Sunday, November 30, 2008

PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN KUALA TERENGGANU UJI SEMANGAT UMNO DAN KEKUATAN PAS




WALAUPUN gendang belum dipalu oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) sebagai tanda pengisytiharan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, namun suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan dalam tempoh 60 hari berkuatkuasa semalam (29 November 2008) kedua-dua parti, Umno dan Pas akan berentap sekali lagi dalam satu pilihan raya.
Ini berikutan kematian Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Razali Ismail selepas terjatuh ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IMB), Genting Highland, semalam.
Yang jelas pilihan raya itu akan menguji semangat Umno dan kekuatan Pas selepas mereka menghadapi pertarungan sengit pada pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) Mac lalu.
Penulis sengaja memberi contoh kedua-dua parti itu saja, iaitu Umno dan Pas, kerana jika adapun calon parti lain yang bertanding, ia dianggap tidak semeriah kedua-dua “musuh tradisi” itu.
Apa tidaknnya, pilihan raya itu akan menyaksikan sama ada Umno atau BN masih dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu, manakala Pas pula mampu membolosi kubu pertahanan itu.
Kenyataan itu ada asasnya kerana ketika ini Umno sedang menghadapi kemelut dalaman parti yang hebat di saat-saat tempoh peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak menjelang Mac depan dan pada masa sama perhimpunan agung parti.
Manakala Pas pula dilihat akan mengukur kekuatannya selepas pilihan raya umum lalu, berikutan mengalami kekalahan tipis di tangan BN.
Penulis tidak mengambil kira kedudukan pengundi kawasan itu bagi membuat ramalan tentang peluang kemenangan parti yang bertanding kerana ia perlu kepada penelitian terperinci.
Apapun yang jelas, pada PRU lalu calon BN, Allahyarham Razali memperoleh 628 majoriti undi mengalahkan pencabar terdekatnya, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu. Pada pilihahan raya itu, Allahyarham Razali mendapat 32,562 undi, manakala Mohamad mendapat 31,934 undi, dan calon bebas pula 685 undi.
Tanpa mempersoalkan siapa calon, pilihan raya kecil kali ini menjadi lebih sengit, terutama apabila melihat inilah pilihan raya lecil pertama selepas pilihan raya umum lalu, walaupun ada beberapa wakil rakyat meninggal dunia sebelum itu.
Ini kerana Pas hanya memerlukan lebih 600 undi saja lagi bagi membolehkannya merebut kawasan itu, manakala BN atau Umno pula dilihat hanya memerlukan mengawal jumlah pengundi yang sama untuk mempertahankan kawasan itu daripada dirampas Pas.
Persoalannya, mampukah kedua-dua parti berkenaan merialisasikan hasrat dan cita-cita masing-masing dalam menghadapi pertarungan sengit dan mencabar ini?
Perhitungan atas kertas tidak mampu mempengaruhi mana-mana pihak dalam menjawab persoalan itu tanpa berasaskan kepada perhitungan amali atau tindakan secara nyata dan jelas.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussain dalam kenyataan awalnya semalam meletakkan keyakinan kepada rakyat dalam menentukan pemilihan pada pilihan raya kecil nanti.
Beliau yakin rakyat di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dapat mengenang jasa dan pengorbanannya (Razali).
“Kita kena cari calon yang sama caliber dan dapat mengekalkan kerusi itu kepada calon BN,” katanya yang mengetahui berita kematian timbalannya itu kira-kira 15 minit selepas Razali disahkan meninggal dunia.
Hishamuddin tidak menyentuh banyak mengenai calon yang bakal diletakkan di kawasan itu dan mungkin menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan selepas Majlis Tertinggi Umno bermesyuarat nanti.
Pihak Pas juga mungkin belum dapat menentukan lagi siapa bakal calon yang akan bertanding di kawasan itu, sama ada mengekalkan calon lama, Mohamad Sabu yang tewas di tanhgan Razali pada pilihan raya umum lalu atau meletakkan muka baru. Ini bergantung keputusan mesyuarat peringkat tertinggi parti dalam tempoh terdekat ini.
Mungkin tidak pelik bagi parti pembangkang itu untuk membuat keputusan, memandangkan presidenya sendiri berasal dari Terengganu dan menjadi Pesuruhjaya Pas Terengganu, tentunya lebih ariff mengenai situasi dan keadaan sebenar citarasa rakyat negeri itu dalam memilih calon.
Dalam hal ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mengambil kira soal semangat kenegerian dalam menentukan calon, kerana parti itu lebih mengutamakan penyatuan dan pengukuhan dalam parti daripada faktor lain yang tidak menguntungkan parti.
Yang penting mereka akan memastikan mampu membolosi kubu BN yang disandangnya dalam pilihan raya umum lalu dan sekali gus menentukan kekuatannya.
Bagi Umno atau BN pula akan sedaya mungkin mempertahankan kekuatannya sama ada mampu mengekalkan kedudukan dalam saat mereka menghadapi pelbagai masalah dalaman menjelang perhimpunan agung parti Mac depan sekali gus mempertahankan imejnya kepada masyarakat umum.
Justeru, tidak keterlaluan jika pilihan raya kecil kali ini dianggap sebagai kayu pengukur untuk menentukan maruah parti yang bertanding. TAMAT







No comments: