Wednesday, May 27, 2009

Sembang sesudah subuh: SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU DALAM KERUGIAN, KECUALI…



Setelah hampir setahun tidak berjemaah di Masjid Al-Mawaddah, Seksyen 7 Shah Alam, terasa hiba hati kerana terputus hubungan buat sementara waktu dengan kenalan-kenalan baru ahli jemaah di masjid itu.
Sambil meninggalkan masalah keduniaan, terutama dengan isu-isu politik semasa, penulis cuba bermuhasabah pada diri supaya lebih taqarrub dengan Allah SWT.
Alhamdulillah, pagi ini penulis sempat berbuat demikian pada waktu Subuh tadi walaupun masih berasa penat setelah memandu seorang diri hampir lapan jam dari KB ke KL, maklumlah apabila usia sudah menjangkau kategori usia `subsidi’.
Hati penulis terdetik betapa ruginnya orang-orang yang tidak menggunakan peluang bonus pahala bereganda yang dianugerahkan oleh Allah SWT terhadap mereka yang menunaikan solat secara berjemaah berbanding solat secara sendirian, kerana selain menambahkan khusyuk dan tawaddu’ kepada Allah, ia dapat mengeratkan hubungan antara sesama umat Islam.
Apa lagi rumah anak yang penulis tumpang dan
menjadi istana hinggap ini berhadapan dengan pintu
masjid yang kini sedang diubah suai selepas baru dinaikkan taraf menjadi masjid mukim Seksyen 7 Shah Alam. Sebelum ini, penghuni di kawasan ini dan berhampiran menunaikan solat Jumaat di Masjid UiTM.
Penulis pernah sebut kepada anak-anak dan kenalan, salah satu dorongan dan tarikan penulis untuk berkunjung ke sini, kerana faktor masjid berhadapan dengan rumah ini.
Penulis terfikir betapa ruginnya penghuni Islam yang tinggal dalam kawasan ini yang tidak mengambil kesempatan begini, kalaupun tidak untuk kelima-lima waktu sehari semalaman kerana kesibukan dengan tugas dan dicemburui waktu, mereka dapat berbuat demikian pada waktu subuh.
Menurut seorang penceramah di program Pengukuhan Jati Diri Ladang Rakyat di Kota Bharu, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi, baru-baru ini, bahawa mereka yang solat berjemaah dapat 27 kali ganda pahala berbanding solat seorang.
Menurutnya, solat berejemaah juga dapat daripada lalai mengerjakan ibadah itu supaya kita khusyuk, tidak solat semacam ayam mematuk beras di lesung.
Penulis juga bukan tidak pernah lihat ramai kakitangan awam dan swasta yang turun kerja sebelum solat subuh, terutama yang tinggal di ibu kota Kuala Lumpur (sewaktu penulis pernah `dibuang daerah’ ke Kuala Lumpur sebelum pencen) kerana mengejar pengangkutan awam. Begitu juga dengan murid-murid sekolah.
Betapa ruginnya orang yang beriman sanggup meninggalkan solat semata-mata kerana mengejar rezeki, sedangkan mereka tahu rezeki itu adalah anugerah Allah. Mereka ini seolah-olah tidak bersyukur bahawa rezeki yang mereka dapat hasil titik peluh mereka sendiri itu adalah kurniaan Allah. Di manakah keberkatan rezeki seseorang itu jika kita tidak mensyukuri nikmat Allah. Orang yang tidak mensyukuri akan ditambah rezekinya, manakala orang yang kufur akan menanggung azam yang pedih. Dan mengikut Ustaz Nur Azariza itu lagi salah satu cara mereka mensyukuri nikmat Allah ialah membuat atau melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang, amal makruf, nahyi munkar.
Bersesuaian dengan itulah dipeturunkan ayat Wal Asr (ila akhir) yang bermaksud: Demi masa, seseungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka itu berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

No comments: