Sunday, April 12, 2009

Sembang sebelum Subuh: MAMPUKAH MUTU SUKAN BOLASEPAK KELANTAN BERTARAF DUNIA?



KALI ini penulis tidak ingin membincangkan soal scenario politik negara ekoran ketiga-tiga parti, iaitu Pas, PKR dan BN masing-masing memperoleh satu kerusi dalam pilihan raya kecil serentak iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, malah lebih berminat membincangkan insiden rusuhan bosalepak di negeri dikenali Serambi Makkah ini.
Malah dengan keputusan itu ada orang yang menggelarkan BN dapat satu batang, Pakatan dapat dua bukit.
Berbalik persoalan pokok menyentuh bolasepak Kelantan, penulis teruja dengan kenyataan Menteri Besar yang menyifatkan kekecohan yang berlaku dalam perlawanan separuh akhir Piala Super di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV sebagai memalukan.
Walaupun pemimpin politik bertaraf ulama itu tidak menyaksikan perlawanan itu, tetapi memang hakikatnya beliau prihatin dengan insiden yang dianggap di luar batasan dan lari dari nilai-nilai murni masyarakat Kelantan.
Mahu tidak mahu beliau terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam sebuah rumah tangga.
Sebagai tanda kesungguhan para pemimpin dalam memberi perhatian kepada rakyat, kedua-dua pemimpin politik Kelantan, iaitu Nik Aziz dan Annuar Musa, pada masa sama sanggup bersemuka dan masuk ke dalam wad Hospital Sultanah Zainab II, menziarah seorang mangsa yang buta sebelah mata akibat terkena serpihan letupan gas pemedih mata yang dikatakan dari tindakan pasukan FRU menyuraikan rusuhan di luar stadium malam itu. Di sini nampaklah kepada kita bahawa politik dengan semangat kesukanan boleh dipisahkan. Nik Aziz pun pernah sebut bahawa politik dengan agama tidak boleh dipisahkan. Orang yang memisahkan itu mereka adalah berpegang kepada amalan itu adalah fahaman sekular yang diwarisi penjajah.
Di sini penulis suka menasihatkan kepada mana-mana penyokong fanatik parti politik jangan terlalu taksub kepada parti hingga melupakan nilai-nilai murni dalam keluarga dan masyarakat.
Ini kerana, ia selain berpegang kepada hukum Allah, kita juga berpegang kepada hukum alam bersandarkan al –Quran dan sunnah iaitu mengadakan hubungan baik sesama manusia selain dengan Allah kerana kita tidak boleh lari daripada kenyataan “Hablul Minallah Wa Hablulminannas”.
Berbalik soal insiden di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV malam itu, penulis teringat beberapa peminat lama memberi komen bahawa mutu bolasepak Kelantan menuju ke episod lama di mana kalau kalah dalam perlawanan akan main kasar. “Bukan nak cari dan nak sepak bola tapi nak sepak keting dan terjah lawan. Bola tak tahu ke mana, gol tak tahu ke mana huuuu…”
Melihat kepada perkembangan bola sepak Kelantan sejak mutahir ini, seorang peminat bola sepak veteran Kelantan mengemukakan persoalan kepada penulis: "Mampukah mutu bola sepak Kelantan menuju ke matlamat bertaraf dunia?"


No comments: