Tuesday, January 27, 2009

SINAR HARIAN BUAT HAL LAGI




KETIKA memandu ke pejabat pagi Jumaat lalu, penulis dihubungi Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan dukacita kerana laporan berita muka depan Sinar Harian Edisi Timur menyiarkan tajuk “MB setuju serban ganti topi”, yang disifatkan sebagai terbalik dan diterbalikkan oleh pihak akhbar berkenaan. Sepatutnya tajuk itu berbunyi: MB setuju topi ganti serban”.
Pantas hati penulis terdetik, sekali lagi Sinar Harian buat hal dengan Menteri Besar selepas melakar sejarah dipulau dan tidak dibenarkan membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) beberapa tahun lalu kerana kesilapan menyiarkan laporan kejadian lebih awal daripada insiden sebenar dalam persidangan DUN itu.
Kesilapan kali ini tidaklah sebesar dalu, hanya melibatkan tajuk utama saja, sedangkan isi laporan berita di bawah tajuk itu betul sebagaimana dinyatakan Nik Aziz yang mengulas mengenai pemakaian serban dan topi keledar itu.
Ulasan yang diberikan secara sukarela itu berikutan penulis ingin mendapatkan follow-up berita selepas seorang pelajar sekolah pondok dijatuhi hukuman denda RM90 atau penjara dua hari oleh Majistret apabila didapati bersalah kerana tidak memakai topi keledar sewaktu menunggang motosikal dua tahun lalu.
Bagaimanapun, pelajar terbabit, Ahmad Nasir Darus, 28, memilih untuk menjalani hukuman penjara kerana berpegang kepada prinsipnya yang tidak mengaku salah atas pertuduhan itu.
Penulis tidak mahu mengulas kerelevanan hukuman yang dijatuhi majistret Tengku Amalin Aishah Putri Sultan Ismail Petra terhadap prosiding perbicaraan kerana dikhuatiri boleh menghina mahkamah.
Yang anihnya, berita yang disiarkan Sinar Harian yang dipetik dari laporan Bernama itu betul, tetapi disalah-ertikan kerana tajuknya terbalik atau diterbalikkan.
Penulis tidak tahu mengapa boleh terjadi demikian, kerana kalau dilihat pada tajuk quotation Nik Aziz di bawah tajuk besarnya jelas bahawa beliau mahu topi keledar yang dianggap selamat dipakai penunggang motosikal itu diganti dengan serban bagi mereka yang ingin memakainya jika ia (serban) boleh mencegah daripada kecederaan apabila berlaku kemalangan.
Menurutnnya, topi keledar yang tidak diikat kemas dan tidak betul juga boleh mengundang maut tetapi sarban yang diikat kemas dan mengikut kaedah pemakaian yang betul, lebih selamat kerana ia lebih lembut dan mampu mencegah keceraan apabila berlaku hentakan kuat dalam kemalangan.
Oleh kerana penulis seorang yang mendapat follow-up eksklusif itu, maka beliau menghubungi penulis untuk mendapat penjelasan kenapa berita itu boleh mengelirukan.
Penulis tertanya-tanya apakah motif berita itu diterbalikkan tajuknya atau pihak jabatan pengarang akhbar terbabit terlepas pandang atau tersalah memahami. Sebagai Pengarang akhbar yang agak besar, perkara itu tidak mungkin berlaku, tetapi semuannya tidak mustahil kerana penulis teringat kepada suatu ayat yang selalu dibaca yang bermaksud: “tiada upaya bagi manusia melainkan dengan kekuasaan Allah semata-mata segala kejadian yang berlaku itu”.
Apapun, nampaknya Nik Aziz yang juga Mursyiduyl Am Pas itu memahami apa yang sebenarnya berlaku, kerana tajuk berita itu dibuat oleh Pengarang akhbar berkenaan, bukannya oleh Bernama, kerana Bernama menyiarkan tajuk yang tepat sebagaimana disiarkan dalam portel mStar Online pada hari sama iaitu “Nik Aziz setuju topi keledar diganti serban”.
Sehubungan isu itu, penulis juga teringat bagaimana akhbar Berita Harian sebelum itu pernah melakukan kesilapan menyiarkan tajuk muka depan menyebabkan wartawannya dihalau daripada membuat liputan persidangan (Belanjawan) DUN.
Akhbar itu menyiarkan tajuk “Sultan Murka kerajaan Pas gagal tadbir Kelantan” sedangkan dalam berita di bawahnya tidak menyebut perkataan derhaka itu. Isu itu terhenti di situ apabila kedua pihak memahami punca sebenar berlaku (lihat posting terdahulu dalam blog ini).
Berhubung isu topi keledar dengan serban itu, mungkin Menteri Besar itu berpuas hati apabila penulis membetulkan semula kenyataannya melalui penjelasan pendek yang disiarkan beberapa akhbar, termasuk Utusan Malaysia sehari selepas itu atas permintaannya.
Sayugia diingatkan janganlah hendaknya pisang berbuah sampai tiga kali, kerana dalam kenyataan Nik Aziz kepada penulis, jangan sampai beliau hilang pertimbangan dan meminta pembaca jangan membeli akhbar yang berniat jahat dan memutarbelitkan berita kerana ada agenda yang tersembunyi dalam menyiarkan laporannya.
TAMAT

No comments: