Sunday, November 16, 2008

Sembang-sembang: BAHANA APABILA SISTEM BROADBAND CELCOM BUAT HAL…

SEJAK dua hari lalu saya seperti kucing jatuh anak yang baru dilahirkan apabila tidak dapat melayari internet menerusi komputer riba menggunakan sistem pengaksesan tanpa wayer atau broadbank Celcom yang menghadapi masalah networknya.
Banyak idea yang hendak dimuatkan untuk berkongsi matlumat dengan pengunjung dalam laman blog saya terbantut akibat gangguan itu. Pendek kata kalau seorang peniaga, saya telah mengalami kerugian beribu-ribu ringgit kerana masalah itu.
Walaupun ada sistem pengaksesan internet menggunakan perkhidmatan wi-fi percuma di sesetangah lokasi di Kota Bharu, tidak mungkin saya terpaksa menumpang di lokasi itu setiap kali ingin menulis atau melontarkan idea menerusi laman blog saya.
Ada dua faktor yang menyebabkan saya sakit hati terhadap Celcom akibat masalah itu; pertama tidak boleh menggunakan perkhidmatannya dengan lancar walaupun sewa bulanannya terpaksa dibayar mengikut pakej yang disediakan; kedua, menjejaskan hubungan saya dengan dunia luar, kerana internetlah satu-satunya alat perhubungan saya dengan rakan-rakan yang berada di luar kawasan.
Di sini timbul krisis kepercayaan saya sebagai pencandu internet terhadap perkhidmatan broadband Celcom ini dan jika masalah ini berterusan ia boleh menyebabkan pelanggannya berpaling tadah kepada perkhidmatan lain yang lebih efisyen, yang dikendalikan syarikat telekomunikasi lain, seperti TM, MAXIS dan sebagainya. Tidak tahulah pendapat orang lain, itu pandangan pribadi saya yang sentiasa mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada pengendali perkhidmatan broadband itu. Bagaimanapun, jika masalah ini berterusan, saya tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku.
Sudah beberapa kali saya cuba menghubungi pusat perkhidmatan careline bertanyakan masalah itu. Hari pertama pihak berkenaan menjawab masalah itu dijangka dapat dipulihkan jam 3 petang. Selepas jam 3 saya menghubungi lagi sekali setelah iannya belum dipulihkan pihak berkenaan menjawab jam 6 petang hari yang sama dijangka dapat dipulihkan. Selapas dijanjikan, saya terus mencuba beberapa kali, namun perkhidmatan masih haprak. Kali ketiga saya bertanya pihak berkenaan yang menjawab ia dijangka pulih jam 10 malam itu, tetapi setelah mencuba jam 12 tengah malam ia masih belum boleh digunakan. Habis-habis saya hanya mampu mendengar jawapan daripada suara jawapan otomatik dari perkhidmatan careline (1111) melalui telefon celular sama ada perkhidmatan broadband Celcom itu dapat berfungsi atau tidak. Saya mula berasa bosan untuk menghubungi careline, tidak sanggup bercakap secara terus dengan operator perkhidmatan pelanggan yang begitu sopan melayan panggilan. Saya sudah berasa bosan melayan kerenah berokrasi sebelum mereka menjawab pertanyaan dengan meminta disahkan maklumat pemanggil, seperti nama, nombor telefon dan sebagainya. Dalam jawapan suara otomatik itu menyebut kemungkinan percakapan pemanggil akan dirakamkan untuk tujuan peningkatan perkhidmatan. Tetapi saya terfikir, sampai bila mutu perkhidmatan dapat dipertingkatkan jika panggilan yang dibuat beberapa kali namun menerima jawapan yang sama. Mungkin bukan saya seorang yang menghubungi pihak berkenaan dan menerima nasib yang sama.
Harap pihak berkenaan dapat memperbaiki perhidmatan itu secara sungguh-sungguh, bukan sekadar menjawab lepas batuk di tangga sahaja. Ini kerana, untuk memberi perkhidmatan yang baik bukan pada kata-kata dan janji manis pada slogan dan cogan kata sahaja, tetapi tidak pada pelaksanaannya.
TAMAT

No comments: