Sunday, November 9, 2008

KENYATAAN TERBARU PAK LAH MENCUIT PERASAAN


KENYATAAN terbaru, Pak Lah bahawa Umno tidak akan menjadi sebuah parti yang Berjaya dalam perjuangannya jika pemimpinnya tidak dibarisi pemimpin yang ikhlas, berwibawa dan berintegriti mencuit hati penulis.
Itulah hakikat sebenar kedudukan Umno hari ini dan kenyataan Pak Lah itu jika tidak diambil indah, dilihat ia akan merosakkan masa depan parti itu sendiri.
Persoalannya alangkah eloknya jika kenyataan ini dikeluarkan dan dihayati oleh ahli Umno sebelum kedudukan parti itu tercalar dan dicemari oleh gelodak politik dan krisis keyakinan kepimpinan parti s elepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.
Sekarang nasi sudah menjadi bubur, semuannya sudah terlambat dan segala pekikan Pak Lah mungkin tidak didengari lagi oleh ahli Umno yang pekak dek gendang dan nobat yang dipalu oleh pengikutnya sebagai mengiringi turunnya Pak Lah dari takhta kepimpinan Umno menjelang peralihan kuasa Mac depan, genap setahun selepas pilihan raya umum itu.
Kenyataan Pak Lah itu mencerminkan kenyataan seorang yang bermuhasabah diri dan sedar terhadap kesilapan yang lalu.
Sebagai ahli Umno yang insaf dan setia, iannya masih belum terlambat untuk mereka membaiki segala kesilapan itu, kerana ibarat kata orang jika sesat di hujung jalan, kenalah balik ke pangkal jalan. Bagi mereka yang insaf harus menerima kakikat ini, kerana laut mana yang tidak bergelombang dan bumi mana yang tidak ditimpa hujan.
Kata-kata Pak Lah bahawa Umno tidak akan menikmati kejayaan dalam perjuangannya jika pemimpinnya terdiri daripada orang yang tidak ikhlas berjuang, integritinya dicurigai dan pribadinya yang lemah, lebih mahal dan berbisa daripada slogan di zaman kebangkitannya 2004 lalu iaitu “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”, yang terpampang di papan-papan tanda institusi-intitusi kerajaan dan sekolah.
Ambillah kata-kata Pak Lah dalam kenyataan terbaru itu sebagai azimat untuk kegunaan ahli Umno untuk masa depan orang Melayu dan anak cucu mereka. Jangan hanya kita asyik berpegang kepada kata-kata Melayu tak akan hilang di dunia, sedangan integriti orang Melayu sendiri dipersoalkan.
Di manakah letaknya kredibaliti orang Melayu jika mereka asyik bercakaran sesama sendiri akibat perebutan kuasa melalui jawatan dalam parti?
Alangkah malangnnya apabila kita mendengar kekecohan berlaku di sana sini dalam persidangan pemilihan parti sama ada di peringkat cawangan dan bahagian.
Sebelum ini kita hanya mendengar insiden ini berlaku di kalangan penyokong parti komponen dalam BN, seperti MIC dan MCA. Sekarang ini ia menjangkiti ahli parti yang menjadi tulang belakang pemerintah. Sungguh malang, Inilah yang dikatakan orang bukan salah ibu yang mengandung, tetapi salah nasib menimpa diri.
Kita tidak mahu menjadi nasib Pak Kadok dalam hikayat Melayu lama apabila ayamnya kalah dalam sabungan “Aduhai malangnya nasib Pak Kadok, menang sorak kampong tergadai”. Kita tidak mahu nasib orang Melayu menjadi seperti nasib Pak Kadok yang malang itu.
TAMAT

No comments: