Monday, December 1, 2008

Sembang petang: "MPKB-BRI MUNGKIR JANJI"?

KETIKA saya dipanggil untuk menyertai majlis perbincangan mengenai kaedah pembayaran tunggakan cukai bandar atau cukai pintu Majlis Perbandaran Kota Bharu-Badaraya Islam (MPK-BRI) saya membuat akujanji untuk menjelaskan tunggakan bayaran itu secara ansuran.
Bagaimanapun, sebelum akujanji itu dibuat di hadapan sekurang-kurangnya 20 pasang mata terdiri ahli majlis mesyuarat dan pegawai kanannya, pihak berkenaan memberi jaminan akan menyediakan semua kemudahan yang dipohon oleh saya sebagai pembayar cukai.
Mereka memerhati rayuan dan hujah-hujah mengapa saya tidak membayar cukai bandar mengikut sewajarnya menyebabkan ia tertunggak bebarapa tahun yang berjumlah kira-kira RM2,000.
Secara emosi saya menjawab kerana manusia ini bergantung kepada mood untuk menunaikan tanggungjawabnya memandangkan MPKB-BRI tidak menyediakan kemudahan sewajarnya kepada saya dan kami yang tinggal di kawasan pinggir bandar, yang terpaksa membayar cukai sebagai penduduk lain yang menikmati kemudahan secukupnya. Saya berigui, apakah patut saya membayar cukai sedangkan saya tidak mendapat kemudahan yang sepatutnya disediakan oleh pihak berkuasa kerajaan tempatan itu, seperti sistem mengangkut sampah, perparitan, lampu dan jalan.
Adalah dirasakan tidak adil jika kita yang tinggal di kawasan pinggir bandar dinafikan hak untuk menikmati kemudahan itu berbanding mereka yang tinggal di kawasan bandar, terutama di kawasan jalan protokol, juga terpaksa membayar cukai sbagaimana mereka yang tinggal di pusat bandar.
Sekali fakir, apakah kita menolong membayar cukai bagi pihak penduduk yang tinggal di pusat bandar setiap tahun sdangkan kita tidak dapat menikmati kemudahan itu?
Itulah yang menyebabkan saya memberi alasan “tak ada mood” untuk menjelaskan bayaran cukai bandar menyebabkan ia tertunggak beberapa tahun.
Pada majlis perbincangan itu, saya secara emosi mempersoalkan kepada ahli majlis mesyuarat MPKB-BRI yang hadir hari itu, apakah pihak berkenaan tida ketemui sepotong ayat al-Quran atau hadis yang menggalakkan pemilik premis bangunan di kawasan bandar menjelaskan cukai bandar atau cukai pintu, sebagai kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB) memetik sepotong ayat dari surat Al-Baqarah bahawa “Hutang Wajib Dibayar Walaupun tidak dituntut”.
Tujuan saya membangkit isu itu supaya pihak pengguna/penghuni dan pihak MPKB-BRI masing-masing bertanggungjawab sebelum menuntut hak masing-masing. Mereka tidak boleh membuat tuntutan sebelah pihak saja tanpa mengambil kira pihak yang kena tuntut.
Sebenarnya rayuan saya supaya MPKB-BRI menyediakan kemudahan secukupnya kepada penduduk pernah dibuat beberapa kali sama ada melalui surat atas nama individu dan secara berkumpulan, tetapi sehingga ini belum ditunaikan.
Malah, saya sudahpun membayar wang pendahuluan RM1,000 kepada MPKB sebelum mendapat sijil CF sebagai sumbangan pemilik premis untuk membiayai pembinaan longkang untuk mengalirkan air ke longkang besar bagi mengelakkan banjir kilat. Namun longkang atau parit yang dimaksudkan belum dibina hingga hari ini walaupun rumah saya kini berusia lebih 15 tahun.

Saya membangkitkan perkara itu kepada 20 pasang mata ahli majlis yang menyertai majlis perbincangan di Dewan Bunga Raya Kompleks MPKB-BRI hari itu.
Untuk menunjukkan kesungguhan pihaknya melayani kehendak pelanggan atau pemilik kediaman, seorang ahli majlis terus mengarahkan pegawai yang bertugas di bagian infrustru ktur meninjau keadaan apa yang didakwa oleh saya bahawa tidak ada kemudahan secukupnya di kawasan saya itu. Malah, pegawai terbabit meminta saya menunjukkan kawasan dimaksudkan ketika saya masih berada di kompleks MPKB hari itu.
Tetapi malangnya, sehingga hari ini kemudahan yang dijanjikan tidak lagi disediakan menyebabkan saya sekali lagi gagal mematuhi akujanji dan membayar cukai Bandar secara ansuran. Saya hanya mampu membayar selama dua bulan berturut-turut.

Saya hendak lihat sampai bila MPKB mahu menyediakan kemudahan yang sepatutnya ada di kawasan itu untuk kemudahan kami nikmati sebagai mana pembayar cukai lain. Saya berazam dalam hati, selagi pihak berkenaan gagal memenuhi tuntutan saya sebagai warga kota yang patut menikmati kemudahan tinggal dalam kawasan bandar, selama itulah saya tidak akan memenuhi akujanji yang saya tandatangani ketika rundingan membayar cukai secara ansuran itu. Ini kerana pihak berkuasa tempatan itu sengaja mungkir janji, yang hanya bersikap olok-olok cakna kepada warga kota pembayar cukai ketika kempen memungut cukai dilaksanakan di kawasan itu, sedangkan mereka mungkir janji. Malah MPKB-BRI sendiri sepatutnya turut menandatangani surat akujanji sebelum penghuni berbuat demikian, jangan hanya sebelah pihak saja berbuat demikian, kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
Dalam hati saya tertanya-tanya apakah hukumnya orang yang memungkiri janji? Justeru saya berpendapat dan berpegang kepada peribahasa orang tua-tua bahawa jika lembu berpegang pada tali, manusia berpegang kepada janji. Saya cuba mengubaisuai peribahasa itu, bahawa jika lembu berpegang pada tali, maka manusia atau orang Islam berpegang kepada imam, kerana janji kini jarang boleh dipegang, ramai manusia yang bergelar Islam tidak tepat dengan janjinya.

Prinsip itu saya bersandarkan kepada kenyataan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat (MB Kelantan) bahawa tidak semua orang Islam itu beriman atau mukmin. Ramai umat Islam yang bersembahyang sehingga hitam dahi, tetapi tidak istiqamah dengan imannya.
Sebagai sebuah agensi kerajaan yang mempunyai Bahagian Pembangunan Agama Islamnya sendiri, pihak berkenaan harus mengambil iktibar di sebalik apa yang menjadi keluhan dan luahan rasa warga bandar dalam menangani isu tunggakan cukai yang membebankan kedua-dua pihak sesuai dengan piagam pelanggan yang diuar-uarkannya. TAMAT

No comments: