Monday, June 29, 2009

Debat Umno-Pas: NIK AZIZ BIJAK BERPOLITIK


KENYATAAN Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat bagi menyelesaikan kemelut politik antara Pas dan Umno sejak sekian lama memberi tamparan hebat kepada pemimpin Umno.
Ia sekaligus melenyapkan isu kerajaan perpaduan yang dimomok-momokkan oleh ramai pemimpin politik, terutama Umno yang inginkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Hadi awang itu menjadi kenyataan.
Penulis yang sudah lama mengenali sikap dan pendirian Nik Aziz sebagai pemimpin politik Pas sejak sejak 1970-an tidak hairan apabila beliau mengeluarkan kenyataan menjemput Perdana Menteri mengadakan debat terbuka dengannya dalam usaha menyelesaikan kemelut politik antara Umno dengan Pas yang dikatakan tidak pernah mencapai kata sepakat sejak kewujudan parti itu pada1951, sehingga timbul isu kafir mengkafir, peristiwa Memali, Amanat Haji Hadi dan sebagainya.
Cuma apa yang menghairankan penulis yang hadir sendiri pada sidang akhbar ketika Nik Aziz menyatakan hasrat itu ialah apabila tiba-tiba beliau beria-ia benar mencari wartawan selepas mengimamkan solat dhuha di perkarangan Masjid Al-Baroah berhampiran Pasar Siti Khadijah. Sebelum ini bukan main susah bagi wartawan untuk menemui Menteri Besar Kelantan itu untuk ditemubual, terutama apabila melibatkan fungtion bercorak agama seperti itu. Silap-silap bila mood tak baik, beliau enggan ditemui atau tidak mahu bercakap langsung. Kali ini dia yang mempersilakan wartawan duduk di meja lain dan meninggalkan meja yang disediakan untuknya makan pada pagi itu. Sementara beberapa VIP lain bersamanya, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah terkumat kamit untuk menegur kami yang sedang mewancara Nik Aziz yang begitu khusyuk bersama wartawan. Pada hari itu, hanya dua wartawan yang hadir iaitu dari Bernama dan Harakah yang secara kebetulan atau sengaja menjalankan tugas awal pagi itu lebih banyak mendengar apa yang hendak diperkatakannya. Daripada cerita mengenai kifayah solat sunat dhuha membawa kepada isu debat politik yang membabitkan dua parti terbesar Umno dan Pas. Berita itu begitu meluas apabila semua media, termasuk TV3 menyiarkannya walaupun tanpa visual.
Selepas tercetusnya laporan berita kenyataan Nik Aziz ajak PM berdebat itu ramailah pemimpin politik, termasuk dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi memberi reaksi yang rata-rata tidak bersetuju dengan kenyataan itu kononnya buat menghabiskan masa, tidak menguntungkan. Dan ada yang memberi cadangan lain menukar daripada berdebat kepada perbincangan ke arah perpaduan Melayu.
Malah, ada yang berpendapat Umno bimbang untuk berdebat kerana dikhuatiri pecah pembelang kerana mereka sebenarnya mengamalkan perjuangan politik sekular dan tiada hujah untuk mengatakan perjuangan parti Pas menyeleweng dan menyalahi agama dan tidak mengamalkan dasar Islam yang sebenarnya.
Menurut Nik Aziz kenyataan kerasnya itu ekoran tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadapnya berhubung ucapan di majlis ceramahnya yang mendakwa ajaran Umno sesat seperti ajaran Ayah Pin dan amalkan dasar nasionalis sama dengan ajaran sosialis yang diamalkan oleh komunis.
Persoalannya, apakah pemimpin politik itu faham maksud jemputan Nik Aziz untuk berdebat itu. Mengikut kenyataan asalnya, beliau mahu mengirimkan surat kepada PM untuk bermujadalah (berdebat) bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda umat Islam dan masyarakat Melayu, terutama penyokong Pas dan Umno sejak sekian lama hingga kini tiada kesudahan. Menurut Nik Aziz inilah (perdebatan secara terbuka) satu daripada tiga ajaran dakwah Islam apabila kalangan umat Islam ingin menyelesaikan sesuatu masalah dalam mencari kebenaran. Tiga langkah yang dicadangkan Islam ialah berdakwah secara bil-hikmah iaitu bijaksana (bijak sana maksud Nik Aziz berdasrkan ajaran Islam bukan bijak sini yang berasaskan kehendak diri), memberi nasihat dan ketiga bermujadalah (bahas atau debat)
Menurutnya, ini adalah suatu langkah terbaik untuk menjelaskan kepada umum, di mana kebenaran dan kebatilan kedua-dua parti itu di mana Umno didakwa memperjuangkan kebangsaan dan menolak Islam dan Pas memperjuangkan Islam dan menolak sekular. Menurutnya, jawapan dan perdebatan melelaui media bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut itu yang melanda umat Islam sejak sekian lama sebaik Pas ditubuhkan 1951.
Sebanarnya kenyataan Nik Aziz seperti itu bukannya baru, sudah berapa kali beliau mengajak Umno untuk bermuzakarah dan bermujadalah. Sudah berapa kali Nik Aziz mempelawa Umno untuk bermuzakarah, tetapi tidak disambut oleh pemimpin parti berkenaan. Walaupun bunyi sebutan bahasa Arab itu tidak sama, tetapi maksud jemputan Nik Aziz itu hampir sama. Mungkin ramai pemerhati yang beranggapan Umno tidak mempunyai hujah untuk mempertahankan tuduhan-tuduhan Pas bahawa parti itu mengamalkan politik sekular dan Pas pula mengamalkan politik Islam berpandukan al-Quran dan hadis. Dengan mengenepikan sebab yang tersirat disebalik keengganan Umno menerima pelawaan Nik Aziz itu, penulis dapat membayangkan tindakan Menteri Besar Kelantan mencabar Umno di saat-saat pilahan raya kecil DUN Manik Urai hampir menjelang itu, dapat memberi advantej kepada Pas menimbulkan isu baru dan melenyapkan isu kerajaan perpaduan yang dilhamkan oleh Presiden Pas sebelum ini, yang sedikit sebanyak menjejaskan perpaduan di kalangan ahli Pas sendiri. Penulis berpendapat isu itu kalau terus dibangkitkan sedikit sebanyak akan menjejaskan Pas, terutama ketika kempen pilihan raya kecil DUN Manik Urai ini.
Penulis melihat inilah keunikan permainan politik pemimpin agung Pas itu dalam menangani kemelut dalaman politik mereka ketika menghadapi saat-saat genting seperti ini. Sama ada disedari atau disengajakan penulis menyimpulan ia memberi keuntungan kepada Pas. Wallahu A’lam.

No comments: