Saturday, November 22, 2008

Sembang Pagi: “SAYANG SEMUANYA SUDAH TERLAMBAT”











MEMANG seperti dijangka. Apa sangatlah yang boleh diperkatakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menangani isu pertandingan Ketua Pergerakan Wanita Umno antara penyangdangnya, Tan Sri Rafidah Aziz dengan naibnya, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
“Kalau nak bertanding…tandinglah dengan cara baik”, jangan guna politik wang dan biarlah ahli Umno yang menentukan, itulah sepotong ayat Pak Lah yang dipetik dari laporan portal Berita Harian pagi tadi.
Sebagai orang tua yang mahu menyelesaikan sesuatu isu dalam rumah tangga, Pak Lah kena ambil sikap berkecuali dan berlembut dengan anak-anak buahnya. Dia mesti mengambil jalan tengah walaupun dalam hati kecilnya tetap mempunyai rasa lebih kasih sayang antara dua anaknya itu atau ada sesuatu strategi politik.
Mengunjungi laman web Berita Harian dan Utusan Malaysia Online, selepas Subuh tadi, kedua-dua portal itu memaparkan tajuk yang hampir sama, iaitu Pak Lah menasihatkan pergerakan Wanita supaya jika ingin bertanding merebut jawatan dalam parti hendaklah cara yang baik.
Melihat kenyataan itu, penulis teringat amalan kebiasaan orang tua kita apabila anaknya bergaduh dalam perebutan harta. Mereka akan menasihatkan kedua-dua pihak anaknya yang bertelagah supaya selesaikan dengan cara baik. Walaupun dalam keadaan terketar-ketar kerana orang tua itupun dalam keadaan uzur lantaran usia yang meningkat dan sedang sakit, orang tua tetap mengeluarkan nasihat.
Soal dengar atau tidak nasihat itu terpulang kepada kedua-dua anak terbabit. Tugas orang tua tetap memberi nasihat selagi dia boleh bercakap dan tidak nazak.
Demikianlah juga dengan Pak Lah, walaupun beliau dalam kemelut menghadapi saat-saat tempoh pelan peralihan kuasa dan seribu satu macam persoalan menggelodak dalam kepalannya, namun beliau tetap menasihati anak buahnya dalam Umno.
Sebenarnya masa sudah terlambat untuk sesiapa sahaja menasihatkan kedua-dua pemimpin utama dalam pergerakan itu untuk mengelakkan daripada bertanding merebut jawatan tertinggi dalam sayap kiri parti itu.
Sekarang, kedua-dua pihak sudah membuat keputsan muktamd, tiada siapa yang dapat menghalangnya selagi perlembagaan parti membenarkan, sebab itu Pak Lah hanya mampu berkata-kata: “Kalau nak bertanding…tandinglah dengan cara baik, jangan guna politik wang dan biarlah ahli Umno yang menentukan..”.
Malah, Datuk Seri Najib sendiri sebelum ini pernah menasihatkan pergerakan itu supaya menyelealaikan masalah itu dengan cara baik, mengikut peraturan dan dibenarkan oleh perlembagaan parti.
Melihat dari jauh kenyataan Pak Lah ketika berada dalam lawatan luar negara di Uzbekistan, seolah-olah melihat sesuatu yang mampu ditangani apabila beliau pulang ke tanah air nanti untuk menyelesaikan kemelut pergerakan itu.
BeIiau berjanji akan menemui kedua-dua pemimpin itu sebalinya dari lawatan berkenaan. Bagaimanapun, sebelum Pak Lah menjejakkan kakinya ke tanah air, Shahrizat sudahpun membuat pengumuman dan keputusan untuk mencabar ketuannya, Rafidah dan Rfidah pula menyahut cabaran Shahrizat.
Urutan peristiwa perjalanan mood politik Wanita Umno memperlihatkan suatu kecenderungan baru apabila banyak bahagian masih mencalonkan nama Shahrizat sebagai calon Ketua, sedangkan pergerakan itu sudah membuat keputusan jawatan itu tidak akan dipertandingkan kerana mereka sudah bersetuju dengan pelan peralihan kuasa yang ditetapkan.
Ini bermakna, pergerakan itu mengingkari keputusan yang dibuatnya sendiri dan melanggar apa yang dikatakan “perjanjian meja bulat”.
Dalam perjanjian itu, Rafidah akan menyerahkan jawatannya sebagai Ketua kepada Shahrizat pada Jun tahun depan, iaitu tiga bulan selepas pemilihan parti Mac depan. Mungkin ada kalangan pemimpin pergerakan yang tidak bersetuju dengan pelan itu, malah ada yang tidak hadir dalam mesyuarat itu sebagai tindakan membantah keputusan berkenaan, terutama Datuk Kamalia Ibrahim, satu-satunya calon Naib Ketua Wanita yang menang tanpa bertanding jawatan itu.
Mungkin ramai yang beranggapan kelebihan yang diperolehi Kamalia inilah yang mengundang perubahan fikiran yang mendadak buat Shahrizat untuk bertanding jawatan Ketua dan menentang Rafidah dengan mengepikan segala keputusan mesyuarat sebelum ini.
Inilah yang dikatakan politik, boleh berubah bila-bila masa. “Nama lagi politik….” Inilah ayat yang biasa didengari daripada masyarakat umum apabila berbicara soal kerenah politik, termasuk politik dalaman parti.
Ini sekali gus mengingatkan saya terhadap lagu yang didendangkan penyanyi era 80-an Shidi, iaitu “Sayang Semuanya Sudah Terlambat”.
TAMAT




No comments: