Thursday, December 11, 2008

"IKAN KERING JADI RAJA?"

SUDAH berbuih mulut penulis mencadangkan supaya kerajaan mencari satu kaedah yang sesuai bagi membolehkan peniaga menurunkan harga barangan, terutama barang keperluan dapur yang tidak berubah, malah semakin naik walaupun harga minyak sudah turun beberapa kali hingga ke tahap yang minimum sekarang ini.
Pada 3 Disember lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter, di mana petrol RON97 dijual pada harga RM1.90 seliter daripada RM2 seliter dan RON92 kepada RM1.80 seliter daripada RM1.90 seliter manakala diesel dijual pada harga RM1.80 seliter daripada RM1.90 seliter.
Ini merupakan kali ke enam kerajaan menurunkan
harga minyak sejak Ogos. Kali terakhir harga minyak diturunkan ialah pada 18 November. Alasan peniaga terpaksa menaikkan harga barangan adalah disebabkan kenaikan harga minyak kini sudah tidak boleh relevan lagi, kerana kerajaan sudah menurunkan harga minyak pada tahap yang minimum selaras dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran global.
Malah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad dalam kenyataan terbaru membayangkan harga runcit minyak di pam mungkin turun lagi berikutan perurunan bahan api itu di peringkat global.
Bagaimanapun, makanisma penurunan harga itu tidak dapat diumumkan lagi sebelum ianya diputuskan oleh Kabinet dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata mekanisma bagi melaksanakan sistem apungan atau harga lantai bagi petrol dan diesel akan dibawa ke kabinet sebelum diputuskan.
Perkembangan terbaru ini memang membanggakan kita sebagai pengguna yang setiap hari berhadapan kerana kerenah peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan tanpa memikirkan kebajikan pengguna.
Sikap peniaga yang tidak berperi-kemanusiaan ini harus diajar supaya mereka insaf dan sedar terhadap tindak tanduk mereka yang bersikap tamak dan mengejar keuntungan tanpa memikirkan masalah pengguna, kesan daripada fenomena kenaikan harga barang dan inflasi yang sedang melanda negara sekarang.
Peniaga seharusnnya patut turut bermuhasabah diri dan meletakkan diri mereka seketika sebagai pengguna yang sudah tentu dapat merasakan apa yang dirasakan oleh pengguna.
Penulis merasakan ketika ini ramai peniaga yang tidak bertanggungjawab merasa seronok dengan keadaan yang berlaku sekarang kerana dapat mengaut keuntungan yang lebih, tanpa memikirkan mereka adalah pencekik darah pengguna.
“Sampai bila harga barang turun, sedangkan harga minyak sudahpun turun beberapa kali,” keluh seorang suri rumah ketika membeli belah di Pasar Besar Siti Khadijah, satu-satunya pasar utama di Kelantan.
Penulis teringat, pasar itu sengaja diubah nama daripada Pasar Pusat Buluh Kubu oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai memberi gambaran pasar yang melambangkan peniaga mengamalkan sunah Nabi dalam perniagaannya. Apa lagi apabila majoriti peniaga di situ dimenopoli oleh golongan wanita berbanding peniaga lelaki.
Berasaskan kepada matlamat penukaran nama pasar oleh pimpinan ulama itu, adalah diharapkan peniaga juga boleh menyemai sifat-sifat yang dimiliki oleh Sayidatina Siti Khadijah dalam aspek perniagaan, seperti tidak mengambil untung secara berlebihan dan tidak sah; bertimbang rasa terhadap pembeli atau pengguna, selain melafazkan akad jual beli sewaktu berurusan dengan pelanggan.
Ini kerana ia merupakan cirri-ciri bermuamalat mengikut cara Islam.
Kesan kenaikan harga barang yang tidak terkawal sekarang ini penulis terdengar suara-suara sumbang dan keluhan daripada pengguna, khasnya suri rumah bahawa untuk mebeli ikan keringpun sekarang ini mereka terpaksa sediakan wang sekurang-kurangnya RM20 apatah lagi untuk mebeli ikan segar/basah, terutama kepala ikan.
“Sekarang ikan kering pelata dah jadi raja,” kata seorang surirumah sambil membimbit raga melalui lorong peniaga di Pasar Siti Khadijah suatu hari.
Menurutnya, sebelum ini orang tidak pandang kepada ikan pelata atau tamban sisik apatah lagi jika ianya dijadikan ikan kering, kerana ikan itu tidak mempunyai isi yang tebal dan bertulang. Kanak-kanak dan orang muda memang tidak sukakannya.
Tetapi kadar harga ikan kering jenis itu kini melambung naik hingga ke RM10 atau RM15 sekilo. Ini belum dibandingkan dengan harga ikan talang atau gelama sungai kering yang merupakan ikan kegemaran kalangan kenamaan, berada dan mewah.
Penulis teringat, mungkin berpunca daripada itulah yang dikatakan oleh surirumah berkenaan bahawa ikan kering jadi raja sekarang ini.
Setakat ini, penulis tidak nampak bagaimanapun kerajaan mampu mencari kaedah yang berkesan untuk menggalakkan supaya peniaga menurunkan harga barangan keperluan harian selaras dengan penurunan harga minyak yang kini sudah enam kali dilaksanakan kerajaan.
Pihak berkenaan seharusnnya tidak jemu dan bosan untuk mencari kaedah atau pendekatan yang sesuai dalam menangani isu itu supaya masalah yang membebankan pengguna ini tidak akan berlajutan atau tidak berkesudahan walaupun ia memakan masa bertahun-tahun lamanya.
Rakyat atau pengguna mungkin tidak boleh mengambil sikap memulau daripada barangan, kerana ia merupakan barangan perlu selagi keluarga mereka ningin bernafas dan hidup.
Mereka mungkin tidak sampai ke peringkat ingin memprotes secara berbogel seperti yang akan dilakukan oleh kumpulan apa yang dinamakan Gerakan Refomis Rakyat Malaysia (Refomasi) membantah pihak berkuasa kerajaan negeri itu menaikan kadar sewa Program Rumah Rakyat (PPR).
Walaupun tindakan kumpulan itu tidak logik dan tidak masuk akal, tetapi ia jelas menggambarkan rasa tidak puas hati segelintir masyarakat terhadap pihak berkenaan yang tidak mengindahkan rayuan dan sungutan terhadap nasib mereka yang merasai tertindas dan teraniaya oleh keadaan.
Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah segera dalam mencari penyelasaian dan mengatasi masalah yang dihadapi rakyat, sebelum ia menjadi barah yang tidak dapat diubati, kerana seperti diperkatakan umum bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya.
TAMAT



No comments: