Saturday, November 15, 2008

Sembang petang: TUHAN BERI PILIHAN

Sewaktu mengakses internet di Taman Thema Air, Taman Indera Kota Bharu, pagi tadi saya sempat bersembang dengan pemilik warung atau lebih canggih disebut ‘cafee’ di situ mengenai kerajaan negeri buat bancian pemilik gerai yang berniaga di sekitar taman tema air itu dalam usaha menyediakan kemudahan penggunaan internet menerusi sistem jalur lebar atau broadbank wi-fi.
Sebenarnya, pada masa ini perkhidmatan Wi-Fi sudah ada di berapa lokasi atau kedai makan segera, termasuk di taman itu sendiri, tetapi langkah kerajaan itu untuk memperluaskan lagi skop penggunaannya.
Saya pantas mengalu-alukan langkah kerajaan negeri itu sambil memberi rangsangan supaya beliau turut sama menyokong usaha kerajaan negeri itu, kerana ia memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini, terutama warga Kota Bharu yang menggunakan perkhidmatan internet tanpa wayer terutama melalui komputer riba atau laptop.
“Baguslah, patut Pak Man beri sokongan ke arah usaha baik itu,” saya mencelah apabila peniaga warung cendol pulut tapai (CPT) itu menceritakan perkara itu sambil saya mengakses line internet melalui laptop yang menjadi teman hidup utama saya selepas isteri.
Cerita Pak Man itu mengingatkan saya kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains Teknologi Negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan, pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini bahawa kerajaan negeri akan menjadikan Bandar Kota Bharu sebagai bandaraya Wi-Fi tidak lama lagi bagi membolehkan rakyat menggunakan internet tanpa wayar selaras dengan arus pembangunan IT dan maklumat tanpa sempadan.
Memanglah penggunaan internet sekarang ini sudah menjadi suatu alat keperluan dan bukan lagi dianggap alat kemewahan, terutama apabila ramai kanak-kanak sekolah, terutama di peringkat menengah atas sudah mula menggunakan kemudahan itu untuk kepentingan pembelajaran mereka.
Sebelum ini, kebanyakan daripada kita menganggapkan kemudahan itu sebagai alat kemewahan sebagaimana peringkat awal perkembangan telefon talian tetap yang jarang terdapat di kampung-kampung. Kini boleh dikatakan setiap rumah memiliki telefon talian tetap atau sekurang-kurangnnya sebuah telefon mudah alih.
“Tetapi apa yang saya bimbangkan kepesatan penggunaan internet ini disalahgunakan oleh anak-anak muda kita dengan melayari laman web yang tidak berfaedah, seperti gambar-gambar yang tidak senonoh,” Pak Man memperlihatkan keraguannya dan cuba ajak berbincang mengenai isu penyalahgunaan kemudahan itu.
“Itulah sebabnya kita kena semai benih-benih keimanan dalam jiwa setiap pengguna supaya terbuka pintu hatinnya menggunakan peralatan itu dengan cara berfaedah. Bila hati sudah disemai dengan nilai-nilai keimanan dan ketaqwaan, dengan sendirinya mereka tidak menyalahgunakan kemudahan itu. Sebab kita diberi pilihan, sama ada mahu kepada baik atau buruk. Dengan kata mudah, sebab itu Tuhan sediakan syurga dan neraka kepada manusia.
“Dalam internet ini ada pelbagai bahan sama ada baik atau buruk. Jika mahu baik, maka baiklah jadinya. Macamlah kita diberi pilihan membeli barangan di sebuah kedai yang menjual pelbagai barang bercampur, termasuk yang tidak halal di sisi Islam. Jika kita mahu yang halal, kita pasti memilih barangan yang halal.
Oleh kerana peralatan teknologi ini direka oleh orang bukan Islam, mereka tidak mengasingkan produknya untuk orang beriman dengan orang tidak beriman (Saya sengaja tidak menggunakan orang Islam dan bukan Islam, kerana orang Islam tidak semestinnya beriman) Mungkin suatu hari nanti, apabila kita menguasai bidang ini, kita boleh melaksanakan perkara itu,” saya berhujah panjang lebar seperti pendakwah bebas pula lagaknya.
Bercakap soal itu teringat saya kata-kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa jika hati manusia disemai nilai-nilai murni dengan iman dan taqwa, ia mudah dibentuk dan tidak mungkin melakukan perkara munkar yang dilarang Allah dan inilah yang menjadi dasar perjuangan parti yang diterajuinya.
Menurutnya, apabila hati sudah disemai dengan nilai-nilai keimanan dan ketaqwaan, manusia tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak diingini oleh agama, seperti rasuah, mencuri, dan ini sekali gus menyenangkan tugas pihak berkuasa, termasuk polis, BPR dan sebagainya menjalankan tugas.
Beliau pernah berpendapat, bahawa tindakan dan penguatkuasaan sahaja tidak mampu menghapuskan gejala tidak sihat dalam agama, tanpa disemai dengan iman dan taqwa.
Sebagai orang Islam saya menyokong dan bersetuju benar dengan kenyataan Nik Aziz itu, bukan melihat atas sifat beliau sebagai Mursyidul Am Pas, tetapi melihat atas sifat seorang Tok Guru yang menerajui sebuah kerajaan yang berasaskan konsep membangun bersama Islam. Dan hujah demikian tidak pernah didengari dari mana-mana pemimpin parti politik lain sebelum ini.
Saya sebenarnya bukan ahli politik dan mengagotai mana-mana parti siasah, tetapi bercakap atas prinsip kebenaran sebagaimana yang menjadi pegangan saya menerusi mukaddimah dalam laman blog saya itu.
Saya juga berpegang kepada kata-katanya ketika dalam satu majlis parti ketika bertugas sebagai wartawan dahulu iaitu kita tidak boleh menggunakan istilah “tepuk dada tanya selera”. Sebaliknya ia ditukar kepada “tepuk dada tanya iman”, kerana imanlah yang menentukan segala kebaikan. Dan inilah yang menjadi dalil apabila saya berhujah dengan rakan-rakan.Wallahu A’lam.
TAMAT

No comments: