Friday, October 24, 2008

SULTAN MURKA?


MESKIPUN penulis tidak hadir dan tidak mengikuti secara live titah ucapan Sultan Kelantan ketika merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (belanjawan) Kelantan Isnin lalu, namun apabila terbaca tajuk berita di akhbar Berita Harian selepas solat Subuh keesokan harinya melalui portal Berita Harian Online, hati penulis berdetik dan membayangkan sesuatu kesan akan menimpa terhadap akhbar itu.
Rupa-rupannya jangkaan penulis tidak meleset apabila Speaker Dewan Undangan Negeri itu, Nasuruddin Daud mengarahkan akhbar berkenaan menarik balik tajuk di muka depan akhbar itu yang menyebut “Sultan murka Kerajaan Pas gagal tadbir Kelantan”, kerana menurutnnya tajuk itu boleh memberi gambaran negatif terhadap kerajaan negeri.
Tajuk akhbar itu berbeza dengan beberapa akhbar lain, termasuk Sinar Harian yang dipetik sebagai menyebut “Sultan tegur projek tergendala”.
Isu ini bukanlah baru, malah pernah berlaku beberapa kali terhadap akhbar lain. Malah pernah wartawan dihalau daripada membuat liputan berita di majlis-majlis rasmi seperti itu.
Tindakan Speaker itu berikutan desakan beberapa anggota penyokong kerajaan ketika membahaskan titah ucapan Sultan meminta Dewan mengambil tindakan, termasuk meminta pihak akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka di atas penyiaran berita itu.
Apabila akhbar berkenaan gagal menyiarkan ralat atau memohon maaf secara terbuka, pihak Dewan mengambil tindakan menghalang wartawan daripada akhbar berkenaan membuat liputan sepanjang persidangan itu.
Beliau membuat keputusan itu berdasarkan kepada Perkara 14, Peraturan-Peraturan Tetap Dewan.
Perkara itu menyebut 'Dengan tertakluk kepada syarat di dalam Perkara 13, maka bolehlah Speaker memberi kebenaran kepada mana-mana wakil akhbar hadir pada persidangan Dun dengan syarat jika akhbar itu menyiarkan berita perjalanan dewan yang pada padangan Speaker tiada patut, bolehlah kebenaran ia ditarik balik.'

Pada pandangan umum tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, jika diteliti secara rasionalnya tajuk yang disiarkan akhbar itu menggambarkan sesuatu yang tidak kena antara kerajaan negeri pimpinan Pas dengan Sultan menyebabkan baginda melahirkan kemurkaan dalam titah ucapannya.
Walaupun kandungan berita itu tidak menggambarkan kemurkaan, namun sebagai pengamal media dan seorang yang agak lama berkecimpung dalam bidang kewartawan, penulis kira tajuk laporan berita itu agak keras dan boleh menyinggung kedua-dua pihak, sama ada kerajaan negeri dan institusi raja itu sendiri. Saya tidak tahulah apa tujuan sebenar tajuk itu diberikan oleh pihak sidang pengarangnya. Tajuk itu, lebih manis dan selamat jika disebut Sultan menegur atau Sultan dukacita, seperti yang disiarkan sesetengah akhbar lain.
Mungkin kerana itulah ada sesetengah anggota dewan mempersoalkan sama ada nada ucapan atau memek muka Sultan ketika menyampaikan titah ucapannya hari itu menunjukkan kemurkaan atau sebagainya.
Bagi wartawan yang membuat liputan itu lebih tahu keadaan dan situasi sebenar ketika itu berbanding dengan mereka yang bertanggungjawab iaitu meja pengarang di Kuala Lumpur.
Berdasarkan pengalaman bertugas dengan akhbar arus perdana dahulupun, penulis pernah mempersoalkan isu tajuk seperti itu tetapi masih belum terjawab hingga kini.
Mungkin ada yang tersirat di sebalik apa yang tersurat pada tajuk akhbar itu. Hanya pihak berkenaan yang tahu.Lebih dari itu penulis tidak tahu sama ada wujud agenda tersembunyi di sebalik tajuk itu.
Apapun seperti yang pernah disebut sebelum ini penulis faham benar dan dapat membaca sepak terajang wartawan, terutama di jabatan pengarang arah tuju sesuatu laporan yang hendak disiarkan bergantung kepada niat mereka. Jika mahu berita itu menjadi negatif, maka negatiflah jadinya. Jika mahu positif, maka positiflah jadinya. Pokok pangkalnnya terletak atas nawatu pengarangnnya sendiri, sebab itu pepatah Arab pernah menyebut bahawa mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang.
Mungkin disebabkan itulah ada sesetengah individu yang tidak faham sengaja mengunci mulut apabila berhadapan dengan wartawan, walaupun wartawan itu keluarga sendiri.
Dalam hubungan ini wartawan tidak boleh dipersalahkan, kerana wartawan hanya menulis apa yang terkandung dalam ucapan dan ucapan rasmi seperti titah ucapan Sultan itu biasanya berpandu kepada teks yang disediakan, manakala tajuk untuk menarik perhatian pembaca bergantung kepada bahagian Pengarang yang mengendalikannya di ibu pejabat Kuala Lumpur.
Inilah yang menyebabkan sesetengah pihak yang menuduh wartawan cuba memutarbelitkan sesuatu berita kerana apa yang mereka laporkan berdasarkan fakta yang diterima dan yang menjadi manjadi mangsa maki hamun adalah wartawan di peringkat bawah. Mungkin kerana itulah sesetangan penyokong parti pembangkang kurang mesra dengan akhbar arus perdana yang dinaungi oleh kerajaan pusat, menyebabkan mereka lebih berminat membaca laporan yang disiarkan akhbar alternatif atau agensi berita luar negara yang tidak berkepentingan. Ini sekali gus menimbulkan krisis keyakinan di kalangan pembaca akhbar di negara ini.
Malah di kalangan pemimpin parti pemerintah sendiripun isu krisis keyakinan ini wujud, terutama jika ada pihak yang berkepentingan, khasnya di musim pemilihan parti.
Bagi kebanyakan pemimpin politik kini sedar peranan yang dimainkan media, terutama media arus perdana yang menyokong dan mendokong parti pemerintah dan tidak menyalahkan wartawan di peringkat bawahan yang melaporkan berita itu, kerana mereka berkhidmat demi tugas untuk meyara hidup diri keluarga secara halal menerusi karearnya di bidang kewartawan.
Malah, sesetengah wartawan sedar bahawa tugas mereka bukan saja akan dipersoalkan oleh masyarakat umum, tetapi dipersoalkan dan menjawab di hahadaan Allah s.w.t di akhirat kelak.
Adalah malang perkara ini berlaku kerana ia boleh menimbulkan kekeruhan di antara media dengan pihak kerajaan negeri.
Benarlah seperti kenyataan wartawan Berita Harian yang dihalang daripada membuat liputan persidangan Dewan, Khairul Anuar Abdul Samad, bahawa tindakan itu boleh merugikan kerajaan negeri kerana tugas media ialah untuk melaporkan perkara-perkara yang berlaku kepada masyarakat umum dalam persidangan Dewan itu dan banyak laporan positif yang disiarkan sebelum ini untuk kepentingan kerajaan disiarkan akhbar berkenaan.
Kita akui, tetapi kita kena sedar dan akur, seperti kata pepatah, panas setahun hanya boleh dihapuskan dengan hujan sehari.
TAMAT

No comments: