Saturday, January 3, 2009

KENYATAAN CALON BN GAGAL SEJUKKAN HATI PENGUNDI



“Jangan salahkan kerajaan harga barang tak turun”, tersembur tajuk laporan berita dalam akhbar yang memetik kenyataan calon BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Penulis yang terbaca laporan menerusi portal Utusan semalam berfikir seorang diri, bahawa kenyataan itu tentunnya tidak akan menyejuk dan meredakan hati pengundi yang bakal menentukan siapa wakil mereka dalam pilihan raya kecil itu pada 17 Januari nanti.
Kenyataan Wan Farid itu memperlihatkan seolah-olah kerajaan lepas tangan dalam menangani isu kenaikan harga barang itu.
Hati penulis terdetik dengan kenyataan itu kerana sebelum ini pernah melontarkan pendapat dan pandangan pribadi menyarankan pihak kerajaan mencari pendekatan bagaimana kaedah untuk menggalakkan peniaga menurunkan harga barang berikutan penurunan harga minyak di pasaran runcit sekarang ini, apabila kerajaan menurunkan bahan bakar itu ke tahap minimum enam kali berturut-turut.
Memanglah soal kenaikan harga barang kerajaan tidak boleh dipersalahkan kerajaan, kerana ia terletak di atas bahu dan tanggungjawab peniaga sendiri. Kerajaan hanya boleh mengawal harga barangan di bawah akta kawalan semata-mata di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Malah, usaha menambah-masukkan beberapa jenis barangan di bawah barangan kawalan, sebagai salah satu langkah positif kerajaan ke arah itu. Sepatutnnya, pihak kerajaan menekankan kenyataan yang berbau positif seperti itu, yang diharap mampu mereda dan menyejukkan hati pengundi menjelang pilihan kecil Parlimen itu.
Wan Ahmad Farid tidak sepatutnnya meletakkan kepercayaan kepada peniaga lambat laun akan menurunkan harga ekoran penurunan harga minyak di pasaran global sekarang, kerana peniaga yang sentiasa mengejar keuntungan tidak akan berbuat demikian kerana ketika inilah durian runtuh bagi mereka.
Yang menjadi mangsa dan bebanan yang berterusan ialah pengguna yang terdiri golongan berpendapatan rendah. Kalangan menteri dan VIP tidak merasakan bebanan ini kerana kebanyakan mereka tidak pernah menjenjeng raga atau menolak troli dalam pasar besar untuk membeli barangan keperluan dapur dan sebagainnya, malah, mereka hanya mengharapkan kepada orang gaji atau bebet. Itulah bezanya antara golongan marhain dengan golongan atasan. Ia hanya dapat dirasai jika golongan atasan terbabit sentiasa turun padang dan kena pakai kasut bot masuk pasar ikan dalam pasar besar sama ada untuk membeli dan meninjau sendiri situasi yang berlaku seperti mana dalam program realiti yang ditayangkan di kaca tv.
Kita mahu melihat pemimpin-pemimpin negara mencontohi Khalafah Saidina Omar dalam menangani masalah rakyat, kerana baginda merupakan satu-satu idola kepemimpinan Islam terpuji dan teruji serta tidak bertindak di atas kertas dan mendengar laporan pengikut-pengikut atau kaki-kaki ampu bawahan semata-mata.
Bilakah pemimpin-pemimpin kita akan menukar cirri-ciri kepimpinan dan tokoh pemimpin Islam berkeliber itu? Ini kerana rakyat sudah dapat menilai sendiri ketelusan seseorang pemimpin atau wakilnya yang dipilih dalam satu-satu pilihan raya dan tidak lagi mudah terpedaya dengan janji-janji manis sewaktu berkempen. Mereka tidak mudah termakan budi dengan hanya mengangkat tangan dan mempamirkan lima jari jemari tangannya ketika bertemu rakyat kerana mungkin kelima-lima jari itu hanya sebagai simbol untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka diberi tempoh lima tahun untuk menjadi wakil mereka sebelum menjelangnya lima tahun lagi pilihan raya akan diadakan.
Wakil-wakil rakyat harus insaf, lambaian lima jari tangan itu sebagai simbol ucapan bye-bye atau jumpa lagi untuk tempoh lima tahun pada pilihan raya akan datang.
TAMAT

No comments: