Monday, January 5, 2009

JANGAN JADIKAN KEMPEN PRK KT `TARAGEDI BATU BURUK KEDUA’




KEMPEN pilihan raya akan bermula esok sebaik semua calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada pengurus pilihan raya.
Umum mengetahui apabila gendang kempen pilihan raya dipalu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas episod penamaan calon selesai, maka hulubalang-hulubalang parti yang bertanding akan `bercawat kote’ mengibar dan menggantung bendera,sepanduk dan poster dengan pelbagai slogan mempamerkan calon masing-masing supaya pengundi memilihnya.
Suasana seperti itu memang terdapat di mana-mana kawasan yang terlibat dalam suasana pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Yang pastinnya pilihan raya kecil lebih menarik kerana ramai penyokong parti masing-masing boleh memberi perhatian pada satu kawasan saja berbanding pilihan raya umum.
Dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kali ini, seramai 80,229 pengundi kawasan itu akan menjadi hakim dan penentu siapakah wakil mereka yang akan dipilih. Manakala calon-calon terbabit akan menunggu dengan penuh debar keputusan yang akan ditentukan oleh pengundi di kawasan terbabit. Ibarat pesalah, calon-calon akan menanti dengan penuh debar dan sejuta keresahan hukuman yang bakal dijatuhkan ke atasnya walaupun semuannya sudah tersurat dalam "qadha’ dan qadr" Tuhan.
Tugas pengundi yang bijak pula akan menunaikan tanggungjawab mereka sepenuhnya dan mereka diberi kebebasan mutlak sebagai pemilih berdaftar tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak walaupun pelbagai kemersikan dan kelunakan suara kempen masih terngiang-ngiang di telinganya.
Mungkin bagi pengundi yang bacul dan tidak tahu menilai haknya akan membuat pemilihan berdasarkan kelunakan suara kempen-kempen kotor yang dipasak ke telinga mereka di saat-saat akhir menjelang hari membuang undi.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Razali Ismail, ketika bermain badminton di Institut Amiuddin Baki, Genting Highland pada November lalu.
Allahyarham memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) selepas mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusoff, dengan majoriti undi 628.
Pemerhati politik menyifatkan pilihan raya kali ini adalah penentuan maruah dan ujian kedua-dua parti gergasi iaitu BN dan Pas dalam menghadapi suasana politik semasa yang terbuka dan terdedah dengan pelbagai isu dan kererah.
Bagi BN, ujian paling besar ialah di saat mereka menghadapi kemelut dalaman yang hebat berikutan krisis kepercayaan pucuk kepimpinan Umno, yang menyebabkan wujudnya apa yang dinamakan pelan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak pada Mac depan.
Malah, ketika ini juga kempen pemilihan pucuk Umno sedang rancak berjalan yang menyaksikan pertarungan sengit di semua peringkat, termasuk sayap kanan dan kiri parti iaitu Pemuda dan Wanita.
Justeru, wujudnnya suara-suara amaran daripada pucuk pimpinan Umno supaya calon yang bertanding di semua peringkat tidak menjadikan kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu sebagai `flatform’ untuk mereka berkempen dalam pemilihan parti.
Bagi Pas pula, pilihan raya itu sebagai ujian bagi menentukan keutuhan parti itu yang disebut-sebut semakin kuat setelah mampu merangkul lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat dan mengekalkan pentadbiran di Kelantan selama 18 tahun di bawah kerajaan berslogankan `Membangun Bersama Islam’.
Parti-parti lain yang bakal turut bertanding tidak diambil kira kerana ia diibaratkan `semut mayat’ yang terjatuh dalam cangkir kopi yang boleh dibuang begitu saja, tanpa menjejaskan kesucian kopi itu untuk dminum.
Apa yang diharapkan kempen yang akan berjalan selama 11 hari bermula esok tidak akan dicemari oleh insiden-insiden yang tidak diingini, agar tidak terjadi apa yang disifatkan sebagai `tragedi Batu Buruk kedua’ dan penyokong parti terbabit menggunakan kematangan berfikir mereka dalam berekempen supaya tidak menjejaskan ketenteraman awam, kerana ini bukanlah suatu yang baru bagi mereka. Kematangan berfikir dan bertindak akan menjadi faktor penghalang dari kejadian yang tidak diingini berlaku.
TAMAT





No comments: