Thursday, December 18, 2008

PEMANDU BERHATI MULIA


SEWAKTU dalam perjalanan pulang dari pejabat, penulis terpegum apabila terpandang seorang pemandu kereta membuang pasu bunga yang pecah di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultanah Zainab/Jalan Hamzah, Kota Bharu, tanpa menghiraukan orang ramai dan pemandu lain yang turut memerhatikannya.
Sambil memasang lampu isyarat kecemasan hazard, pemandu berusia dalam lingkungan 30-an itu tunduk bengah beberapa kali untuk mencampakkan sisa-sisa pecahan pasu bunga tembikai itu ke atas pembahagi jalan bagi mengelakkan ia dirempuh atau dilanggar oleh kenderaan lain. Bagaimanapun, ketika itu lampu isyarat merah tanda arahan berhenti bagi laluannya.
Pasu bunga itu dipercayai terjatuh daripada lori atau apa-apa kenderaan yang membawanya. Sama ada pemandu berkenaan bebuat demikian bagi melancarkan perjalanannya yang dihalang oleh pecahan pasu bunga itu atau sengaja mengambil sikap tanggungjawab sosial kepada masyarakat, penulis tidak pasti. Yang jelas tindakan pemandu itu adalah baik dan amalan yang dituntut oleh agama.
Penulis terfikir, kalau sekadar untuk melepaskan dia melalui jalan yang dihalang oleh pecahan pasu bunga itu, dia boleh mengelakkan dengan mengambil sedikit lencongan, walaupun menggangu kelancaran perjalanan kenderaan lain.
Sedangkan beliau kelihatan berhempas pulas tunduk bangun untuk membuang sisa-sisa pecahan tembikai pasu bunga itu bersekali dengan tanah dan akar bunga. Kebetulannya ketika itu api isyarat merah tanda kenderaan dari searah dengannya dilarang bergerak.
Sikap seperti ini memang jarang dilihat, terutama di Bandar-bandar besar, kerana masing-masing tidak bertanggungjawab dan menyerahkan tugas itu kepada pihak berwajib, iaitu pihak berkuasa kerajaan tempatan atau Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) jika di Bandar Kota Bharu.
Penulis melihat perbuatan pemandu itu secara positif, yang boleh digelar sebagai pemandu berhemah dan berhati mulia yang sanggup mengambil tanggungjawab pihak berkenaan apabila melihat sesuatu masalah untuk kepentingan umum. Kita beranggapan tidak ramai pemandu yang sanggup berbuat demikian, apatah lagi kalau pemandu berkenaan dalam berpakaian kerja di pejabat dan memandu kereta berjenama.
Penulis dapat bayangkan kalau beginilah sikap rakyat kita, akan tercapailah hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat berharmoni dan mesra alam seperti yang disarankan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat dan Kementerian Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar. Bagi pihak masyarakat umum, penulis menghadiahkan sekalung bunga penghargaan dan ucapan tahniah di atas keikhlasan hatinya, semuga Tuhan membalasnya.
TAMAT

No comments: