Thursday, December 4, 2008

PEMILIHAN CALON PAS: HARAP TIADA PERTEMBUNGAN



WALAUPUN Pas belum membuat kenyataan rasmi mengenai calon yang akan bertanding dalam pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu, namun kenyataan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, adalah petunjuak awal ke arah pemilihan calon Pasn sebenar yang bakal diletakkan di kawasan itu.
Nik Aziz dalam kenyataannya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kota Darulnaim, hari ini (3 Disember) awal-awal lagi membayangkan hasratnya untuk meletakkan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai calon dalam pilihan raya buat kali kedua selepas tewas pada pilihan raya umum ke-12 lalu, menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail.
Katanya, secara peribadi beliau mahukan Mohamad Sabu dipilih sekali lagi sebagai calon kawasan itu.
“Memandang Mohamad telah bertanding dalam pilihan raya umum baru-baru ini, tidak ada sebab untuk tidak mencalonkannya sekali lagi dalam pilihan raya kecil kali ini.
“Kalau boleh saya nak begitu (kekal calon) sebab di Parlimen kena ada orang seperti Mohamad Sabu kerana lidah lantang, isu yang ditonjolnya bukan dibuat-buat, tapi reality.
Beliau mengakui, walaupun beliau sudah lama menjadi penceramah, tetapi lidahnya tidak sehebat Mohamad Sabu, ini berlaku kerana manusia mempunyai kelebihan masing-masing.
“Saya ada cara saya sendiri, tapi di Parlimen ni baik ada Mat Sabu,” katanya yang dipetik Harakah Daily petang ini.
Walaupun kenyataan Nik Aziz itu lahir dari isi hatinya secara peribadi, tetapi itu suatu petunjuk kepada parti itu dalam membuat pemilihan dan keputusan adalah terletak di tangan pucuk pimpinan parti.
Apa yang diharapkan ianya tidak menimbulkan pertembungan pendapat antara pemimpin walaupun pucuk pimpinan parti mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pemilihan.
Yang jelas, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang harus membuat pertimbangan adil dalam hal ini, walaupun saranan Nik Aziz itu sebagai pendapat peribadinya ia adalah keluar dari mulut Musrsyidul Am sendiri yang wajar dihormati.
Nik Aziz juga mengakui bahawa itu adalah cadangan beliau, Pas Pusat belum lagi bermesyuarat dalam memutuskan perkara itu.
“Itu (cadangan memilih Mohamad Sabu) hanya pandangan peribadi saya, keputusan hanya ditentukan dalam mesyuarat Pas Pusat nanti,” katanya.
Dalam hubungan ini, Pas harus mengambil kira dalam banyak perkara, bukan saja populariti calon itu sendiri, tetapi mood pengundi berdasarkan keadaan semasa. Apakah calon itu mampu menarik pengundi dalam pilihan raya kecil kali ini berbanding pilihan raya umum lalu yang menyaksikan calon BN, Allahyarham Datuk Razali memperolehi kelebihan undi 628 sahaja mengalahkan Mohamad Sabu yang mendapat 31,934 undi dan calon bebas, Maimun Yusoff (685 undi).
Pada pilihan raya itu, Razali yang memperolehi 32,562 undi dilantik Timbalan Menteri Pel;ajaran adalah penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu setelah memenangi pilihan raya umum 2004.
Umum mengetahui, dalam pemilihan calon ini, Umno atau BN menghadapi masalah yang sama untuk menentukannya, kerana mereka mempunyai petunjuk-petunjuk sendiri, sama ada daripada bahagian, Badan Perhubungan Umno Negeri dan Pusat.
Berdasarkan kenyataan Sdr Sayuti Omar dalam bloknya, antara nama yang disebut-sebut sebagai calon dalam pilihan raya kecil Parlimen itu nanti selain Mohamad Sabu ialah Syed Azman Syed Ahmad, seorang tokoh muda Pas.
Persoalan timbul apakah PKR bersetuju memberi laluan kepada Pas untuk meletakkan calonnya, sedangkan parti itu juga mempunyai pengaruh yang tidak kurang kuatnya di kawasan Parlimen itu.
Bagaimanapun, daripada kenyataan Setiausaha Agung Keadilan, Azmin Ali, awal-awal lagi menyatakan pihaknya tidak akan meletakkan calon dari parti itu, sebaliknya menyerahkan kawasan itu kepada Pas.
Justeru, apa sahaja kaedah untuk memenangi kawasan berkenaan, parti gabungan dalam Pakatan Rakyat, terutama Pas dan PKR harus mencari pendekatan bersepadu dalam usaha berkempen bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu, yang akan menyaksikan semangat kesetiaan kawan yang jitu.
Bagi BN pula, sekurang-kurangnya ada dua calon yang disebut-sebut bakal diletakkan untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu, iaitu Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu sendiri, merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan pilihan kedua Bendahari Umno Negeri, Datuk Roslan Awang Chik.
Apapun, keputusan sebenar calon BN hanya akan ditentukan dalam mesyuarat Pengurusan atas persetujuan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat ini.
Ia terpulang kepada kebijaksanaan percaturan politik yang bakal dibuat oleh kedua-dua parti yang disifatkan sebarang akrab dalam Pakatan Rakyat itu.TAMAT

No comments: