasan itu, Ismail Yaakob, pada Jumaat lalu akibat penyakit jantung. Allahyarham juga ialah Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Krai. Beliau merupakan satu-satu Adun Kelantan yang paling lama menjadi wakil rakyat iaitu selama lima penggal dan tidak pernah tewas, kecuali kali pertama tidak dipilih bertanding pada pilihan raya umum 2004.
Apa yang mengembirakan Pas barangkali, pilihan raya itu diadakan selepas muktamar agungnya di Shah Alam yanbg akan berlangsung awal bulan depan (Jun) dan mereka tentunnya boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap pilihan raya itu.


No comments: