Saturday, December 13, 2008

SEJUK HATI MENDENGAR KENYATAAN ALI RUSTAM


TERKEJUT dengan kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datk Seri Mohd Ali Rustam, apabila membuka portal Mstar Online malam ini, yang memetik laporan Bernama beliau sebagai berkata, kerajaan negeri Melaka hari ini menarik balik arahan yang dikeluarkan April 2000 yang melarang semua kakitangan agensi kerajaan negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan.
Kenyataan itu sekali gus memperlihatkan bahawa suatu gencatan senjata diumumkan oleh ketua kerajaan negeri di perintah BN terhadap negeri di bawah pentadbiran Pas.
Ia amat disambut baik oleh rakyat kedua-dua negeri itu yang selama ini, sejak tahun 2000 diputuskan tali silaturahim oleh politik kepartian.Mungkin tidak ramai yang sedar adanya arahan seperti itu jika tiada laporan yang dikeluarkan oleh Bernama itu.
Sikap gentlemen yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Bandar Bersejarah Melaka itu amat dipuji kerana telah membuka minda kakitangan kerajaan negeri daripada kepompong fahaman sempit yang dipisahkan oleh pemerintah akibat perbezaan politik kepartian. Syabas diucapkan.
Apa yang lebih menarik perhatian lagi apabila Mohd Ali menyatakan larangan itu ditarik balik berikutan beliau berpuas hati dengan sikap pemimpin PAS yang tidak lagi menuduh anggota Umno sebagai tidak Islam.
"Bermula hari ini agensi kerajaan negeri Melaka boleh mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan tanpa sebarang masalah dan berpuas hati tidak ada lagi kenyataan orang Umno tidak Islam.
"Bukan itu sahaja Ketua Menteri Melaka sendiri telah datang ke sini hari ini, sebelum ini ada kita ada datang tetapi bukan atas nama kerajaan negeri tetapi parti," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Promosi Pelancongan Negeri Melaka di sini.
Tanpa mempersoalkan kenyataan itu ikhlas atau tidak, namun ia suatu petanda bahawa hubungan baik antara kedua-dua kerajaan negeri itu akan terjalin mulai detik ini, ketika kerajaan negeri Melaka mengadakan promosi pelancongan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Mungkin juga ramai yang mempersoalkan, jika tidak kerana kenyataan Ketua Menteri itu, ramai rakyat Melaka melawat negeri ini secara t dak rasmi sebagai pelancong terutama setiap kali musim cuti sekolah atau cuti hujung minggu sama ada secara rombongan atau individu. Kerana banyak bas yang berlambangkan logo dan plat pendaftaran negeri Melaka terletak di petak tempat letak kereta, terutama di hadapan Istana Balai Besar, Kota Bharu, satu-satunnya kawasan tumpuan pelancong kerana ia lebih dikenali sebagai zon budaya bagi negeri Kelantan.
Kawasan itu juga terletaknya bangunan bersejarah, seperti Istana Balai Besar sendiri, Masjid Negeri (Masjid Muhammadi), Muzium Diraja, Muzium Perang Dunia Kedua dan Bank Pitis. Sekitar lokasi ini merupakan produk pelancongan utama negeri ini selain Pantai Cahaya Bulan (PCB), Zon Perdagangan Bebas Cuki Pengkalan Kubur di Tumpat dan Rantau Panjang dan rumah berhala Tok Kong Tidur, duduk dan berdiri di sepanjang perjalanan di kedua-dua jajahan itu.
Baguslah, dalam soal mempromosikan produk pelancongan itu, kedua-dua negeri berkenaan mengepikan sentiment politik kepartian yang tidak menguntungkan. Sebaliknya sama-sama mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan kualiti dalam industri pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) yang diadakan Kerajaan Pusat setiap tahun.
Kita harap tidak tidak timbul isu sedikit masa dahulu di mana ada Menteri atau pemimpin politik Umno yang sengaja memberi gambaran buruk kepada rakyat luar Kelantan dan pelabur asing terhadap negeri ini supaya tidak datang ke Kelantan, kononnya ia mundur dan tiada kemajuan dan mengenakan syarat-syarat ketat kepada pelabur yang ingin menanam modal di negeri ini.
Isu ini sebenarnya timbul ketika kerajaan negeri mula mengambil alih teraju pentadbiran daripada BN selepas pilihan raya umum 1990.
Apa yang diharapkan isu-isu begini tidak akan berbangkit lagi apabila kedua-dua pihak kerajaan negeri itu masing-masing menghulur tanda menyambungkan silaturahim secara rasmi seperti yang dinyatakan Ketua Menteri Melaka itu. Agar ia nanti mampu menamatkan sengketa yang tidak berkesudahan walaupun di luar petak kempen pilihan raya.
Lagipun sikap Mohd Ali itu patut dipuji sesuai dengan kedudukannya sebagai calon jawatan nombor dua dalam Umno pada pemilihan parti Mac ini, yang sekali gus diharap mampu menjadi faktor penyumbang menyejutkan hati perwakilan dari Kelantan yang memang mempunyai semangat kenegerian walaupun fahaman politik berbeza.
TAMAT


No comments: