Thursday, November 6, 2008

Sembang Pagi: FATWA BERSUMPAH: KENAPA SEKARANG BARU DIKELUARKAN?


KENYATAAN menteri bertanggunjawab mengenai hal ehwal agama, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan fatwa atau garis panduan mengenai kaedah bersumpah mengikut kehendak Islam sebenarnya mengembirakan umat Islam terbanyak.
Ini kerana ia boleh mengelakkan kekeliruan di kalangan mereka mengenai kaedah bersumpah sama ada apa yang dilakukan sebelum ini menepati kehendak Islam atau sebaliknya.
Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, anggota Majlis Fatwa Kebangsaan sedang meneliti segala hukum berdasarkan nas, agar selari dan tiada perbezaan pendapat di kalangan tokoh agama.
“Setelah pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan dan ahli Fiqah Islam dimuktamad, garis panduan akan dikeluarkan,” katanya yang dipetik laporan Bernama yang disiarkan dalam Mstar Online pagi tadi.
Persoalannya, kenapa baru sekarang kaedah itu hendak dicari setelah rata-rata umat Islam menghadapi kemelut dan kekalutan mengenai isu bersumpah berhubung kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, kemana perginya para alim ulama yang diiktiraf kerajaan, termasuk mufti-mufti, sehingga sanggup membiarkan umat Islam kalut dan tidak ketentuan arah dalam memperkatakan isu itu. Apakah ketika itu, semua alim ulama yang dilantik dan dibayar gaji oleh kerajaan sedang tidur dan asyik dibuai mimpi indah sehingga tidak tidak ada yang terjaga dan tersedar untuk mengeluarkan kenyataan bahawa apa yang dilakukan oleh umat Islam dalam menghadapi kemelut (sumpah) itu tidak menepati hukum Islam sebanarnya. Saya percaya tidak semua alim ulama dan para mufti yang terlena tidur dan dibuai mimpi indah
Tetapi persoalannya kenapa mereka sanggup membiarkan keadaan itu berlaku. Penulis teringat suatu sewaktu menadah kitab (mendengar kuliah agama) di masjid, seorang tok guru berkata, antara sifat orang muslim sejati ialah “amal maaruf nahyi munkar” iaitu melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dan kaedah untuk mencegah kemungkaran itu ada bebrapa cara, iaitu pertama dengan cara menegur dengan perbuatan (dengan tangan); kedua dengan mulut iaitu menerangkan mengenai sesuatu kemangkaran itu dengan lidah dan ketiga menegur dalam hati, dan kaedah ketiga iaitu menegur dalam hati menurut tok guru adalah selemah-lemah iman. Apakah alim ulama kita sanggup dikategorikan dalam katagori terakhir itu, sedangkan mereka lebih arif mengenai perkara itu.
Di sini timbul persoalan. Apakah alim ulama negara ini ketika kemelut melanda umat Islam berhubung isu bersumpah itu sampai kemungcaknya dikunci mulut-mulut mereka untuk berkata sesuatu yang benar kerana dibayangi oleh ketakutan periuk nasi mereka terjejas atau kerusi empuk yang mereka duduki akan panas jika bercakap atau menyentuh perkara itu?
Kenapa sekarang, pihak berwajib di Jabatan Perdana Menteri baru sekarang mengeluarkan idea untuk mengeluarkan fatwa berhubung isu bersumpah atau bermubahalah itu sedangkan semua sudah berlalu.
Ini kerana Mohd Saiful Azlan yang mendakwa diliwat Anwar sudahpun melakukan upacara bersumpah, diikuti
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri berhubung isu pembunuhan wanita Moggolia, Altantuya Sharibuu, dan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Razali atas kepentingan masing-masing. Cuma Anwar yang menghadapi tuduhan liwat itu tidak berbuat demikian. Mengapa ini harus terjadi?
Kenapa para alim ulama tidak menyekat jika perbuatan bersumpah itu diragui tidak menepati kehendak Islam, sedangkan tindakan sesetengah pihak itu sebelum itu sudah meuwar-uwarkan kepada umum kononnya untuk bersumpah secara Islam?
Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ia sudah terlambat. Inilah malang bagi umat Islam. Ibarat kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur atau sudah terantuk baru tengadah. Jika ia dikaitkan dengan isu politik.Sekarang semuannya sudah terlambat.
Keputusan pilihan raya sudah berlalu, menyaksikan satu fenomena baru di mana kemenangan memihak kepada mereka yang tidak bersumpah, iaitu Anwar, Keputusan pilihan raya itu juga menyaksikan perubahan besar dalam kerajaan di mana lima negeri dimenangi Kerajaan Pakatan Rakyat, termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Kelantan tidak diambil kira, kerana satu-satunnya negeri di bawah Pas sejak 18 tahun lalu.
TAMAT





1 comment:

Anonymous said...

Alim ulama dilantik oleh kerajaan perlu ditarbiah supaya tidak jadi ulama upahan atau ulama cari makan tidak berani bercakap benar demi menjaga kedudukan.