Friday, November 14, 2008

“BASO AYAM GILA SSAKOK”


“Baso ayam gila ssakok(tabiat ayam gilakan sarang tempat bertelur walaupun sudah bertelur)", bentak seorang penyokong tegar sebuah parti pembangkang ketika bersembang mengenai suasana politik Umno semasa sebagai tanda memprotes sikap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kenyataannya sejak kebelakangan ini.
“Kenapa bila di luar gelanggang baru berkokok?” tanya rakannya yang sedang menikmati nasi berlauk pagi dan kopi o selepas kuliah subuh di sebuah surau hari itu.
Daripada nada perbualan mereka ternyata tidak puas hati dengan sikap bekas Perdana Menteri itu yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi suasana politik dalaman Umno dan negara.
Mereka juga menyifatkan kenyataan Mahathir seperti membuka pekung di dada sendiri, atau meludah ke langit merencik ke muka sendiri.
Mungkin ramai yang bersetuju dengan pendapat penyokong parti pembangkang itu yang tidak bersetuju dengan sikap bekas Perdana Menteri itu, seolah-olah menunjukkan beliaulah pemimpin yang bersih dalam segenap segi ketika merajui kepemimpinan negara.
Beliau harus faham, bahawa pemimpin Umno yang ada hari ini adalah golongan pelapis yang mewarisi kepimpinannya. Jika baik ditunjukkan sewaktu menerajui kepimpinan parti dan kerajaan dahulu, maka baiklah pemimpin pelapis yang diwarisinya. Sedangkan sikapnya sekarang, apabila beliau melepaskan jawatan dan berada di luar gelanggang baru Nampak segala keburukan dalam parti dan kerajaan.
Mungkin inilah ramai pemerhati politik berpendapat, kenyataan-kenyataan Mahathir cuba campur tangan dalam pentadbiran negara menjadi faktor penyumbang kepada kekalutan dalam politik dan negara sekarang.
“Lebih baik dia (Mahathir) diam lagi selamat,” kata seorang lagi penyokong parti pembangkang yang tegar dalam kumpulan itu.
Di sini, penulis dapat memahami bahawa suara-suara sumbang yang membenci sikap Mahathir bukan sahaja lahir dari penyokong Umno sendiri, malah oleh penyokong parti pembangkang.
Ini bermakna, kebencian mereka itu bukan atas sifat bersimpati kepada parti Umno, tetapi bersimpati kepada nasib politik orang Melayu yang bermusuhan sesama sendiri. Di manakah semangat kebangsaan dan ketuanan orang Melayu yang dilaung-laungkan pemimpinnya selama ini jika semangat ini tidak dipertahankan?
Nabib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga calon Timbalan Presiden dalam kenyatannya semalam menyatakan beliau malu dengan kenyataan Mahathir bahawa pemimpin Umno yang terbabit dalam politik wang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ini kerana, kenyataan bekas Perdana Menteri itu bermakna beliau kecewa tentang apa yang berlaku dalam Umno dari kempen yang dijalankan dan amalan politik wang.
“Saya tak nak bercakap banyak pasal tu sebab saya berasa malu pasal mendedahkan kelemahan parti saya sendiri hingga media berasa "megah" melaporkan hal-hal yang tidak baik bagi parti saya," katanya dipetik daripada laporan Bernama hari ini.
Terdahulu itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengingatkan Mahathir supaya jangan celupar membuat kenyataan berhubung tuduhan isu rasuah di kalangan calon yang bertanding dalam pemilihan parti Mac depan.
Menurut Nazri, tuduhan guna duit,adalah tuduhan yang serius dan tuduhan mengatakan seorang calon yang hendak bertanding terlibat dalam rasuah adalah serius.
Bagi penulis orang Melayu tidak harus bangga jika mereka menang sorak kerana ramai penyokongnya, sedangkan semangat perjuangan dan negerinya masih dijajah.
Mereka jangan jadi seperti dalam hikayat Melayu lama yang mengaitkan nasib malang Pak Kadok menerusi alunan lagu sinisnya: “Aduhai malagnya nasib Pak Kadok,menang sorak kampung tergadai”.

No comments: