Saturday, March 28, 2009


Sembang Sesudah Subuh: NIK AZIZ BUAT KEJUTAN UBAH TUMPUAN

Ketika masyarakat umum menumpukan perhatian terhadap perubahan pucuk pimpinan Umno dan peralihan kuasa Presiden Umno yang bakal menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, membuat kejutan dengan membidas keras mereka yang ketagihan merokok, terutama mereka berketrampilan imej Islam seperti berjubah dan berkupiah.
Beliau bukan sahaja menyamakan mereka yang mengamalkan sikap demikian sebagai lembu, malah lebih hina daripada haiwan itu. Kenyataan itu dihemburkan dalam kuliah mingguan pagi Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu, semalam.
Dalam kata-kata penuh sinis itu, ternyata pemimpin politik bertaraf ulama itu begitu marah terhadap perokok kerana walaupun mereka tahu amalan itu berbahaya kepada kesihatan dan ditegah oleh agama serta merugikan wang, namun ia masih tidak boleh ditinggalkan oleh pencandunnya.
Sebenarnnya, kenyataan memusuhi amalan merokok ini bukanlah baru dizahirkan oleh Nik Aziz, malah sebelum ini penulis teringat beliau pernah membayangkan bahawa jika beliau ada kuasa dan ada alternatif lain, tanpa menghitungkan faktor ekonomi dan masalah sosial, beliau akan mengharamkan terus penanaman tembakau di Kelantan walaupun beliau tahu tanaman itu dapat memberi pulangan pendapatan lumayan kepada rakyat negeri ini. Justeru itu beliau mengalau-alukan langkah pihak tertentu yang cuba mengubah cara hidup petani daripada tanaman tembakau kepada tanaman rossel dan terbaru pokok knaf.
Malah, penulis teringat ketika mula memegang tampuk pentadbiran negeri ini Nik Aziz pernah mengeluarkan kenyataan (ketika berucap di Masjid Mukim Cherang, Kota Bharu, melarang ahli Pas menghisap rokok.
Soal sama ada, masih ada ahli Pas yang ingkar arahannya atau tidak perkara kedua. Yang pasti beliau sudah menyatakan pendiriannya berhubung perkara itu. Ini kerana amalan merokok susah hendak diberhentikan kalau seseorang perokok itu sudah tergolong dalam kategori ketagih. Tidak hairanlah jika ada ahli Pas yang gagal mematuhi arahan itu kerana kesalahan lebih besar lagi terhadap agama, seperti maksiat yang nyata ditegah Islam masih dilakukan walaupun tidak secara terang-terangan.
“Kalau lembu yang berak di atas jalan raya kita tidak boleh ambil tindakan terhadapnya kerana ia tidak mempunyai akal dan fikiran, tetapi manusia yang ada otak ada fikiran boleh hisap rokok walaupun mereka tahu ia bukan saja memudaratkan kesihatan dan membazir wang, malah agama marah, doktorpun marah, tapi tetap lakukan juga. Ini bermakna mereka ini (yang degil masih merokok) lebih hina dari lembu yang tidak ada otak dan fikiran,” marah Nik Aziz dalam kuliah pagi Jumaat itu. Ketika itu tidak kedengaran suara laungan “Takbir”, tidak sebagaimana yang pernah dilaungkan apabila pemimpin itu mengeluarkan kenyataan mengutuk atau mengecam parti lawan atau sesuatu kenyataan pedas.
Lebih menyentuh perasaan lagi apabila Nik Aziz menyindir terhadap sikap mengamalkan merokok itu di kalangan umat Islam yang berketrampilan imej Islam, seperti berketayap atau berjubah dan ada yang sanggup mencuri hisap rokok di beranda masjid sementara menunggu solat berjemaah.
Hati penulis terdetik kenyataan Nik Aziz itu sebagai kemuncak kepada usaha kerajaan melancarkan kempen anti merokok di kalangan rakyat yang menyebabkannya terpaksa menghabiskan wang berjuta ringgit dalam kempen itu di seluruh negara. Ramai yang percaya bahawa kempen anti merokok itu bukan sahaja mengawal rakyat daripada menghidapi penyakit kronik berpunca daripada amalan merokok, tetapi menghapuskan tabiat merokok juga dapat menjimatkan kos hidup terutama di saat kegawatan ekonomi global sekarang ini.
Jadi cemuhan Nik Aziz itu ada kewajarannya sesuai dengan sandaran terhadap beberapa ayat al-Quran yang ditafsirkan dalam kuliahnya pagi itu. Berdasarkan pengamatan dan pengalaman penulis, umum memahami bahawa Nik Aziz tidak akan mengeluarkan sesuatu kenyataan kosong kecuali bersandarkan kepada hadis atau ayat al-Quran yang dibacanya walaupun terpaksa menyentuh isu politik semasa. Inilah antara kelebihan pemimpin politik dan ulama itu yang penulis kenal.
Mungkin kerana itu ada jemaah yang menghadiri majlis ilmu yang disertai Nik Aziz mendapat perhatian bukan saja di kalangan penyokong Pas, tetapi masyarakat umum yang tidak menjadi ahli parti.
Justeru kerana itulah juga, difahamkan ramai pelawat dari luar Kelantan sengaja melancong ke negeri ini setiap hujung minggu, semata-mata ingin mendengar kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di perkarangan ibu Pejabat Pas Kelantan.
Jadi, tidak hairanlah jika ada pegawai kerajaan yang hampir mencecah usia pencen dan tidak berkepentingan cuba mencuri dengar kuliah setiap pagi Jumaat itu untuk menimba ilmu daripada kuliah itu. Cuma ada golongan fanatik parti pembangkang yang masih mencugai peranan kuliah Nik Aziz itu dan menganggap sebagai ceramah politik.
Sedangkan pemimpin politik bertaraf ulama itu pernah menyatakan, anggaplah ceramahnya di atas pentas Pas, di atas masjid atau di mana-mana saja sama saja. Bezanya, kata beliau, kalau di atas mimbar masjid disebut khutbah, di pentas parti ceramah politik dan di pentas kerajaan sebagai amanat ketua jabatan atau kerajaan, pokok pangkalnya adalah sama menuju satu matlamat iaitu agama Islam.
Barangkali lantaran itulah juga ada antara wartawan yang merasakan membuat liputan Nik Aziz mendapat dua manfaat besar iaitu melaksanakan tugas dan mendapat ilmu daripada ucapannyan untuk dijadikan panduan hidup yang perlu diisi dengan pengajaran agama.
Sayugia diingatkan bahawa ini bukan bermakna kerana dipengaruhi emosi politikit tetapi menyedari bahawa tugas wartawan juga sebagai ulama dalam penyebaran maklumat yang benar lantaran menyedari tugas seseorang wartawan juga akan dipersoalkan di akhirat kelak. Wallahu A’lam.

No comments: