Sunday, March 8, 2009

Sembang seawal pagi: KEAMANAN NEGARA TERCALAR DEK KERAKUSAN KUASA?








KETIKA hendak melangkah turun tangga masjid subuh tadi, penulis terdengar bisikan beberapa ahli jemaah mengeluh memikirkan nasib negara yang sebelum ini terkenal rakyatnya hidup dengan aman dan damai, kini tercemar oleh unsur-unsur keganasan di sana sini. Dari isu politik hingga kepada isu pemansuhan PPMSI yang bukan saja membabitkan orang politik, malah para akademik, pelajar dan golongan sasterawan.
Penulis tidak mengambil bahagian dalam perbincangan pendek yang tidak rasmi itu kerana lebih berminat mengetahui perkembangan dalam negara melalui skrin laptop yang tersedia dengan broadband untuk mengekses portal media elektronik sama ada Bhonline, Utusan Online, Mstar Online atau Bernama.Com. Inilah rutin penulis selepas solat subuh atau sebelum solat sunat dhuha.
Hati penulis kecut apabila terbaca laporan ramai yang terbabit dalam perhimpunan untuk menyerahkan memorandum memansuhkan PPMSI di Istana Negara ditahan polis mengikut Akta 27 Akta Polis 1967 dan Seksyen 341/353 Kanun Keseksaan.
Ekoran kejadian itu, beberapa jalan di sekitar ibu negara menjadi sesak dan peniaga-peniaga pula dalam kebimbangan untuk meneruskan perniagaan kerana dikhuatiri berlaku kacau bilau dan rusuhan besar.
Dalam hati penulis terdetik, dimanakah yang dikatakan negara kita aman dan damai sebagaimana yang dilaung-laungkan pemimpin negara kita. Sudah sampai masanya kita bermuhasabah diri untuk mencari di mana silapnya kita dalam menangani hidup dalam dunia yang disebut sebagai pinjam-pinjaman ini. Kita kena tanya apa puncanya segala perkara itu berlaku, tentu ada sebab dan musabbabnya sebagaimana kata pepatah Arab setiap sesuatu (yang berlaku) ada sebabnya (“Kullu syaien, sababa”, ertinya setiap sesuatu itu bersebab. Tidak kiranya sama ada ia berpunca dari politik kepartian atau dasar yang diamalkkan negara itu betul oleh sesetengah pihak dan tidak betul oleh kebanyakan pihak. Itu perlu diambil kira.
Pemimpin politik hanya boleh bercakap dan meminta rakyat bertenang dan bertenang, sebagaimana Pak Lah dipetik sebagai menyebut meminta isu PPMSI diselesaikan segera. Beliau boleh bercakap begitu kerana suarannya laku oleh media arus perdana untuk disiarkan, malah orang lain boleh bercakap lebih baik daripada itu, tetapi siapalah mereka itu, suarannya tidak laku. Penulis teringat ketika kecil-kecil dulu, seorang lelaki (lupa namanya) dikatakan kurang siuman pernah menyebut, “Merdeka apa merdeka, merdeka taik, nasi belauk 10 senpun kena beli...”. Moral of the story daripada komen lelaki kurang siuman itu menggambarkan dia tidak dapat menikmati erti kemerdekaan negara walaupun sudah mencecah usia lebih 50 tahun lalu. Lelaki itu hanya menilai erti kemerdekaan dari sudut untuk mengisi perutnnya sahaja, tanpa memikirkan lebih jauh daripada itu. Dia tidak nampak hasil kemerdekaan negara sudah banyak perubahan dan nikmat hidup yang dikecapi dan dikecapi oleh warga negara dalam bidang pendidikan, sosial, agama dan pembangunan material. Cuma ketika ini sampai pula giliran keamanan negara sedikit tergugat dan tercalar oleh malapetaka yang tidak diundang seperti mencabar kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan hingga menyentuh intitusi raja berpelembagaan dek kerenah pemimpin negara akibat mengikut kehendak era politik semasa negara.
Itulah penulis mengajak semua pihak berfikir dan berhasabah diri di mana silapnnya kita dalam menerajui hidup di dunia yang disebut sebagai pinjam-pinjaman ini. Wallahu A’lam

No comments: