Thursday, November 20, 2008

Sembang pagi: KENAPA TIMBALAN,NAIB PRESIDEN SAJA DISIASAT?






“Assalamualaikum Haji,….baca tak tajuk muka depan Berita Harian hari ini?..”, pagi-pagi lagi rakan lama menganggu saya menerusi telefon mudah alih ketika saya sedang khusyuk melayari internet selepas solat Subuh di surau sebelah rumah sebenar tadi.
Seperti biasa, selepas subuh saya sentiasa melayari internet untuk melihat tajuk-tajuk utama akhbar dan laporan terkini Bernama melalui portal masing-masing sebelum mandi dan solat dhuha.Trend inilah menyebabkan saya tidak begitu berminat untuk mendapatkan akhbar percuma yang dihadiahkan majikan seumur hidup selepas bersara 2004 lalu.
Memanglah secara kebetulan, ketika rakan lama itu menelefon, skrin komputer riba saya memaparkan tajuk depan utama portal Berita Harian ialah: “Calon timbalan, naib presiden disiasat”. Di bawah tajuk itu terdapat tajuk kecil “Lembaga disiplin Umno mula kumpul bukti”.
Selepas 186 bahagian selesai mengadakan mesyuarat 9 November lalu, perebutan jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan tiga pejuru membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mendapat 92 pencalonan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (48) dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib (45).
Lapan calon pula layak bertanding Naib Presiden, iaitu Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang memperoleh 148 pencalonan, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi (103), Datuk Shafie Afdal (82), Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin (79), Datuk Seri Hamid Albar (32), Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (27), Tan Sri Isa Samad (26) dan Datuk Seri Dr Rais Yatim (26).
Dalam hati saya terdetik, barangkali inilah yang hendak diberitahu oleh rakan lama saya itu, mungkin niatnya sama dengan apa yang terdetik dalam hati saya.
Laporan Berita Harian itu memetik suatu sumber yang memberi maklumat bersandarkan kepada kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Tengku Ahmad Rithauddeen yang menyatakan pihaknya sedang mengumpul bukti menyiasat aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan calon yang bertanding, termasuk Timbalan Presiden dan Naib Presiden dalam pemilihan parti pada Mac depan.
Calon terbabit sudah dikenal pasti dan Lembaga Disiplin kini sedang mengumpul maklumat serta bukti berkaitan aduan berkenaan.
Dalam hati saya terdetik lagi, sama ada calon Timbalan Presiden dan Naib Presiden saja yang disyaki terbabit dalam kes itu. Bagaimana dengan calon nombor satu Presiden? Apakah calon Presiden bebas dari sebarang siasatan atau aduan kerana menang tanpa bertanding dalam pemiulihan nanti. Apakah beliau mempunyai imuniti kerana satu-satunya calon Presiden, kerana terbukti bersih dari segala aduan salah laku parti kerana sudah dipilih sebulat suara oleh perwakilan dalam mesyuarat bahagian sebelum ini. Hanya Bahagian Gua Musang, terkecuali yang mencalonkan ketuanya, Tengku Razaleigh Hamzah yang kini terkontang-kontang berputih mata seorang diri.
Tengku Razaleigh tidak layak bertanding kerana tidak cukup kouta yang disyaratkan Perlembagaan Umno di mana calon Presiden sekurang-kurangnnya mendapat 58 pencalonan dari Bahagian.
Pada saya, suwajarnya, semua pihak yang bertanding dalam pemilihan Umno mesti disiasat kerana berdasarkan kenyataan daripada beberapa pemimpin Umno sendiri, termasuk calon Naib Presiden, seperti Datuk Seri Dr Rais Yatim yang membayangkan amalan rasuah dan politik wang menjadi-jadi dalam politik Umno, malah sudah menjadi barah yang sukar diubati.
Malah rata-rata pemimpin Umno, termasuk calon yang bertanding sendiri menyuarakan tentang kebimbangan mereka terhadap politik wang dalam pemilihan kali ini.
Lebih melucukan lagi apabila Dr Rais dalam kenyataan pernah mencadangkan supaya jawatan tertinggi dalam parti dipertandingkan secara tender terbuka. Ini bermakna siapa yang ada wang boleh bertanding dan memegang jawatan dalam parti.
Kenyataan Dr Rais itu mendapat reaksi yang berbeza di kalangan pemimpin politik lain, termasuk bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim sendiri yang dikatakan menawarkan RM1 tender kepada Dr Rais sebagai membalas kenyataan yang dianggap sinis itu.
Sama ada serius atau suatu gurauan kenyataan Menteri Luar yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno itu adalah suatu hakikat yang diakui oleh ahli Umno bahawa penyakit politik wang dan penyalahgunaan kuasa dalam parti itu sekarang semakin parah dan ibarat barah yang sukar diubati.
Kesan daripada itulah menyebabkan timbul kriris keyakinan terhadap pemimpin, terutama Perdana Menteri , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sehingga memaksanya merangka pelan peralihan kuasa dan melepaskan jawatan kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib yang bebas daripada siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu.
Perkembangan terbaru yang dipetik daripada portal Berita Harian petang ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam enggan mengulas laporan mengenai tindakan Lembaga Disiplin Umno mula menyiasat aduan rasuah calon yang bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden Umno.


TAMAT

No comments: