Tuesday, January 6, 2009

CALON AKIM BUAT HAL







RAMAI yang tertanya-tanya kenapa calon parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), menarik diri di saat akhir daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, pada 17 Januari ini.
Malah, calon itu, Harun Mohamad, 63, yang turut hadir di pusat penamaan calon di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, sebaliknya menyatakan sokongan kepada Pas.
Persoalannya, apakah motif sebenar di sebalik tindakannya itu atau sengaja mencari publisiti murah ketika ramai tertumpu ke P036 itu, ketika demam kempen pilihan raya kecil itu bermula selepas proses penamaan calon selesai.
“Pagi ini saya mendapat ilham (untuk tidak bertanding). Lagipun, saya tidak berapa sihat sekarang.
“Saya memberi laluan kepada calon Pas untuk menghadapi Umno,” selamba jawabnya ketika ditemui pemberita di luar pusat penamaan calon.
Kejutan ini masih belum terjawab oleh sesiapa kecuali oleh empunya diri yang terlibat sendiri sebab-sebab kenapa perkara itu boleh berlaku.
Bagaimanapun, beliau awal-awal lagi menafikan yang beliau dipujuk oleh mana-mana parti politik termasuk Pas untuk tidak bertanding.
Beliau turut menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Umno supaya menyokong calon Pas atas alasan bahawa dasar Akim dan Pas adalah selaras untuk menjaga kepentingan umat Islam.
Harun yang juga Naib Presiden Akim, sebelum ini pernah bertanding pada pilihan raya umum 1974 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.
Tindakan beliau tentunya mendapat reaksi yang mengejutkan banyak pihak dan mungkin akan menghadapi tindakan disiplin oleh partinya.
Presiden Akim Hanafi Hamat, berkata Harun juga telah mengkhianati parti kerana menyatakan sokongan terbuka kepada calon Pas pada pilihan raya kecil itu.
“Malah, dia telah mengecewakan apabila menyokong Pas,” kata Hanafi.
Persoalan yang masih bermain di minda pemerhati politik ialah sama ada penarikan diri secara mengejutkan itu mempunyai muslihat tertentu walaupun tidak dipengaruhi unsur-unsur luaran dan liar, seperti ugutan, ancaman, rasuah atau apa yang disebut `politik cari makan’, tiada siapa yang tahu, kecuali Tuhan dan beliau sendiri.
Jika perlu, pihak bertanggungjawab boleh menyiasat mengikut bidang kuasa yang ada pada mereka, jika ada unsur-unsur berkenaan bagi melihat ketelusan pilihan raya kecil dari segi peraturan selaras dengan penubuhan beberapa suruhanjaya di saat-saat akhir pentadbiran Pak Lah, termasuk Suruhanjaya Anti Rasuah (SAR).
Pada pilihan raya kecil itu, tiga calon disahkan bertanding iaitu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (BN); Mohd Abdul Wahid Endot (Pas) dan Azaharudin Mamat (Bebas) dan akan dihakimi oleh 80,229 pengundi dalam kawasan Parlimen itu untuk menentukan nasib mereka.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat kawasan itu, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, ketika menghadiri program di Institut Aminuddin Baki, Genting Hisgland pada 28 November lalu.
TAMAT


No comments: