Sunday, November 9, 2008

SEMBANG-SEMBANG TENGAH MALAM: KESAN KENAIKAN HARGA MINYAK UMPAMA BAHANA BANJIR

KETIKA membeli tiket bas ekspres untuk ke Kuala Lumpur dalam keadaan tergesa-gesa, saya terkejut apabila tambang bas ekspres dinaikkan dari RM32 kepada RM42.90
“Dah lama dah Encik, tambang naik, sebelum Aidilfitri lalu,” kata wanita muda penjual tiket di kaunter tiket Stesten Bas Ekspres di Jalan Hamzah Kota Bharu.
Mahu tidak mahu saya terpaksa akur dengan keterangan gadis itu dan tidak berani menyoal lebih lanjut kerana nampak sangat saya lama tidak naik bas ekspres.
Memanglah, kalau tidak kerana terdesak dan terpaksa juga turun ke KL, saya tidak akan mengambil tiket secara tergesa-gesa pagi itu, iaitu pada hari yang sama saya hendak bertolak.
Itupun nasib baik tempat duduk dalam bas itu masih kosong empat seat, itupun di bahagian belakang tingkat bawah bas ekspres double dicker itu.
Kata penjual tiket itu, kenaikan tambang itu adalah secaj 30% yang dikenakan syarikat pengangkutan awam itu setelah diluluskan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Pengangkutan (LPKP) kesan kenaikan harga minyak tempoh hari.
Dalam hati saya terdetik dan teringat kata-kata seorang pemimpin politik dalam satu majlis ceramah perdana, bahawa harga harga barang sukar turun, walaupun harga minyak sudah diturunkan beberapa kali ibarat bahana kesan banjir, di mana sampah sarap akan tetap melekat pada tempat tinggi, seperti atas bumbung bangunan walaupun air air banjir sudah surut.
Saya sokong kenyataan itu, walaupun idea itu dicetuskan oleh pemimpin sebuah parti pembangkang yang lazimnya membangkang apa sahaja Kerajaan buat walaupun ianya baik.
Malah sayapun menggunakan hujah yang sama apabila berbual dan mencelah pendapat umum mengenai isu kenaikan harga barang kesan kenaikan harga minyak sebelum ini.
Memang, harga barang atau bayaran perkhidmatan susah untuk diturunkan walaupun harga minyak sudah beberapa kali turun.
Malah saya sendiri pernah mencadangkan dalam tulisan saya sebelum ini supaya kerajaan mencari kaedah yang berkesan bagi memastikan peniaga menurunkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak yang dialami dunia sekarang.
Saya tidak tahu sejauh mana berkesannya saranan saya dalam surat kepada Pengarang yang disiarkan dalam portal Bernama Online dua minggu lalu (sila semak muka surat 2 laman portal itu). Luahan saya itu meminta kerajaan mencari suatu kaedah terbaik supaya peniaga menurunkan harga barang berikutan penurunan harga minyak di pasaran dunia sekarang.
Saya juga pernah mendengar dan membaca kenyataan beberapa menteri berkaitan merayu peniaga menurunkan harga barang berikutan penurunan harga minyak, tetapi sehingga ini seruan itu tidak member sebarang kesan kepada peniaga dan pengguna, kerana rata-rata peniaga masih belum berbuat demikian.
Saya tidak tahu apa lagi kaedah yang hendak dilaksanakan kerajaan dalam menangani masalah ini.
Bagi saya, ia tidak akan berkesan selagi pengguna tidak menggunakan kuasanya, kerana kuasa membeli terletak kepada pengguna, jika pengguna tidak membeli barang sudah tentu peniaga tidak akan menjual barang dengan harga mahal. Itulah sebaik-baik cara untuk mengajar peniaga dalam keadaan dan situasi begini.
Tetapi persoalannya, berapa kerat pengguna boleh berbuat demikian? Bagi mereka yang berada dan tidak berkira dengan masalah itu, mereka tetap akan membelinya dan pada masa sama, peniaga akan akan insaf terhadap sikapnya yang sentiasa mengaut keuntungan.
Sebab itu, ketika harga minyak petrol meningkat saya pernah berhujah bahawa walaupun minyak petrol naik sehingga RM10 seleterpun, pemilik kenderaan tetap mengisi minyak dalam tangki kenderaan mereka untuk kegunaan sama ada untuk ke pejabat, ke kebun untuk menorah getah atau ke sekolah bagi pelajar dan guru.
Cuma rakyat hanya boleh bersuara menyatakan rasa tidak puas hati melalui wakil rakyat mereka, terutama pemimpin parti pembangkang yang sememangnnya tidak diendahkan oleh pihak penyokong kerajaan.
Saya cuma teringat akan nasib malang Pak Lah, di mana ketika krisis keyakinan kepimpinannya melanda beliau adalah sewaktu harga minyak di pasaran dunia melambung naik dan mahu tidak mahu kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak di pasaran tempatan.
Dan apabila keadaan harga minyak turun dan kekalutan reda sedikit, beliau sudah merangka pelan peralihan kuasa kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib, Mac depan.

No comments: