Wednesday, November 19, 2008

DISKAUN PLUS UNTUK MEMENANGI HATI PEMANDU?

SELEPAS kerajaan mengumumkan penurunan harga minyak, semalam, Plus Expressways Bhd (PLUS) mengambil langkah menawarkan diskaun 10 peratus kepada pemandu kenderaan yang menggunakan perkhidmatan lebuh raya itu.
Mungkin banyak persoalan timbul di sebalik tindakan pihak PLUS itu, sama ada menyokong usaha kerajaan ke arah meringankan beban rakyat selaras dengan penurunan harga bahan api itu atau sengaja mencari publisiti di saat rakyat sedang menyaksikan perubahan-perubahan drastik di era peralihan kuasa Perdana Menteri, daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak. Mungkin ada yang tersirat di sebalik apa yang tersurat itu, tiada siapa yang tahu kecuali pihak berkenaan.
Tetapi daripada reaksi yang ditunjukkan oleh beberapa pemandu di kawasan Utara, seperti yang dilaporkan akhbar menunjukkan ada suara-suara sumbang tidak puas hati dengan pengumanan yang diharap boleh mengembirakan pengguna lebuh raya itu.
Mereka seolah-olah mempertikaikan keikhlasan hati PLUS yang mengendalikan perkhidmatan konsasi lebuh raya itu, kerana memperlihatkan tidak memberi manfaat menyeluruh kepada pemandu kenderaan kerana kadar diskaun itu hanya dihadkan pada masa-masa tertentu iaitu dari jam 12 malam kepada 7 pagi sahaja.
Malah seorang pemandu berpendapat, langkah PLUS itu boleh mengundang kemalangan jalan raya, kerana kebanyakan daripada orang ramai yangselalu menggunakan lebuh jalan raya pada waktu itu sedang tidur.
Seorang pengguna jalan raya berpendapat, kalau PLUS bercadang hendak menurunkan kadar tol lebuh raya untuk meringankan beban pengguna turun terus tanpa menghadkan tempoh masa tertentu. Mereka menyifatkan langkah yang diambil pihak berkenaan itu agak pelik.
PLUS semalam, mengumumkan semua pengguna kenderaan ringan yang melalui lebuh raya PLUS antara pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menikmati 10 peratus diskaun tol.
Diskaun itu merupakan salah satu insentif yang diperkenalkan melalui Program Insentif Perjalanan PLUS bermula 1 Januari tahun depan hingga 31 Disember 2010.
Sepatutnya PlUS memberikan tawaran diskaun tersebut pada waktu bekerja kerana ramai menggunakan lebuh raya pada masa tersebut untuk berulang-alik dari tempat kerja.
''Tawaran PLUS ini hanya akan menyusahkan pengguna kerana mungkin ada pengguna sanggup pulang lewat atau pergi kerja lebih awal semata-mata ingin berjimat " kata seorang pengguna.
Memanglah, jika PLUS benar-benar ingin menyokong usaha kerajaan dalam usaha meringankan beban kerajaan kesan kenaikan harga minyak dan barangan, pengendali konsasi lebuh raya itu perlu mengambil sesuatu tindakan yang menyenangkan hati rakyat, khasnya pengguna. Bukan dilihat hanya sebagai mencari publisiti ketika kerajaan meuwar-uwarkan supaya peniaga turut menurunkan harga barangan, selaras dengan penurunan harga minyak di pasaran global.
Justeru itu, ada pihak yang menganggap langkah PLUS itu tidak praktikal, malah ia dilihat lebih menyusahkan rakyat dan pengguna.
Ini kerana, untuk menjimatkan perbelanjaan mereka terpaksa memandu kenderaan selepas tengah malam untuk mengurangkan beban kos bayaran tol lebuh raya. Dengan lain perkataan langkah yang diambil pihak berkenan itu tidak memberi kesan.
TAMAT





No comments: