Thursday, January 1, 2009

SANTAI:Harga diri seorang wartawan:ANTARA SEBELAH KASUT DENGAN SEBUNGKUS NASI

Di sebuah restoran yang terletak di sudut sebatang jalan utama sebuah bandar, seorang lelaki berbaju jeket hitam sedang berbual-bual dengan seorang rakannya sambil menghirup kopi pracampuran Tok Guru.
Senggang dua meja kosong kelihatan pula seorang lelaki separuh abad dan berbadan gempal menyandang sebuah beg sedang mengambil tempat duduk. Sebelum itu lelaki berkenaan ke hulu ke hilir seperti seorang kurang siuman yang tidak diketahui arah tujunya.
Sebenarnya, mereka adalah daripada dua kategori makhluk insan yang berbeza. Yang berjeket hitam dan sedang menghirup kopi itu adalah golongan makhluk manusia yang bergelar ahli korporat, manakala seorang lelaki menyandang sebuah beg hitam adalah manusia yang beregelar wartawan veteran.Kedua-dua mempunyai fungsi berlainan, walaupun makluk yang sama, daripada sebaik-baik kejadian Tuhan.
“ Eh kamu ada idea tolong aku dalam pemilihan nanti?” tanya lelaki berjeket hitam memulakan perbualannya bersama teman di sebelahnya.
“Oh, itu beres…senang aje.,” jawab teman sambil menyedut rokok dan menghembuskan asap berkepol-kepol.
“Kita panggil wartawan, buat write-up tentang diri kita dan tonjolkan kebaikan yang kita lakukan, biar dia orang letak muka depan. Orang akan kenal kita, habis cerita…”
“Habis, mana aku ada duit nak bayar mahal-mahal kepada akhbar, yang aku tahu kalau semuka penuh aku dengar mahu RM3,000 atau RM12,000 jika colour,” jawab lelaki berjeket hitam tadi.
“Encik minta derma. Kami nak siapkan sebuah maahadtahfiz yang terbengkalai di kampung kami,”kata seorang remaja berbadan kurus dan berpakaian ala tabligh sambil menghulurkan sekeping kertas yang dibalut plastik mencelah perbualan kedua-dua lelaki yang sedang menghirup kopi pracampuran Tok Guru itu.
Tanpa berlengah dan usul periksa, lelaki berjeket hitam itu terus menyeluk saku jeketnya sambil menghulurkan sekeping not kertas RM10 kepada remaja kurus itu. Dia enggan menerima resit yang cuba diberikan remaja berkenaan.
“Mana sampai RM3,000 hingga RM12,000, tak adelah…Panggil ramai-ramai wartawan dan bagi nasi Sumatera sebungkus seorang. Besok keluar besar-besaran dalam paper. Kita dapat publisiti, dia orang dapat makan, cukup masa orang sokong kita…habis cerita,” mudah jawapan diberikan rakannya sambil menenyeh-nenyeh puntung rokok ke dalam extery di atas meja.
Itulah perfspektif yang diberikan oleh segelintir insan yang bergelar ahli korporat yang ingin menceburkan diri dalam politik terhadap tugas dan peranan wartawan. Mereka menilai seorang wartawan hanya dengan sebungkus nasi Sumatera.
Jauh dari sudut hati lelaki yang menyandang beg hitam berisi komputer riba itu membayangkan betapa hinanya seorang wartawan apabila mereka dianggap begitu.
Mereka tidak tahu seseorang wartawan juga mempunyai perasaan dan hati serta memiliki nilai seni sensitiviti yang tinggi, lebih tinggi dari punca gunung Himalaya atau lebih mahal dari nilai segunung intan.
Mungkin kedua-dua lelaki itu tidak perasan yang wartawan juga mempunyai maruah dan harga diri yang tidak ternilai. Ia kerja profesional, bukan calang-calang tugas.
Sebagaimana manusia biasa wartawan juga mempunyai perasaan, ada sensitiviti tersendiri, mereka juga perlu makan, pakai dan berumah tangga. Mereka juga boleh memberontak jika tidak kena caranya.
Kalau tidak, masakan boleh terjadi sebagaimana peristiwa wartawan Iraq Murtadha Al-Zeidi sanggup membaling kasut ke arah Presiden J W Bush sewaktu pemimpin Amerika itu membuat lawatan perpisahan di Baghdad.
Tindakan wartawan dari kaum Syiah itu mengajar pemimpin dunia bahawa manusia yang digelar wartawan mempunyai perasaan, marah, dendam dan kesumat sehingga sanggup bertindak di luar etika kewartawanannya. Semangat ketuanan Iraqinnya membara tebal di sanubari anak muda itu yang pernah ditahan oleh tentera militan Amerika sewaktu Perang Iraq.
Penahanan Al-Zeidi ekoran insiden itu mendapat reaksi positif di kalangan rakyat Iraq yang anti Amerika, malah mendapat publisiti meluas sebagai wira bangsa sehingga sanggup bertindak melampaui semangat ketuanan bangsa Iraqi dengan mengetepikan sempadan keprofesionalismenya.
Ertinya, sebelah kasut Al-Zeidi tidak sama nilainya dengan sebungkus nasi Sumatera yang hendak disogokkan kepada wartawan Malaysia untuk mendapat tempat dalam politik oleh segelintir ahli korporat yang ingin mendapat tempat dalam politik kepartian yang sempit.
TAMAT



No comments: