Monday, November 10, 2008

SEMBANG PAGI: SURAU HANYA UNTUK ORANG PENCEN?

SELAMA dua hari bertandang ke rumah anak saudara di USJ5 Subang Jaya, banyak memberi pengalaman dan kesedaran bagi saya yang kian melangkah ke kategori warga mas selepas empat tahun bergelar ayam pencen.
Pengalaman dan pengajaran yang nyata ialah apabila saya menunaikan solat Subuh dua hari berturut-turut di Surau Al Hidayah bersama hanya lima ahli jemaah, terdiri daripada imam, bilal, seorang lagi yang tidak dikenali , saya dan suami kepada anak saudara saya, bekas pegawai kanan kerajaan yang kebetulan telah bersara wajib 15 tahun lalu.
Tidak ada seorangpun jemaah wanita yang turut bersolat Subuh, walaupun ruang solat wanita luas hampir meyamai keluasan ruang solat lelaki.
Surau itu sebenarnya lengkap dengan kemudahan peralatan canggih, seperti pendingin hawa, permaidani, alat pembesar suara, kipas dan beberapa papan kenyataan putih untuk catatan aktiviti surau yang terletak berhadapan rumah anak buah saya itu.
Apa yang terdetik disanubari saya ialah walau secanggih manapun sesbuah surau itu, namun jika tidak diamarahkan maka ia seolah-olah tidak berfungsi sebagai rumah ibadat untuk orang Islam.
Saya difahamkan bangunan surau itu diwakafkan oleh pamaju perumahan di situ, manakala peralatannya yang disebutkan tadi, didermakan oleh penghuni perumahan yang kebanyakannya terdiri daripada bekas pegawai tinggi kerajaan dan swasta atau individu yang pemurah.
Saya juga difahamkan, surau itu tidak aktif untuk solat berjemaah selain Subuh, kerana ketika waktu lain mungkin penghuninya berada di tempat kerja masing-masing.
Apa yang menghairankan saya, walaupun penghuni kawasan perumahan itu terdiri ramai orang Islam, tetapi hanya beberapa orang sahaja yang berjemaah ada waktu Subuh.
Pada benak saya terlintas bahawa benarlah kata-kata sesetengah orang bahawa surau dan masjid adalah tempat orang-orang pencen.
Mungin keadaan itu berbeza dengan suasana di kampung-kampung di mana ramai kalangan anak muda menjadi ahli jemaah, lagipun ada galakan daripada pihak kerajaan yang mewujudkan pelbagai program untuk mendekatkan anak-anak muda atau remaja dengan masjid, seperti menerusi program rakan masjid, usrah anjuran belia, parti politik dan NGO.
Ini perlu bagi mengelakkan masjid yang dibina dengan kos bernilai beratus ribu dan berjuta-juta ringgit menjadi gajah putih atau bahan hiasan untuk tontonan umum.
TAMAT

No comments: