Wednesday, January 7, 2009

Analisis: KENAPA ANWAR BERCAKAP BAGI PIHAK NIK AZIZ?


MEMBACA laporan portal mStar online pagi ini terpacak anak mata penulis melihat tajuk “Anwar: Hudud tidak dipaksa ke atas bukan Islam”.
Tanpa dipengaruhi emosi politik kepartian, penulis melihat kenyataan Ketua Umum parti Pakatan Rakyat itu seolah-olah bercakap bagi pihak Pas atau Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mula memperkenalkan syariat Islam itu sejak mula menerajui Kelantan pada 1990.
Secara spontan, mungkin ramai yang tertanya-tanya sejak bila Anwar menjadi ulama yang berautoriti bercakap mengenai agama Islam.
Mungkin ada juga beranggapan tindakan Anwar itu sebagai cuba menenangkan rakan-rakan politiknya dalam Pakatan yang terdiri daripada bukan Islam, terutama DAP yang sebelum ini terang-terangan menentang syariat Islam yang hendak dilaksanakan di negara ini jika parti Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih teraju pemerintahan negara.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperkatakan isu itu ketika berucap pada ceramah Perdana di Kuala Terengganu malam tadi, sempena pelancaran kempen bagi pihak parti Pakatan Rakyak, sempena hari penamaan calon semalam..
Malah, ia pertama kali dinyatakan Anwar sejak isu hudud dibangkitkan selepas Wacana Tranfomasi Politik Malaysia yang disertai Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, di Kota Bharu, baru-baru ini.
Isu itu menimbulkan kontroversi sehingga dijadikan modal kempen politik bagi parti-parti yang berkepentingan dan bertanding dalam pilihan raya kecil itu pada 17 Januari ini, malah ia turut diperkatakan oleh pemimpin bukan Islam, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP, Karpal Singh sendiri.
Sesetengah pendapat umum menyatakan, jika orang bukan Islam bercakap mengenai Islam, malah lebih tahu atau lebih daripada orang Islam, ia merupakan dalil-dalil dunia hampir kiamat.
Penulis teringat, ada penceramah di masjid atau surau menyebut, antara tanda-tanda hampir kiamat ialah lelaki menjadi perempuan, orang jahil menjadi alim, orang kaya menjadi miskin atau sebaliknya.
Berbalik kenyataan Anwar berhubung isu hudud itu, mungkin beliau mempunyai agenda tersendiri dalam mematahkan hujah parti lawan yang memomok dan menakut-nakutkan orang bukan Islam akan turut dikenakan hukum hudud jika syariat Islam itu dilaksanakan di negara ini seandainya parti Pakatan Rakyat memerintah negara.
Ketua Pembangkang di Parlimen itu juga mengakui bahawa memang wujud masalah perbezaan pandangan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat
"Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ada pandangan yang berlainan tetapi Umno yang menggunakan media untuk mengelirukan,” kata Anwar dalam ceramah perdana itu menjelaskan pandangannya berehubung isu itu.
Jadi kenyataan Anwar itu ada kerelevanannya bagi mempertahankan hujah Pas untuk melaksanakan syariat Islam yang dituntut oleh agama dan membuktikan bahawa hukum bukannya milik mana-mana parti politik, termasuk Pas atau Umno, malah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam yang menjadi khalifah di muka bumi Allah ini untuk melaksanakannya.
Jadi, tidak timbul kenyataan Anwar itu sebagai bercakap bagi pihak Pas atau Nik Aziz, tetapi kenyataan peribadi yang bersandarkan kepada dasar dan polisi parti di bawah Pakatan Rakyat yang ditunjangi oleh parti-parti bersekutunnya, Pas, PKR dan DAP.TAMAT

No comments: