Saturday, December 6, 2008

Sekilas pandang: MEROBEK PENGALAMAN SEBAGAI WARTAWAN


KALI pertama diberi peluang menyampaikan ceramah di Kursus Asas Penulisan Berita, anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri menggamik rasa seronok sehingga masa yang diberi 1 jam 30 minit tidak cukup sehingga melangkau ke slot penceramah lain.
Inilah kali ketiga diberi peluang menyampaikan ceramah secara rasmi oleh pihak penganjur. Yang terbaru ini agak grand sedikit kerana majlis diadakan di dewan agak besar Perdana Resort, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan dianjurkan Kerajaan Negeri.
Kali pertama di dewan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Jalan Kadir Adabi Kota Bharu, tiga tahun lalu disertai oleh kira-kira 50 peminat sasatera yang mula berjinak-jinak mahu menceburi bidang penulisan berita dan rencana.Ia dianjurkan oleh Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang saya sendiri menjadi ahli.
Kali kedua d i bangunan Perpustakaan Islam Az-Zahra, Jalan Merican Kota Bharu, disertai individu yang berminat untuk menjadi wartawan tetap dan sambilan dengan akhbar Mingguan Wasilah, di mana saya sendiri dilantik sebagai Pengarangnya. Ia dianjurkan pihak Kelantan Reserch of Institut Strategict (Kris).
Ketidakcukupan masa yang diperuntukkan itu terasa disebabkan saya membuat `homework’ dengan merangka kertas kerja atau `talking point’ yang hendak disampaikan kepada peserta hari itu. Saya diberi tajuk asas-asas penulisan berita dan merupakan slot pertama dalam kursus selama dua hari itu.
Banyak apa yang saya perkatakan dalam ceramah itu berkisar tentang pengalaman ketika bertugas sebagai wartawan sejak dari mula menjadi penulis sambilan (stringer) seawal 70-an sehinggalah ke jawatan apa yang dinamakan Wartawan Eksekutif dan Ketua Biro Berita Harian sebelum bersara pertengahan Disember 2004.
Keseronokan itu juga mungkin berkat doa yang saya baca sebelum memulakan ceramah supaya Allah membuka pintu hati saya yang ikhlas ingin berkhidmat sesama manusia yang ingin mengikut jejak langkah saya sebagai wartawan, atau setidak-tidaknnya mengenali latar belakang dari dekat apa yang dimaksudkan dengan manusia yang dinamakan wartawan atau pemberita ini.
Tektik penyampaian ceramah kali ini juga saya ubah berbanding sebelum ini, di mana saya memberi peluang kepada peserta bertanya atau berbincang selepas selesai satu-satu tajuk kecil dalam kertas kerja atau `talking points’ itu, yang sebelum ini saya tidak rangka kemas. Apa lagi, saya gunakan segala kepakaran yang ada pada saya sebagai orang lama dalam bidang penulisan ini, walaupun kebanyakan point saya beredasarkan pengalaman sendiri dan sedikit sahaja berdasarkan teori yang diperolehi daripada mengikuti kursus anjuran majikan.
Saya sedar ada antara point yang saya perkatakan itu menyentuh polisi syarikat majikan tempat kerja dahulu dan cuba menyelami apa yang tersirat di sebalik yang tersurat oleh etika kewartawanan ketika bertugas di penerbitan akhbar arus perdana. Memang tidak dapat dinafikan setiap penerbitan yang dikawal oleh kerajaan mesti memain peranan menjadi organ parti pemerintah sebagaimana akhbar yang diterbitkan oleh parti pembangkang juga, contohnya Harakah.
Saya sedar apa yang saya perkatakan dalam ceramah itu lebih memperlihatkan kesedaran diri untuk menjadi penulis pendakwah yang sudah insaf dalam warna-warna kehidupan yang tidak berpandu kepada arah tuju akhirat. Ini kerana setiap sen wang gaji yang diberikan majikan dan dinikmati selama ini adalah halal di sisi agama supaya mendapat keberkatakan dunia dan akhirat. Kerana saya sedar jika wang yang diperolehi daripada sumber yang tidak halal tidak akan menjadi darah daging untuk diri dan keluarga dan tidak diberkati, malah akan menerima musibah suatu hari nanti.
Kedasaran ini juga mungkin terbit berkat daripada saya begitu menghayati ibadah saya sepanjang Ramadhan lalu, di mana saya juga turut terbabit menerbitkan bulletin khas “Qaryah Ramadhan” anjuran kerajaan negeri. Seperti yang saya perkatakan dalam blog sebelum ini bahawa penghayatan ibadah saya sepanjang Ramadhan lalu banyak memberi rahmat iman di mana saya berpegang kepada kenyataan seorang pendakwah bebas, Dr Abdullah Yasin, yang menyifatkan tindak tanduk saya ketika ini mempunyi ciri-ciri kesan limpahan rahmat yang diturunkan malaikat pada malam 27 Ramadhan itu iaitu suatu malam yang lebih baik daripada 1,000 malam.
Jadi, bertolak pada hakikat inilah, saya lebih memberi tumpuan ceramah itu kepada penerapan nilai-nilai rohani dan secara kebetulan peserta pula terdiri daripada mereka yang dihantar oleh penyelia-penyelia DUN yang mewakili parti pemerintah kerajaan negeri, walaupun saya sendiri bukannya menjadi ahli parti berkenaan. TAMAT

No comments: