Tuesday, November 18, 2008

SERIUS: PENURUNAN HARGA MINYAK UJI KESETIAAN PENIAGA





BUAT kali kelima harga minyak telah turun pada paras biasa mulai hari ini (17 November) selepas mengalami lonjakan kenaikan yang begitu mendadak kesan kenaikan harga bahan bakar itu di peringkat global.
Ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Dan tanpa di pengaruhi oleh sentiment politik kepartian dan emosi, ia harus disyukuri oleh semua pihak.
Yang pastinnya dari segi politik apa yang berlaku ini dilihat sebagai `bonus’ kepada Datuk Seri Najib Razak yang bakal mengambil alih kuasa daripada Datuk Seri Abdullah yang dijadualkan Mac depan, memberi kesejukan hati kepada rakyat, khasnya pengguna, khasnya pemilik kenderaan .
Namun ia sekaligus menimbulkan rasa sedikit terkilan kepada Pak Lah ianya tidak berlaku dalam masa kekalutan krisis keyakinan kepemimpinan yang sedang memuncak, yang menyebabkan beliau terpaksa merangka pelan peralihan.
Walaupun krisis keyakinan itu bukan berpunca dari faktor minyak semata-mata, namun sedikit sebanyak khalayak menganggap kerajaan di bawah kepemimpinan Pak Lahlah yang hanya memegang teraju nombor satu negara dalam tempoh sepenggal mencatat kenaikan harga minyak paling tinggi, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah era pemerintahan Tun Dr Mahathir lebih 20 tahun.
Inilah yang disebut-sebut nasib malang Pak Lah alami bertimpa-timpa sebagai ujian Allah, sejak di saat-saat awal pengalihan kuasa dari Tun Dr Mahathir, di mana beliau kehilangan isteri, Datin Seri Hindon Mahmood yang pulang kerahmatullah, hinggalah di saat akhir beliau menyerah kuasa kepada Najib.
Najib mengumumkan penurunan harga minyak petrol dan diesel berkuatkuasa hari ini, dalam sidang media di Putrajaya di mana ketika itu, Abdullah di Uzbekistan.
Harga bahan bakar itu diturunkan dari RM2.05 sen kepada RM1.90 seliter berkuasa hari ini dan ini adalah penurunan kali kelima dengan pelarasan terakhir 1 November lalu apabila harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, RON92 dikurangkan RM2.20 kepada RM2.05 seliter.Manakala harga diesel pula daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.
Harga bahan bakar itu telah dinaikkan sebanyak 78 sen sejak Jun lalu. Penurunan sebelum ini dibuat pada 23 Ogos, 24 September, 15 Oktober dan 1 November.
Ketika membuat kenyataan kepada wartawan Malaysia di Uzbekistan, Pak Lah mahu peniaga mengurangkan harga barangan dan pengguna boleh menikmati harga petrol diesel yang lebih murah di negara ini.
Masalahnya, Perdana Menteri berkata, ialah kebanyakan harga barang belum dikurangkan walaupun harga minyak di negara ini telah turun lima kali dengan yang terakhir bermula esok (hari ini).
“Apabila harga minyak turun, harga barang tidak turun. Ini yang saya tidak suka dengar,” kata Abdullah yang kini masuk hari kedua lawatan rasmi empat hari ke negara itu memberitahu wartawan Melaysia, semalam.
Benarlah seperti kata Abdullah, bahawa peniaga membuat keuntungan besar yang membebankan rakyat, manakala Kerajaan memenuhi janjinya dengan mengurangkan harga petrol di pam berikutan trend penurunan harga minyak global.
Bagi penulis, peniaga yang suka mengambil kesempatan yang tidak munasabah dalam situasi ini harus menginsafi dan bermuhasabah diri dengan kenyataan pemimpin berhubung perkara itu, tanpa memikirkan keuntungan semata-mata.
Sebaliknya mereka harus mengambil kira soal ibadah, kerana perniagaan juga adalah suatu ibadah di sisi Islam dan mereka harus faham ibadah bukan sahaja mengerjakan rukun Islam yang lima, terutama solat, puasa, naik haji dan mengeluarkan zakat semata-mata, malah meliputi luas daripada itu.
Di manalah letaknya kesedaran mereka terhadap tanggungjawab sosial kepada masyarakat pengguna yang memiliki kuasa beli, manakala mereka pula memiliki kuasa jual , yang diibaratkan seperti aur dengan tebing saling perlu memerlukan antara satu sama lain.
Agama melarang amalan tamak dalam mengejar kehidupan, demi untuk mendapat keberkatan rezeki yang diperolehi hasil perniagaan.
Di sinilah masanya untuk peniaga bermuhasabah diri yang menjadikan suasana kenaikan dan penurunan harga minyak sebagai ujian Allah terhadap makhlukNya yang beriman.TAMAT

No comments: