Saturday, December 13, 2008

Siapa makan cili: KERENAH BIROKRASI PUNCA BAYARAN KERAJAAN LAMBAT


SEWAKTU bersungut mengenai bayaran bagi suatu projek yang dijalankan atas nama sebuah agensi kerajaan negeri, seorang teman memberi jawapan selamba “Biasalah duit kerajaan, lambat dapat. Entah bila, LO saya bulan April dulupun belum keluar semetelah cek bayarannya….”.
Berdasarkan jawapan selamba teman peniaga itu tadi, ternyatalah apa yang dikatakan ramai bahawa setiap bayaran untuk kerja-kerja projek sama ada secara kontrak atau rundingan atas nama kerajaan lambat untuk diselesaikan.
Pendek kata, kalau si pekerja itu tidak ada pendapatan sampingan lain akan mati kebuluran untuk menunggu bayaran daripada pihak berkenaan.
Kelambatan inilah mungkin yang menyebabkan sesetengah pekerja atau penerima kontrak sengaja meletakkan harga atau sebut harga (kotesyen) tinggi terhadap satu-satu kerja yang diperolehi daripada kerajaan.
Kita sebagai pengguna harus mencari jawapan apakah isu atau perkara ini tidak boleh diatasi. Apakah kita terpaksa menerima jawapan seperti itu “Biasalah kalau duit kerajaan. Lambat…”.
Kita harus tanya apakah kerajaan tidak mempunyai kakitangan untuk menguruskan pembayaran itu cepat, sebagaimana kaedah pembayaran yang dibuat oleh pihak swasta atau syarikat individu lain. Misalnya, hari ini kita tuntut, esok atau lusa kita akan dapat bayarannya.
Apakah ini kerenah birokrasi kakitangan kerajaan yang tidak boleh diatasi atau memang sengaja kerajaan mencari alasan untuk melambat-lambatkan sesuatu bayaran itu.
Bagi saya, isu kelambatan bayaran cek atau tunai daripada kerajaan inilah menjadi faktor penyumbang utama menyebabkan ramai kontraktor atau mereka yang berurusan dengan agensi kerajaan meletakkan harga yang tinggi sebagai `denda’ kelambatan pihak berkenaan menjelaskan bayaran.
Saya pernah terdengar, ada pihak kontraktor sengaja buat muka manis atau buat baik dengan pegawai atau kerani yang menjaga LO dan membuat bayaran, dengan berbelanja makan dan minum dengan harapan supaya tuntutan mereka dapat dipercepat dan dipermudahkan. Bukankah ini tidak dinamakan “rasuah”? Dan bukankah amalan rasuah itu diharamkan oleh Islam sama ada penerima atau pemberi, sama-sama berdosa.
Ketika berbaik-baik dengan seorang kakitangan TNB dahulu, saya diberitahu bahawa dia pernah menerima beribu-ribu ringgit wang daripada pihak kontraktor yang mengendalikan kerja-kerja kontrak supaya meluluskan kerja-kerja mereka.
Inilah antara pendapatan sampingan yang mereka terima selain gaji yang diterima daripada majikan setiap bulan. “Sebab itu boleh kahwin dua, pakai kereta dua dan rumah sewa dua. Kalau tidak mana boleh hidup di Kota Raya ni beb, sebab itu ada orang kata, sejahat-jahat ibu tiri, jahat lagi bila kita berada di ibu kota!”, kata teman baru yang dikenali ketika sama-sama bertugas di ibu kota kira-kira enam tahun lalu.
Hati kecil penulis berdetik, sampai bilakah unsur-unsur ini dapat dihapuskan dalam amalan harian masyarakat kita bernama Melayu dan Islam ini. Tidak adakah makanisma atau formula yang boleh digunakan dan mampu menangani permasalahan ini?
Bagi penerima sogokan wang daripada sumber yang tidak halal ini patut sedar bahawa hasil yang mereka dapat untuk disuapkan kepada anak isteri dan keluarga tidak akan menjadi darah daging kerana dikutuk oleh malaikat ‘atid’ yang menulis setiap amalan jahat seseorang untuk dihisab di padang mahsyar kelak.
TAMAT

No comments: