Saturday, April 4, 2009

SUKAN TOMOI TIDAK WAJAR DI KELANTAN?



Kali pertama menyaksikan pertandingan tomoi Siam atau disebut muay Thai, peringkat antarabangsa anjuran kerajaan Kelantan di Stadium Sultan Mohammad Ke IV Kota Bharu, baru-baru ini, penulis terruja dan terpanggil untuk mempersoalkan tentang kewajaran sukan ganas itu diadakan di negeri yang digelar serambi Makkah ini.
Tanpa memperhitungkan kepentingan dari segi politik dan industri pelancongan, penulis berpandangan sukan itu tidak wajar diadakan, kerana selain ia sejenis sukan ganas dan lasak dan dilihat sebagai melagakan sesama manusia, apatah lagi jika iannya dipertandingkan bagi merebut Piala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang digelar sebagai ulama atau tok guru.
Penulis tidak tahu sejauh mana pandangan Nik Aziz dalam perkara ini dan sama ada pernah menyaksikan pertandingan ini atau tidak, kerana jika beliau tonton mungkin beliau tidak tergamak melihat manusia melakukan keganasan terhadap sesama manusia yang dilihat sebagai lembu berlaga walaupun ia dianggap sejenis sukan . Mengikut pengetahuan penulis Islam melarang kita melagakan haiwan sesama haiwan yang tidak mempunyai fikiran walaupun ada otak, apatah lagi sesama manusia.
Difahamkan pertandingan ini diadakan bagi menambahkan lagi suatu produk dalam industri pelancongan di negeri ini. Tetapi sebagai negeri yang berslogankan membangun bersama Islam, wajarkah kejohanan sukan ganas dan lasak seperti itu dibenarkan? Dari segi Islam, lahirnya jelas dilihat peserta yang terlibat tidak menepati syariat Islam di mana berpakaian tidak menutup aurat, dengan berpakaian seluar pendek menampakkan pusat dan ia turut ditontoni oleh wanita.
Dalam hati penulis terdetik ingin bertanyakan Nik Aziz jika beliau hadir merasmi dan menyampaikan hadiah kepada juara kejohanan pada malam itu sama ada ia sesuai atau tidak diadakan, terutama apabila menggunakan namanya sebagai merebut Piala Kejohanannya. Malah, jika penulis turut berada dalam sidang akhbar yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan akan mengemukakan persoalan itu.
“Elok benar kita tanya MB malam ini untuk mendapat penjelasan?” bisik seorang rakan wartawan ke telinga penulis ketika menyaksikan pertandingan itu.
Difahamkan pertandingan tomoi Siam ini pernah diharamkan di Kelantan pada 1993 lalu apabila kerajaan negeri mendapati ianya tidak sesuai diadakan kerana ia dilihat sejenis sukan ganas dan mencemaskan penonton. Malah ada antara peserta pertandingan yang meninggal dunia akibat cedera parah dalam pertandingan itu kerana dibelasah regunya.
Bagaimanapun pertandingan itu dibenarkan semula selepas pihak berkenaan bersetuju mengubah suai kaedah pertandingan dengan kawalan pemantauan dibuat oleh Persatuan Boxing dan Jawatankuasa Belia, Sukan dan Wanita Negeri yang dipengerusikan oleh Exco Abdul Fatah Mahmood.
Abdul Fatah pula semacam tidak bersetuju apabila diajukan pertanyaan sama ada kerajaan sedar pertandingan itu dikatakan ganas dan berbahaya kepada peserta pertandingan dan tidak begitu sesuai diadakan di negeri ini, terutama apabila ia menjadi kejohanan merebut Piala Menteri Besar Kelantan.
“Kalau nak kira ganas semua jenis sukan ganas dan mencemaskan, Malah, pertandingan fotsal sendiripun ganas dan permainan hoki sendiripun ganas dan ada yang mati terkena kayu hoki ketika pertandingan,” jawab YB Abdul Fatah kepada penulis semacam emosi apabila diminta pandangannya.
Selepas menjejakinya beberapa hari, Isnin kelmarin barulah penulis berjaya mendapatkan komen Nik Aziz berhubung perkara itu lantas beliau menjawab “Ambo sendiri tak hadir pada majlis penyampaian piala kejohanan itu kebetulan ada musakah lain.
Menurutnnya, beliau bersetuju untuk mengkaji semula pertandingan itu jika ramai yang mendakwa iannya tidak sesuai dan dilihat sejenis sukan ganas dan mencemas serta berbahaya kepada peserta.
Bagaimnanpun, katanya, kajian itu boleh dibuat jika ada sungutan `hitam putih’ daripada mana-mana pihak yang beranggapan demikian dan usaha untuk mengubah suai patut dibuat jika perlu bagi memastikan pertandingan itu dapat terus diteruskan di negeri ini supaya ia menjadi salah satu produk tarikan baru pelancongan ke Kelantan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM).
Nik Aziz hanya diwakili Timbalannya, Datuk Ahmad Yakub untuk menyampaikan Piala Kejohanannya pada malam itu. Hadir sama YB Abdul Fatah sendiri, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, YB Datuk Takiyuddin Hassan dan beberapa Adun Pas.

No comments: