Sunday, January 11, 2009


HUDUD: CABARAN NG YEN YEN MENGIYAKAN
LONTARAN BLOG SAYA


KENYATAAN, Naib Presiden MCA, Datuk Dr Ng Yen Yen, yang mencabar Pas supaya menyatakan pendirian sama ada hasrat untuk melaksanakan hukum Hudud di negara ini boleh menjejaskan bukan Islam di negara ini, menggamik penulis untuk turut melontarkan pandangan mengikut kaca mata sendiri dan bukan sebagai ahli politik yang ada berkepentingan.
Kegamitan itu berpunca dengan lontaran idea penulis dalam posting minggu lalu, bahawa kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak melibatkan bukan Islam jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih teraju pemerintahan negara ini sebagai cuba menjawab bagi pihak Pas, atau Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Penjelasan Anwar di majlis ceramah perdana sempena pelancaran kempen selepas hari penamaan calon 6 Januari lalu memperlihatkan kenyataan itu tidak diterima dan masih diragui MCA.
Anwar dalam ceramah itu menjelaskan bahawa jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini sebaik Pakatan mengambil alih tampuk pemerintahan tidak melibatkan orang bukan Islam.
Walaupun Anwar sudah menjelaskan pendirian PR dalam isu hokum hudud itu, namun Naib Presiden MCA, itu masih mengajukan persoalan mengapa Pas enggan menyatakan sama ada hukum itu meliputi semua kaum.
Dalam ceramahnya ketika berkempen calon BN di kawasan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, semalam, Eng juga membidas parti pembangkang yang lain seperti DAP dan PKR kerana tidak menyatakan dengan jelas pendirian masing-masing berhubung isu itu.
“Sama ada (anda) setuju atau pun tidak. Ini adalah perkara yang paling asas (terutama ketika bercakap mengenai isu penting),” katanya kepada pemberita.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, kegagalan PAS menyatakan pendirian mereka dengan jelas bagaimana mereka akan melaksanakan hukum Hudud itu telah menimbulkan syak wasangka di kalangan masyarakat bukan Islam.
Dalam hal ini, penulis berpendapat pemimpin tertinggi Pas perlu memperjelaskan dengan jelas sama isu yang ditimbulkan oleh pemimpin MCA itu, yang mungkin ia menimbulkan persoalan mewakili kebanyakan masyarakat bukan Islam yang tinggal di negara yang didiami masyarakat majmuk ini.
Ini selaras dengan hasrat Nik Aziz sendiri yang mahu menarik perhatian masyarakat bukan Islam mengetahui mengenai undang-undang syariah yang membabitkan hukum huduk yang menjadi momokan pemimpin politik, terutama MCA dan rakan sekutunya dalam BN.
Ketidakjelasan isu ini mengundang sesetengah pemimpin Umno berpendapat langkah Pas yang memperkenalkan hukum hudud itu ketika mula mentadbir negeri Kelantan sejak 1990 sebagai retorik politik parti itu semata-mata untuk memancing undi dalam pilihan raya.
Justeru itu, ia semakin hebat diperkatakan apabila, Pas dan Umno masing-masing menyalahkan antara satu sama lain, apabila undang-undang syariah Islam itu tidak dapat dilaksanakan di negeri itu, walaupun pelbagai kempen dan pelancaran hari hudud diadakan di Kelantan setiap tahun.
Malah, ia semakin hangat diperkatakan apabila isu itu cuba dibangkitkan oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa di majlis forum Wacana Tranformasi Politik Malaysia di Balai Islam, Kota Bharu 20 Disember lalu.
Sehingga kini isu itu menjadi tergantung, dan wacana berbaur debat perdana itu tidak dapat memberi kata putus siapa yang menang dan siapa yang kalah, tetapi yang jelas ia memberi impak yang besar kepada perkembangan politik tanah air yang sihat, terutama ketika menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sekarang ini.
Nik Aziz atau Presiden Pas, Datuk Sri Abdul Hadi sendiri patut mengadakan program atau seminar khusus bagi menjelaskan isu itu bagi membolehkan masyarakat mengetahui dengan jelas apa sebenarnya sasaran hukum hudud itu dilaksanakan, sama ada hanya diterima pakai untuk orang Islam atau meliputi semua kaum dan agama.TAMAT







No comments: