Friday, November 14, 2008

Sembang petang:DALAM KEPAHITAN ADA MANISNNYA…


DALAM kekalutan fikiran lantaran sedikit masalah keluarga, saya menerima berita yang mengembirakan apabila cita-cita saya untuk memiliki permit penerbitan akhbar sendiri akhirnnya tercapai.
Ini kerana , surat yang menyatakan kelulusan permohonan bersekali dengan sijilnya sampai di rumah ketika saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menziarah keluarga.
Berita gembira itu disampaikan anak bongsu saya yang sedang menghadapi peperiksaan SPM tahun ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab (1) Kota Bharu.
Bukan mahu banggakan diri atau angkat ekor. Anak bongsu saya itu sebenarnya salah seorang top ten dalam kelasnya dan setiap kali peperiksaan dalam kelas dan percubaan dia selalu mendapat madel dari Pengetua.
Sebaik menerima berita menggembirakan itu, hati saya berdetik mahu bertindak sesuatu sebagai tanda kesyukuran di atas kejayaan saya mendapat permit penerbitan akhbar itu.
Tindakan pertama saya ialah berpuasa sunat sehari sebagai tanda kesyukuran terhadap kejayaan itu.
Saya berfikir, kejayaan ini mungkin berkat dari usaha dan doa ikhlas saya untuk mendpatkan permit sendiri akibat dianiayai oleh keadaan ketika bekerja dengan sebuah syarikat penerbitan akhbar mingguan yang menamatkan perkhidmatan semua kakitangannya termasuk saya kerana menghadapi krisis dengan pemilik permit akhbar berkenaan.
Selepas itu secara senyap-senyap saya berazam untuk membuka syarikat penerbitan dan memiliki permit sendiri di samping sentiasa berdoa terutama ketika beribadah sepanjang bulan Ramadhan lalu, paling terasa taqarrub dengan Allah ialah pada malam ke-27, iaitu malam yang disebut-sebut malaikat yang membawa rahmat Malam Lailatul Qadr akan turun.
Sayapun hairan, dalam mana saya tidak begitu tergolong sebagai orang yang kuat beribadah sebelum ini, tiba-tiba menjadi berubah apabila tibanya bulan Ramadhan tahun ini. Ini jelas berbeza apabila setiap malam saya penuhi ibadah dengan menunaikan solat berjemaah dan solat sunat Terawih di samping khusyuk berdoa sambil menangis sehingga ke malam akhir Ramadhan.
Perbezaan yang agak ketara pada Ramadhan tahun ini ialah saya bermurah hati untuk menolong kerajaan negeri secara sukarela menerusi MPKB-BRI dengan membuat buletin sempena program Ihya’ Ramadhan yang dikendalikan majlis perbandaran itu dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK).
Saya sendiri mengambil gambar dan menulis bahan-bahan dalam buletin yang dinamakan “Buletin Qaryah Ramadhan” 12 muka surat itu.
Apa yang saya dapat rasai nikmat menyiapkan bulletin dan solat sunat terawih di Qaryah Ramadhan itu ialah dapat berjemaah dengan dua imam yang dibawa khas dari Mesir, menyebabkan saya begitu khusyuk mengerjakan solat di situ.
Malah saya sanggup bangun jam 3 pagi untuk berjemaah Qiamullail berimamkan warga Mesir itu sehingga ke malam ke-27 Ramadhan itu.
Saya begitu terasa nikmat beribadah sepanjang malam di Qaryah itu seolah-olah saya bersolat di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Mungkin saya mendapat hidayah iman yang melimpah ruah. Jiwa menjadi tenteram dan hati menjadi tenang walaupun saya dalam keadaan apa yang dikatakan dalam permasalahan keluarga.
Lebih membanggakan lagi, apabila saya berbincang mengenai agama dengan pendakwah bebas terkenal di Lembah Klang, Dr Abdullah Yasin, ketika beliau mengadakan majlis ilmunya di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), Kuala Lumpur (kebetulan ketika menziarah keluarga hari itu).
Beliau berpendapat di antara nikmat yang diperolehi oleh orang-orang beriman ialah mendapat limpahan rahmat iman kesan daripada Malam Lailatul Qadr. Beliau menyifatkan, perubahan yang berlaku ke atas saya sebagai limpahan dari Rahmat malam yang dikatakan lebih baik daripada 1,000 malam itu. Allahu Akbar. Sekali lagi saya mengucap syukur sambil bulu roma saya tegak berdiri seolah-olah sentuhan malaikat pembawa rahmat malam itu. Ya Rabbi.

2 comments:

manzaidi said...

Tahniah saya ucapkan kepada Tuan. Inilah berkat orang yang benar dan teraniayai. Selalunya untuk melihat hasil yang berupa kebaikan memerlukan masa. Jadi, kesabaran adalah sebaik-baiknya langkah untuk kita melihat hasil itu. Tahniah sekali lagi. Selamat Maju Jaya sahabat.

Anonymous said...

Assalamualaikum, Haji. Tahniah di atas kejayaan mendapat permit ni. Kira saya pun senasib juga..selamat maju jaya.