Friday, October 24, 2008

LANGKAH BIJAK SHAHIDAN KASSIM


Perkembangan terbaru beberapa pemimpin Umno yang menarik diri daripada bertanding jawatan tertinggi dalam parti memperlihatkan amalan sihat yang ditunjukkan oleh sesetengah daripada mereka yang disifatkan sebagai "gentleman". Ini juga menunjukkan kematangan berpolitik di kalangan pemimpin Umno bagi mengelakkan mereka terus kecewa dalam perjuangan kerana kalah dalam satu-satu pertandingan merebut jawatan tertinggi dalam parti. Lagipun kita pernah diajar kata-kata semangat bahawa berundur selangkah ke belakang bukan bererti kita mengaku kalah, tetapi sebagai persediaan untuk kita memacu ke depan dengan lebih laju. Demikianlah sikap bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang mengumumkan keputusan menarik diri daripada bertanding Naib Presiden Umno. Walau apapun alasan yang diberi, namun hakikatnya Shahidan terpaksa akur dengan kenyataan bahawa beliau akan menghadapi laluan sulit untuk mendapat pencalonan yang cukup sebagai syarat kuota yang ditetapkan oleh perlembagaan parti untuk bertanding jawatan itu. "Walaupun saya percaya banyak bahagian yang akan terus memberi pencalonan kepada saya, namun saya akan member tumpuan bagi kerusi MT," katanya memetik laporan Bernama, semalam. Mungkin Shahidan tidak mahu menanggung risiko kekalahan atau gagal mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan Naib Presiden yang menyebabkan beliau menarik diri dan bersedia menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi MT dalam perhimpunan agung Mac nanti. Sehingga laporan ini ditulis, Shahidan hanya memperoleh enam pencalonan daripada 20 kuota yang melayakkan beliau bertanding jawatan itu, sama banyak dengan pencalonan yang diperolehi Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim untuk jawatan sama. Keputusan beliau patut dihormati oleh ahli Umno sebagai tanda setianya kepada parti bagi mengelakkan situasi lebih buruk berlaku jika beliau terus kekal dengan keputusannya untuk terus bertanding jawatan itu walaupun gagal memperolehi pencalonan yang mencukupi. Sikap yang sama diambil oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini, yang menarik balik keputusan untuk bertanding Naib Presiden parti apabila berhadapan dengan situasi yang hampir sama. Setakat ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah masih belum berbuat demikian walaupun semua sedia maklum setakat ini beliau belum mendapat sebarang pencalonan daripada mana-mana bahagian yang telahpun bermesyuarat. Ramai pemerhati politik yang ternanti-nanti untuk melihat nasib malang yang bakal diterima bekas Menteri Kewangan itu yang berhasrat untuk bertanding jawatan nombor satu dalam parti, iaitu menentang Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak. Daripada tinjauan rambang terkini yang dibuat oleh Mstar Online menerusi undian sama ada Tengku Razaleigh mampu memperolehi pencalonan mencukupi untuk melayakkan dirinya bertanding jawatan itu tidak memihak kepadanya. Beliau mungkin masih mengharapkan tuah memihak kepadanya. Penulis khuatir situasi ini jelas memperlihatkan Tengku Razaleigh akan berhadapan dengan kegagalan dan akan mengulangi sejarah hitam pemilihan musim lalu, di mana beliau gagal mendapat pencalonan mencukupi untuk mencabar Presiden parti ketika itu, iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau bukan saja kecewa tiga kali berturut-turut dan diumpamakan oleh orang Melayu pisang tidak mungkin berbuah dua kali, malah kali ini mungkin kali ketiga bagi Tengku Razaleigh.

No comments: