Thursday, January 15, 2009

BONUS BESAR KEPADA PAS


PENGISYTIHARAN enam bekas pemimpin Umno di peringkat bahagian dan cawangan Umno keluar dari parti itu dan menyatakan hasrat untuk menyertai Pas, di Kota Bharu semalam, memberi suatu kejutan besar kepada perkembangan kempen pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu yang akan tiba ke kemuncaknnya tengah malam Jumaat ini.
Hari Sabtu adalah hari pembuangan undi dan 80,229 pemilih berdaftar dalam kawasan itu akan menjadi hakim untuk memilih siapa yang akan menjadi wakil mereka di peringkat Parlimen.
Soal berubah atau tidak pendirian pengundi dalam menyokong mana-mana parti yang bertanding, sama ada BN atau Pas tidak dapat dipastikan kerana ia bergantung kepada sikap pengundi itu sendiri.
Namun ia ternyata sebagai bonus moral kepada Pas dalam usaha menarik perhatian rakyat terhadap suasana politik ketika kedua-dua parti gergasi itu berada di gelanggang pertarungan.
Keenam-enam ahli Umno yang bertindak demikian semalam, seorang daripadannya ialah bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kubang Kerian dan diikuti beberapa ketua cawangan Umno dan ahli biasa dalam bahagian itu.
Tanpa memperhitungkan keikhlasan mereka berhasrat menyertai Pas, keenam-enam orang itu ternyata akan memberi tamparan hebat kepada Umno yang kini sedang meraih sokongan yang kuat dari pengundi di Kuala Terengganu bagi menentukan kedudukannya dalam pilihan raya yang akan menentukan untung nasib masa depan mereka.
Penulis sendiri yang berada pada sidang akhbar itu berasa sangsi apabila mendengar jawapan awal sebab-sebab mereka keluar Umno dan ingin menyertai Pas yang antara lain kerana tidak hati dengan sikap Badan Perhubungan Umno yang didakwanya tidak mengindahkan arahan pucuk pimpinan parti dalam menyelesaikan krisis dalam mesyuarat agung perwakilan bahagian Kubang Kerian.
Kalau inilah alasannya, penulis berasa alangkah rapuhnya kesetiaan seorang pejuang parti terhadap perjuangannya dan sekali gus meragukan kesetiaan mereka kepada parti yang bakal disertainya itu, iaitu Pas.
Dari reaksi jawapannya kepada soalan wartawan, mereka tidakpun menyatakan hasratnya ingin menyertai Pas kerana tertarik dengan corak perjuangan parti itu yang berslogankan Membangun Bersama Islam dan bersandarkan kepada al-Quran dan hadis sebagai rujukan dan asas perjuangannya.
Bagaimanapun, daripada reaksi pemimpin Pas, termasuk Naib Presidennya sendiri, Datuk Husam, kehadiran muka baru dalam Pas itu amat menterujakan mereka kerana ia memberi impak kepada parti, khasnya ketika kempen pilihan raya kecil di Kuala Terengganu sedang rancak berjalan.
Malah, Husam dalam ucapan alu-aluannya memberitahu, keenam-enam mereka yang akan menyertai Pas itu akan digunakan untuk berkempen membantu calon Pas dalam pilihan raya kecil itu dan ini sedikit sebanyak dapat memancing pengundi supaya turut menyokong Pas.
Keterujaan Husam dapat dilihat apabila beliau kelihatan persis angkuh apabila tidak melayan pertanyaan wartawan yang ingin mendapat penjelasan sama ada Pas bercadang untuk memberi penerangan kepada bukan Islam mengenai pelaksanaan hukum hudud boleh menjejaskan bukan Islam jika kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih teraju pemerintahan negara dengan kata-kata lebih kurang begini: “Kita selesai yang ini (lompat parti) dulu.
Wartawan terbabit sebenarnya ingin mendapat jawapanya sebagai follow up kepada kenyataan beberapa pemimpin parti bukan Islam dari BN dan Pakatan sendiri sama ada pelaksanaan hukum hudud itu akan turut melibatkan bukan Islam.
Ini kerana Naib Presiden MCA, Datuk Dr Ng Yen Ye dalam kenyataannya mencabar PAS supaya menyatakan pendirian mereka dengan jelas sama ada hasrat untuk melaksanakan hukum Hudud di negara ini boleh menjejaskan bukan Islam di negara ini.
Dr Ng mendakwa, Pas enggan menyatakan sama ada hukum itu meliputi semua kaum.
Sementara Karpal dalam kenyataan selepas itu berkata parti itu sanggup bekerjasama dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekiranya PAS dan PKR tidak meneruskan usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud.
"Dalam politik telah dikatakan bahawa tiada musuh atau rakan yang kekal, tetapi prinsip yang kekal perlu dimiliki oleh setiap parti politik," hujjahnya.
Malah sebelum ini Karpal dikatakan pernah menyebut kononnya Pas kena langkah mayatnya dahulu sebelum Pas melaksanakan syariat Islam itu di negara ini jika parti itu mahu bekerjasama dengan DAP.
Hati penulis terdetik apabila Husam dilihat menunjukkan keegoannya apabila memotong percakapan seorang wartawan Harakah dengan keenam-enam bekas ahli Umno yang ingin menyertai Pas itu dengan kata-kata lebih kurang begini: “Kita kini dalam sesi temuramah berdasarkan moral story Umno lompat parti, bukannya sesi kaji selidik yang lebih menjurus kepada suatu penyiasatan”.
Penulis berpendapat, sepatutnya sesi temuramah dengan mereka yang keluar parti patut dilakukan tanpa bersama pemimpin, kerana ini akan menyekat kebebasan pihak yang ingin menyatakan kebenaran sesuatu tindakan yang dilakukan, terutama dalam kes lompat parti kerana ia sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan.
Persoalan itu itu mungkin timbul berikutan ada di antara wartawan yang lebih mengetahui kumpulan terbabit adalah orang kuat Naib Ketua Bahagian Kubang Kerian, Datuk Mohamad Ghani yang tewas dalam pemilihan itu menentang penyandang Ketua Bahagian itu.
TAMAT


No comments: