Sunday, May 17, 2009

Suatu catatan sesudah Subuh: SUNTIKAN SEMANGAT DARI SEORANG HAMBA ALLAH






SEWAKTU turun dari tangga masjid seorang jiran yang juga ahli jemaah bertanya penulis, sudah lama tidak kelihatan? Ini memberi gambaran penulis sudah lama tidak berjemaah bersama, kerana mengikut amalan biasa, penulis tetap berjemaah walaupun tidak setiap lima waktu sehari semalaman. Sekurang-kurangnya pada waktu subuh penulis akan berjemaah, kerana itulah masa yang terluang.
Ini kerana kebanyakan jiran sedia maklum cara hidup penulis, sentiasa tidak lekat di rumah walaupun sudah masuk kategori `ayam pencen’. Tetapi rakan-rakan yang memahami apa itu erti pencen dan tanggungjawab sebagai seorang penulis yang juga bekas wartawan, mereka tahu bahawa kehidupan sebagai penulis tiada noktahnya. Terus menulis dan tugas itu tiada penghujungnya ibarat kata sesetengah individu yang fanatik yang pernah bertugas sebagai guru yang pernah penulis lihat pada stiker di cermin keretanya, sekali menjadi guru, terus guru. Dulu, kini dan selama-lananya (guru), dan juga pernah penulis tengok stiker berbunyi begini, Umno…Dulu, kini dan selama-lananya. Begitulah juga dengan diri penulis, dulu, kini dan selama-lamannya hidup sebagai penulis. Dan teman hidup penulis, selain isteri ialah alat tulis. Kalau dulu mesin taip, tetapi kini di zaman canggih, zaman sains teknologi dan langit tanpa sempadan ini, berubah kepada komputer, notebook atau laptop. Dan ketiadaan alat itu menyebabkan seseorang itu yang gaya hidup seperti penulis tidak boleh hidup. Lemah longlai, tidak bermaya.
Pernah penulis menyatakan kepada rakan-rakan rapat, bahawa selagi Allah memelihara kesihatan, saya tetap terus menulis kerana inilah satu-satunnya sumbangan khidmat saya kepada masyarakat dan diri sendiri. Nak buat kerja lain, tak tahu kerana tak ada kemahiran dan pengalaman. Pelayaran dalam pelajaran tidak sempat sampai ke pengkalan.
Penulis pernah menyatakan isu ini kepada YAB Tok Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan yang menjadi idola penulis, selepas bercakap mengenai berita. Katanya, jadi wartawan tiada erti pencen dan rehat macam juga pemimpin politik. Berhenti hanya sehingga sampai ke akhir hayat. Penulis mengiyakan hujahnya, walaupupun dalam hati ini sedar berapa lama sangat lagi usia kita dapat hidup apabila umur sudah mencapai tahap usia “subsidi” seperti ini.
Jiran yang bertanya khabar penulis tadi mungkin tidak tahu kenapa penulis sudah tidak kelihatan berjemaah di masjid tetapi dia tidak memahami masalah sebenar yang penulis hadapi, yang sering dikejar tugas-tugas rutin yang dicemburi waktu dan masa. Penulis teringat kepada surah al-Asr yang bebunyi Walasr Innal Insa na Lafikhusr (hingga akhir) yang bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia itu (berada) dalam kerugian, kecuali mereka yang beramal soleh dan (yang) berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
Penulis juga pernah ditegur seorang kenalan yang rapat kerana sudah lama tidak mengemaskinikan laman blog yang meluahkan segala titik bengit hati sama ada berkait rapat dengan peribadi atau ehwal semasa politik tanah air. Sebenarnya selain kesuntukan masa, penulis berasa tidak pulih dari perasaan kecewa kerana kehilangan laptop akibat kecurian pecah masuk kereta oleh penjenayah hampir sebulan lalu. Penulis tidak mahu mengambil masa dan menggunakan kemudahan pejabat untuk kepentingan diri dengan menulis di laman blog itu. Ini kerana menjadi amalan biasa penulis tidak suka mencampur-adukkan antara urusan pejabat dengan peribadi, walaupun ia kecil tetapi ia memberi makna besar dari segi amanah dan tanggungjawab sebagai seorang mukmin. Sebab, apa yang penulis tahu dibumi Allah ini, ramai orang Islam, tetapi tidak ramai yang benar-benar mukmin.
Bercakap hal mukmin, penulis teringat seorang rakan karib menceritakan seorang bertaraf ustaz sanggup mencuri air melalui paip kerajaan untuk menyiapkan rumahnya sebesar masjid. Ustaz itu bukan tidak tahu hukum mencuri hak orang lain walaupun itu merupakan hak kerajaan. Dengan siapa kita hendak minta ampun atas kesalahan kita sebelum kita menhhembuskan nafas. Apakah kita sanggup mati dan tidur duduk dalam keadaan rumah yang disiapkan melalui bahan-bahan pembuatan hasil curi tadi? Inilah yang penulis sebut tadi bahawa ramai orang Islam, tetapi tidak ramai yang benar-benar beriman. Atau dengan lain perkataan muslim, tetapi tidak mukmin.
Tetapi bersyukurlah atas keikhlas dan doa kepada Allah, penulis dapat menerusksan usaha mengisi masa lapang di laman blog ini dan menjalankan tugas-tugas seperti biasa, apabila seorang hamba Allah menghadiahkan sebuah komputer riba kepada penulis kerana mungkin simpati kepada penulis tidak dapat bergerak seperti biasa kerana kehilangan perlatan itu. Allahamdulillah dengan doa penulis, Allah menggantikan komputer riba yang hilang dicuri penjenayah itu dengan komputer baru ini yang modelnya lebih canggih dan mahal dari yang hilang dulu. Hamba Allah itu berjaya menyuntik semangat baru kepada penulis untuk meneruskan perjuangan. Mungkin ini bertepatan dengan kata-kata sesetengah pihak bahawa mungkin ada sesuatu hikmah di sebalik ujian pahit yang Allah berikan itu.
Tidak ada kata secantik bahasa yang dapat penulis ungkapkan kepada hamba Allah itu yang baik hati itu yang sanggup menghadiahkan komputer riba itu kepada penulis. Hanya Allah yang membalasnya. Ini mungkin bertepatan dengan ayat yang selalu penulis baca dan amalkan iaitu “La Tataharaqu, Illa biiznillah” yang bermaksud, “tiada gerak geri seseorang itu tanpa keizinan dan kehendak Allah” dan kata-kata itu boleh dikaitkan dengan kata-kata semangat seorang rakan karib penulis selepas mengetahui penulis menghadapi musibah kekecewaan kehilangan laptop itu yang berkata sambil menepuk bahu penulis “ La Tahzan Innallaha Maana” yang bermaksud: “Jangan (kamu) berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita” Wallahu A’lam.

No comments: